Thursday, February 15, 2018

Isu NFC: Puad Zarkashi salah fokus dan salah soalan (video inside)

Isu NFC: Muhyiddin bidas balik Puad Zarkashi
Mohamad Fadli  -  February 14, 2018
PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Datuk Puad Zarkashi yang memintanya tampil menjawab isu berhubung National Feedlot Corporation (NFC).

Presiden PPBM berkata Puad tidak perlu mencabarnya menjelaskan isu itu kerana umum mengetahui kes itu sudah disiasat pihak berkuasa.

“Saya akui projek itu sewaktu saya jadi menteri pertanian kerana kehendak pimpinan waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi, mahu tingkatkan hasil pengeluaran.

“Apa yang sepatutnya Puad tanya, kenapa kerajaan tidak ambil tindakan kepada pihak pengusaha sehingga projek menjadi kenyataan itu tidak berjaya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden PPBM di Galeri PPBM di Menara Yayasan Selangor.
Semalam Puad membuat gesaan itu selepas Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah dilaporkan berkata kritikan berhubung isu NFC sepatutnya diarahkan kepada Muhyiddin yang menyandang portfolio pertanian dan industri asas tani semasa penubuhan NFC pada 2006.

Azwanddin berkata Muhyiddin pasti mempunyai maklumat terperinci berhubung isu NFC dan Puad berkata Muhyiddin mengelak daripada mencerahkan isu itu.

Syarikat NFC ditubuhkan untuk membangunkan industri daging lembu terancang, bersepadu dan mampan namun kontroversi timbul apabila Pengerusi Eksekutif Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail disiasat dan didakwa atas 2 pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai keseluruhan RM49.7 juta.

Menurut laporan media, Salleh, didakwa menyalurkan RM9,758,140 melalui cek NFC untuk membayar sebahagian daripada pembelian 2 buah kondominium di ibu negara. Beliau juga didakwa memindahkan RM40 juta melalui cek kepada National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd.

Mahkamah melepaskan dan membebaskan Salleh daripada semua pertuduhan jenayah pada 25 November 2015.

Muhyiddin berkata Puad sapatutnya mempersoalkan mengapa projek membangunkan industri daging lembu negara itu gagal dilaksanakan.

“Dia mesti tahu keadaan sebenar untuk bertanya apa yang sebenarnya berlaku terhadap projek itu,” katanya.

Kesihatan Dr M semakin baik

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut memaklumkan keadaan kesihatan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad semakin baik dan bekas perdana menteri itu dinasihatkan untuk berehat lebih lama.

“Dr Mahathir dilihat masih semangat dan mengambil tahu mengenai perkembangan parti dan masalah rakyat,” katanya.

Dr Mahathir dimasukkan ke Institut Jantung Negara pada Jumaat dan dirawat kerana jangkitan di dada selepas diserang batuk.

Ini kali ke-2 dalam tempoh 18 bulan beliau dimasukkan ke IJN akibat jangkitan di dada, selepas Ogos 2016 untuk rawatan dan pemerhatian.

Dr Mahathir menjalani pembedahan pintasan koronari di IJN pada 1989, selepas mengalami masalah jantung. Beliau kemudiannya menjalani satu lagi pembedahan pintasan jantung pada 2007.

Pada 2013, pengerusi PPBM itu turut dimasukkan ke IJN selama 10 hari untuk rawatan akibat jangkitan di dada.

Dr Mahathir yang akan berusia 93 tahun pada Julai ini ialah calon perdana menteri Pakatan Harapan dan pernah memimpin negara selama 22 tahun sebelum berundur pada 2003.

1 comment:

  1. Dan belanjakanlah sebagian dari apa yang telah Kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang saleh?"


    matde rehatlah elok elok ni ada
    peluang zikir banyak banyak
    kalau tidak sibuk memanjang
    kalau ada apa lebihan harta tu elok lah disedeqah bnayak banayk

    ReplyDelete