Friday, February 16, 2018

Semakin lama berpolitik menjadikan semakin bodoh?

Lama berpolitik menghakis cerdik
Oleh Dr ROSLI KHAN  -  Februari 14, 2018
Penjelasan Tan Sri Shahrir Samad tentang apa yang berlaku di Johor Bahru beberapa hari lalu di mana penyokong BN menghalang saudara Lim Kit Siang dan pihak Pakatan Harapan daripada berdialog dengan penduduk Kampung Bakar Batu, pastinya mencuit hati ramai pembaca yang mengikuti perkembangan politik semasa.

Shahrir Samad, yang suatu masa dulu, termasuk dalam golongan ahli Umno yang dikira terpelajar, bekas penuntut Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sepertimana juga Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli, Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn, Datuk Seri Nazri Aziz, Datuk Saifuddin Abdullah, Dr Hatta Ramli dan ramai lagi.

Yang pasti mereka semuanya bermula sebagai anak muda yang terpelajar dengan budi pekerti yang tinggi, penuh disiplin dan seharusnya faham tentang adat-adat Melayu dan adab di setiap penjuru perjawatan yang mereka sandang dan dipertanggungjawabkan. Apa lagi semua ahli politik mengangkat sumpah untuk menjalankan tugas mereka dengan ikhlas, jujur dan amanah. Tetapi agak malang setelah mereka lama menceburi diri dalam arena politik, kecerdikan yang dimiliki, persisnya semakin hari semakin terhakis.

Bagi mereka yang cekap dalam matematik (mengikut Cartesian Co-ordinate System), sekiranya kecerdikan itu bermula (mengikut masa) di axis y yang positif (vertical) dan kebodohan itu di axis y yang sama tapi di bahagian negatif, dan apabila faktor kelamaan berpolitik digariskan yang menyebabkan kecerdikan itu menurun menurut masa (axis x yang horizontal), lama kelamaan penurunan yang terjadi dari kehakisan yang berlarutan itu akan memasuki zon negatif. Ini bererti hilangnya kecerdikan dan timbulnya kebodohan.

Apakah perkara sebegini ada berlaku kepada pelajar cemerlang kita oleh kerana terlalu lama melibatkan diri dalam arena politik (iaitu masa, yang bertahun tahun), yang menjadikan fikiran mereka buntu, tidak lagi dapat berfikir dengan sempurna, menjadi bebal dan tidak lagi dapat membezakan yang mana betul dan yang mana salah?

Apabila kita bercakap tentang adab, Dewan Bahasa, mentakrifkannya sebagai perangai (termasuk tuturkata) dengan maksudnya; yang sivil, sopan dan bersikap baik atau dalam Bahasa Inggerisnya to be civil, polite or courteous, and well mannered. Inilah maksud yang dinamakan beradab.

Jadi apabila Shahrir menyebut kalau masuk kampung mestilah dengan adab; apakah maksud beliau, masuklah dengan kelakuan yang sivil, sopan dan bersikap baik?

Apakah kumpulan dari Pakatan Harapan tempoh hari masuk ke Kampung Bakar Batu dengan bersikap tidak sivil, tidak sopan dan tidak baik?

Atau beberapa penduduk kampung itu sendiri atau mungkin sebenarnya ada beberapa orang luar (infiltrators) yang kebetulan juga masuk ke situ dalam masa yang sama dan bersikap tidak sopan, tidak baik dan tidak sivil terhadap kumpulan dari Pakatan Harapan? Atau mereka ini dengan sengaja mahu merosakkan program pada malam itu?

Adab sebagai kayu pengukur

Shahrir adalah seorang yang berpengalaman dalam politik. Sekiranya dia mahukan adab dijadikan garis panduan dan kayu pengukur perangai dan tuturkata untuk kesemua ahli-ahli politik di Malaysia, ini adalah satu pendekatan yang baik dan cemerlang. Ramai yang percaya perkara ini akan disambut baik oleh pihak Pakatan Harapan dan ahli-ahli parti.

Tetapi apakah adab ini harus dipraktikkan oleh mereka dari Pakatan Harapan sahaja dan tidak kepada mereka dari BN?

Atau sewajarnya untuk kesemua ahli ahli politik tidak kira dari parti mana, PH ataupun BN?
Sekiranya adab ini melibatkan ahli-ahli politik dari BN juga, pastinya ramai pembaca akan tertanya-tanya.

Apakah penggunaan ungkapan ‘kepala bapak kau’ yang diucapkan oleh Datuk Seri Najib Razak di persidangan MCA tempohari itu beradab?

Apakah episod pelakun Mat Over yang cuba menyepak pengarah filem David Teo di hadapan Najib dalam majlis dialog bersama artis pada bulan Mei tahun sudah itu beradab?

Di mana Shahrir ketika itu? Kenapa beliau cuma diam?

Atau sikap dan segala tindak tanduk yang dilakukan oleh ahli politik dari Selangor, Jamal Yunos, ketua Umno Sungai Besar itu, juga termasuk dalam golongan beradab?

Kenapa kita tidak pernah mendengar komen tentang adab-adab dalam penipuan, korupsi, penyelewengan, pembaziran, pencurian bon kerajaan dan sebagainya dari ahli parlimen Johor Bharu ini?

Atau sememangnya Shahrir mempunyai double standard? Satu adab yang tinggi untuk HARAPAN dan satu lagi, yang pastinya adab yang rendah atau tiada adab langsung untuk kumpulan BN?

Isu-isu lebih besar

Banyak lagi contoh contoh yang boleh diberi tentang perangai dan tutur kata ahli-ahli politik yang dikira tidak beradab tetapi tidak mendapat teguran dari Shahrir.

Ramai di antara pembaca yang inginkan kejujuran. Maka berlakulah jujur dalam erti kata sebenarnya.

Rakyat lebih percaya kepada kejujuran dan kebenaran. Ini juga adalah adab politik, bukan saja adab masuk kampung. Sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman, apakah isu sebegini yang menjadi bahan politik untuk Shahrir? Bagaimana dengan isu-isu yang lebih besar yang melanda negara, seperti 1MDB, GST, kos sara hidup yang tinggi, pengangguran mahasiswa dan sebagainya? Apakah tidak perlu ada adab politik untuk menghuraikan isu-isu ini?

Atau apakah isu-isu begini tidak lagi penting kepada seorang yang begitu lama berkecimpung di arena politik? Apalagi dari seorang bekas pelajar MCKK?

Para pembaca tentu sekali berharap bahawa teori kehakisan kecerdikan yang berkait rapat dengan panjangnya masa dalam arena politik yang berlandaskan sistem Cartesian Co-ordinate itu tadi, tidak ada kebenarannya.

* ROSLI KHAN Merupakan perunding pengangkutan di Kuala Lumpur dan sering mengembara ke kawasan terpencil untuk menulis berkenaan ekonomi dan politik Malaysia.

2 comments:

  1. hakikatnay makin lama manusia idup maka makin tambah boddonya
    itu janji Allah
    patut patut idup dahlah

    ReplyDelete
  2. Kuat makan dedak hati hitam lamalama jadi bodoh

    ReplyDelete