Tuesday, February 27, 2018

Ini dia pakar yang bertanggungjawab di belakang penubuhan PKR dan Amanah

Anuar Tahir, pakar di belakang penubuhan PKR dan Amanah
Zulkifli Sulong · Diterbitkan pada 27 Feb 2018 7:00AM
Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir adalah individu bertanggungjawab 'melahirkan' Amanah dan PKR. Muka lama dalam politik negara ini disebut-sebut antara calon Amanah untuk kerusi Parlimen Temerloh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Februari, 2018

RAMAI tidak tahu, Setiausaha Agung Amanah Mohd Anuar Tahir sekarang merupakan setiausaha agung Parti Keadilan Nasional (PKN) yang pertama.

Malah kerana kepakaran dan hubungan peribadi beliaulah, parti Amanah dan PKN (sebelum ditukar kepada PKR) berjaya ditubuhkan dengan cepat selepas era Reformasi dalam Umno dan perpecahan dalam PAS.

Beliau adalah antara nama besar yang sedang diketengahkan parti serpihan PAS itu untuk menjadi calon Amanah di peringkat nasional.

Anuar bersama Presiden Amanah Mohamad Sabu, Timbalannya Salahudin Ayub, Naib-naib Presiden Mujahid Yusof, Hasanudin Mohd Yunus, Hassan Baharom dan Husam Musa serta Pengarah Komunikasi Khalid Samad, Pengarah Pilihan Raya Dr Hatta Ramli dan Pengarah Kanun Mohamed Hanipa Maidin adalah nama besar parti itu yang sedang diusahakan untuk berada di Parlimen selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Anuar sendiri disebut-sebut menjadi calon popular untuk bertanding di Parlimen Temerloh, Pahang, satu-satunya kerusi Parlimen Amanah di negeri itu.

Turut disebut bertanding di kerusi Temerloh adalah Ahli Parlimen Kuala Krai yang juga Pengarah Pilihan Raya Amanah Dr Mohamad Hatta Ramli.

Namun, Anuar sendiri tidak boleh mengesahkannya kerana ia masih terlalu awal untuk mengatakan beliau akan bertanding di sana.

"Itu belum pasti. Parti belum membuat apa-apa keputusan lagi," kata Anuar ketika ditanya The Malaysian Insight mengenai khabar angin itu.

"Saya juga disebut-sebut untuk bertanding di kerusi negeri di Selangor," kata anak kelahiran Perlis Indera Kayangan yang mendapat ijazah pertama dalam bidang sosiologi dari sebuah universiti di Amerika Syarikat.

Selepas Anwar dipecat dari Umno, Anuar turut meninggalkan parti Melayu itu dan menjadi tulang belakang penubuhan ADIL, sebuah NGO yang memperjuangkan tuntutan keadilan untuk Anwar.

Dari NGO ADIL itulah mereka menubuhkan PKN dengan Anuar menjadi setiausaha agung pertamanya.

"Saya ambil alih sebuah parti bernama Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan) secara senyap ketika itu. Kemudian kami tukar nama kepada PKN, tukar simbul dan syarat ahlinya dari Islam sahaja kepada warganegara Malaysia," kata Anuar menceritakan bagaimana beliau membentuk PKN.

Menggunakan pengalaman yang sama jugalah, Anuar membentuk Amanah selepas beliau dan rakan-rakannya ditendang keluar dari PAS.

"Orang yang pertama menyatakan kesungguhan untuk menubuhkan parti baru adalah peguam PAS ketika itu, Hanipa Maidin.

"Bermula dengan penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) sebagai badan penggerak, kami kemudiannya menubuhkan parti politik.

"Kami ambil Parti Pekerja Malaysia, tukar nama dan simbol pada mulanya. Kemudiannya kami tukar keseluruhan parti itu menjadi Parti Amanah Negara (Amanah) yang ada sekarang," katanya.

Anuar mula bertanding pilihan raya pada 1999 sebagai calon Parti Keadilan Nasional (PKN) di Padang Besar Perlis.

Namun, pada 2004 beliau menyertai PAS selepas berlaku krisis dalam PKR dan dilantik sebagai AJK PAS Pusat sehinggalah beliau dan rakan-rakan golongan profesional dalam PAS dihalau keluar dari parti itu pada Muktamar PAS 2015.

Bermula dengan PRU2004, 2008 hingga ke PRU2013, Anuar bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis dan beliau dicadangkan sebagai menteri besar jika di PAS menang di negeri itu.

"Saya hanya sekali saja bertanding di kerusi Parlimen iaitu pada 1999, selepas itu semuanya di kerusi negeri tetapi belum menang lagi.

"Harap-harap kali ini boleh menang," katanya.

Pada 1994, Anuar menyertai Umno bagi membantu bosnya, Anwar Ibrahim yang menyertai Umno sebelum itu. Namun beliau meninggalkan Umno pada tahun 1998 selepas Anwar dipecat.

Sebelum menyertai politik, beliau memegang beberapa jawatan penting dalam ABIM.

Jawatan yang paling lama beliau pegang adalah setiausaha agung ABIM, sebuah jawatan yang menentukan jatuh bangun pentadbiran NGO Islam yang banyak melahirkan tokoh berpengaruh dalam politik negara, termasuk Anwar Ibrahim. 

Jawatan terakhir yang beliau pegang adalah naib presiden antarabangsa ABIM yang mendedahkan beliau kepada dunia antarabangsa khasnya di kalangan negara OIC.

Ketika PAS memerintah Kedah daripada 2008 hingga 2013, Anuar mengetuai beberapa badan perniagaan yang ditubuhkan kerajaan termasuk menjadi pengarah urusan Kedah Agro Industries Berhad, Kedah Agro Biotech Sdn Bhd, Kedah Agro Livestock Sdn BHd, Kedah Agro Cashcrop Sdn BHd, Kedah Agro Plantation Sdn Bhd dan Kedah Agro Aquaculture Sdn Bhd. – 27 Februari, 2018.

No comments:

Post a Comment