Showing posts with label maruah. Show all posts
Showing posts with label maruah. Show all posts

Friday, February 23, 2018

Kita dimalukan mengenai kemaluan wanita

Apabila Malaysia dimalukan mengenai kemaluan wanita
Faisal Tehrani  -  February 22, 2018
Gambar Reuters

Beberapa hari lepas, Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) menegur prestasi hak asasi manusia di Malaysia khusus melibatkan pembangunan wanita.

Kritikan keras dan pedas dari jawatankuasa itu meliputi pelbagai aspek termasuk kelemahan perundangan, diskriminasi terhadap transgender, hak penjagaan anak, pendidikan seks, pewarisan, poligami dan lain-lain lagi.

Sejak menandatangani konvensyen tersebut pada 1995, Malaysia seharusnya melaporkan perkembangan pembangunan wanita setiap empat tahun. Namun demikian, Malaysia gagal berbuat demikian dan kali terakhir melaporkan kepada CEDAW pada 2006.

Apa yang lebih menghampakan jawatankuasa tersebut ialah apabila wakil Malaysia menghujahkan tradisi amalan agama sebagai alasan untuk melakukan “pemotongan genitalia wanita” atau “female genital mutilation” (FGM) terhadap kanak-kanak perempuan.

Wakil Malaysia mendakwa negara ini mematuhi tradisi perundangan mazhab Syafie dan ia dianggap wajib melainkan menjejas atau mencederakan bayi atau kanak-kanak tersebut.

Hujah tersebut disangkal oleh ahli jawatankuasa CEDAW, NaƩla Gabr dari Mesir yang menyatakan FGM kanak-kanak perempuan adalah tradisi Afrika dan tidak diamalkan di negara Islam yang lain seperti Arab Saudi dan Algeria.

Gabr malah menekankan, Mesir juga mengamalkan mazhab Syafie tetapi tidak mengamalkannya dan mendesak supaya fatwa itu dibincangkan semula.

Anggota komiti CEDAW dari Bangladesh, Ismat Jahan, turut menolak FGM kanak-kanak perempuan. Lebih memalukan, 6 ahli komiti CEDAW yang mendengar laporan dari Malaysia adalah dari negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) iaitu Mesir dan Bangladesh sendiri, serta Lubnan, Turki, Algeria, dan Mauritania.

Mereka menolak amalan FGM kanak-kanak perempuan sebagai amalan Islam. Mereka juga menegaskan negara mereka tidak mengamalkannya.

Teguran CEDAW adalah tamparan keras kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-86 yang bersidang antara 21 sehingga 23 April 2009.

Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan hukum “berkhatan” bagi perempuan adalah wajib, namun boleh dielakkan jika membawa kemudaratan. Aktivis hak asasi manusia telah berulangkali menegaskan amalan ini bercanggah dengan pendirian ulama tersohor, antara lain Dr Yusuf al-Qaradawi yang menjadi rujukan penting fekah aliran Sunnah zaman ini.

Selain beliau, ilmuan Islam dari Mesir, Dr Mohammad Salim Al-Awa turut menghujahkan amalan FGM ini hanya menjadi tradisi budaya sebahagian kecil masyarakat Arab. Dari sudut perubatan, Dr Harlina Siraj, pakar sakit puan yang pernah mengetuai Jabatan Pendidikan Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia, menyifatkan amalan ini sebagai “penghinaan” terhadap wanita dan tiada dalam sirah (sejarah kehidupan Nabi Muhammad) yang menyatakan Rasulullah “mengkhatankan” anak perempuan.

Prosedur

Bagaimanakah tradisi Melayu melakukan amalan ini?

Kebiasaannya bayi perempuan Melayu dipotong bahagian genitalia mereka selepas 45 hari dilahirkan, ada yang menunggu antara usia 3-6 bulan. Terdapat juga kalangan wanita dewasa yang baru menganut agama Islam atau pekerja seks rela untuk dipotong selaput daging pada bahagian atas saluran kencing yang menutupi klitoris mereka.

Ibu bapa bayi akan menyediakan kain kapas putih sepanjang satu meter (2m bagi wanita dewasa). Kain putih ini digunakan sebagai lapik punggung dan kain yang sama juga dikoyakkan sedikit untuk membungkus duit syiling dan pelapik mata pisau cukur.

Selain duit syiling 5 sen (sebagai pelapik mata pisau cukur bagi mengelak mata pisau menoreh tangan) dan mata pisau cukur, tukang potong kemaluan bayi perempuan juga akan menyediakan minyak urut (selalunya gamat).

Sebelum proses pemotongan, bidan atau tukang mudin akan membacakan doa, selawat, Al-Fatihah, Ayat Kursi, dan kalimah syahadat sebanyak 3 kali. Mata pisau cukur dikerat antara 2-4 bahagian kecil dan untuk perempuan dewasa, gunting akan digunakan. Bidan akan memotong daging yang ada di sebelah atas faraj yang seakan-akan bonggolan atau jambul di kepala ayam jantan. Kononnya memotong sedikit sahaja dari daging itu lebih afdhal.

Darah yang terbit akan dilapkan dengan kapas putih. Untuk perempuan dewasa, daging yang dipotong adalah kira-kira setengah inci (1.3cm). Selepas proses memotong tersebut, dalam keadaan pedih, bayi akan dimandikan dengan air limau sambil membaca selawat.

Sebagai penutup, bidan akan berdoa iaitu memohon kepada Allah supaya mangsa yang dipotong kemaluannya sentiasa taat kepada perintah-Nya. Kain, mata pisau dan gunting akan digunakan sekali saja dan dibungkus lantas ditanam bersama daging yang dipotong tadi. Bidan melakukan pemotongan kemaluan ini tanpa sebarang suntikan bius atau ubat pelali. Mereka hanya berbekalkan ayat Al-Quran agar mangsa yang dipotong tidak merasa sakit.

FGM tinggi di alam Melayu

Laporan Unicef, yang menangani pemotongan kemaluan kanak-kanak perempuan pada Februari 2016, menyatakan rantau Melayu (khusus Indonesia) adalah antara yang ketiga tertinggi mempertahankan tradisi ini termasuk Gambia dan Somalia.

Di Malaysia, tradisi pemotongan kemaluan bayi perempuan ini lebih banyak diamalkan oleh suku Boyan dan kemudian suku lain terikut-ikut.

Selalunya hujah lain untuk mewajarkan pemotongan kemaluan ini adalah agar dapat menundukkan wanita untuk lebih mudah mengendalikan rangsangan seksual mereka.

Sebagai contoh, Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid, pernah menyatakan amalan memotong kemaluan perempuan ini wajar diterima memandangkan “amalan di Malaysia berbeza dengan masyarakat Islam di negara lain kerana ia hanya melalukan mata pisau di bahagian kelentit dan digalakkan dalam Islam”.

Beliau seterusnya berhujah, “khatan untuk wanita di sini hanyalah melalukan pisau di hujung kelentit untuk mengurangkan nafsu dan berbeza dengan khatan di luar negara yang membuang sepenuhnya. Ia diharamkan dalam Islam kerana memudaratkan dan menyakitkan. Kita di Malaysia tidak sampai ke tahap itu. Perkara ini sudah dibincangkan dalam Majlis Fatwa. Apa yang dilakukan negara luar adalah melampaui batas tatasusila manusia”.

Adalah sangat mengecewakan kaum agamawan mempertahankan tradisi yang tidak berjejak dari amalan Islam ini dan mengenepikan permintaan pengamal perubatan. Alasan yang diberikan adalah amalan keagamaan, sedangkan Islam mazhab Syafie yang dipraktikkan di Mesir menghujahkan ia bukan satu bahagian dari Islam.

Ulama yang jauh lebih canggih seperti Yusuf al-Qaradawi sendiri menolak. Lebih menyedihkan ialah agamawan sanggup mendokong hujah patriarki dan memberi alasan agar kepuasan seksual perempuan diatur dan dikawal tubuhnya seraya menggambarkan fikiran stereotaip bahawa kanak-kanak kalau “tidak disunat akan liar”.

Kepuasan wanita Melayu

Sebenarnya amalan pemotongan kemaluan perempuan ini hanyalah satu tradisi yang diamalkan oleh etnik tertentu.

Jika kita membaca teks Melayu lama seperti “Perhimpunan Gunawan Bagi Laki-Laki dan Perempuan” yang dihasilkan oleh Khatijah Terung (isteri kepada kadi Riau, Raja Abdullah pada sekitar 1900), perempuan ternyata meraikan kepuasan seksual mereka.

Malah di dalam teks ini kegunaan klitoris diberi fokus khas agar perempuan juga puas.

Amalan perhambaan terdapat dalam agama Islam dan hari ini, kerana ia tidak lagi dianggap sebagai berperimanusiaan maka ia telah dihapuskan. Semestinyalah tradisi yang tidak sihat, beralasan “male-egoist”, dan tiada hujah jelas ditolak.

Amalan Islam harus sejajar dengan perkembangan semasa. Sudah tiba masanya kita menghentikan upacara memotong kemaluan kanak-kanak perempuan mahupun dewasa. Sedikit atau banyak bahagian kelentit dipotong bukanlah alasan untuk meneruskan amalan jahiliah ini.

Empat tahun lagi, jika tidak tuang, Malaysia akan membentangkan laporan kepada jawatankuasa CEDAW sekali lagi. Moga-moga banyak perubahan akan dicapai, dan bukan kemerosotan hak wanita.

* Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.

Kaitan:
Khatan perempuan tiada dalam Islam, kata pakar
Tidak perlu haramkan amalan khatan perempuan, kata mufti

Tuesday, October 3, 2017

Cemar nama negara lagi, kelakuan biadap di negara orang!

Tindakan konvoi bikers Malaysia halang lalu lintas di Thailand dikecam
Kohilah Sekaran, Astro Awani |  Diterbitkan pada Oktober 02, 2017 22:05 MYT
Sebuah video yang memaparkan tindakan konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia yang menyekat pergerakan lalu lintas di Thailand mengundang kecaman netizen.

KUALA LUMPUR: Sebuah video viral yang memaparkan tindakan konvoi penunggang motosikal berkuasa tinggi dari Malaysia yang menyekat pergerakan lalu lintas di persimpangan jalan yang sibuk di selatan Thailand baru-baru ini mengundang kecaman netizen.

Video berdurasi dua minit itu menunjukkan empat penunggang motosikal berkuasa tinggi bertindak seperti 'marsyal’ yang menahan kenderaan dari laluan kiri dan kanan di persimpangan lampu isyarat bagi memberi ruang kepada konvoi motosikal besar kumpulan berkenaan berlalu terlebih dahulu.

Insiden yang dilapor berlaku pada 22 September lalu itu mengundang reaksi tidak puas hati kalangan rakyat di negara itu.

Mereka menyifatkan tindakan bikers itu sebagai ‘angkuh’ kerana tidak menghormati undang-undang jalan raya di negara lain.

Sementara itu, Kelab Chopper Garage Kelantan (CGK) hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Gabenor Narathiwat dan seluruh rakyat Thailand di atas kecuaian dalam mengawal pergerakan konvoi motosikal berkuasa tinggi di wilayah tersebut.

Memetik laporan portal Bernama, presidennya Diami Yusoff berkata surat permohonan maaf itu sudah dihantar kepada pemangku Konsul Jeneral Thailand di Kota Bharu, Jantarat Ngamchana di Pejabat Konsul Jeneral, Royal Thai Consulate kira-kira 10 pagi tadi.

"Kejadian itu berlaku di persimpangan lampu isyarat jalan raya di Wilayah Narathiwat, Selatan Thailand ketika kami dalam pergerakan konvoi sempena Program Mahabbah Keenam pada 22 Sept lepas," katanya
.

Thursday, June 1, 2017

1MDB dan RM2.6 bilion punya pasal?

Populariti Najib lebih teruk kerana 1MDB
Saifuddin Nasution Ismail    Hari ini, 1:36 tengahari
ULASAN Saya mengambil maklum laporan yang dikeluarkan oleh majalah berita Time yang berpangkalan di New York, menyatakan bahawa terdapat banyak pemimpin dunia yang rating mereka lebih teruk berbanding Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Media itu melaporkan bahawa Trump bukanlah pemimpin yang popular dalam kalangan rakyat AS. Kadar penerimaan rakyat terhadap beliau dilaporkan cuma 40 peratus berbanding pemimpin-pemimpin lain dunia.

Namun yang paling mengejutkan, Time turut menamakan salah seorang pemimpin dunia yang buruk ratingnya adalah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam laporan Time, Najib dikaitkan dengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sarat hutang berbilion ringgit serta kemasukan wang RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya yang dikatakan daripada kerabat diraja Arab Saudi.

Majalah itu juga melaporkan, Najib didukung oleh peguam negara Malaysia yang mengesahkan wang itu adalah derma dan sebahagian besarnya telah dipulangkan kembali. Justeru tidak mengejutkan jika rating Najib sebegitu rendah.

Bagi saya, perkara ini sangat memalukan rakyat. PM Malaysia lebih dikenali di peringkat antarabangsa melalui skandal-skandal kewangan yang teruk. Seperti tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan penyelewengan dana 1MDB yang menamakan pemimpin negara sebagai Malaysia Official 1 (MO1) dan dirujuk sebanyak 36 kali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan ketika ditemubual BBC mengesahkan Malaysia Official 1 adalah Datuk Seri Najib.

Dalam skandal mega ini, saya merasakan dunia luar lebih mengetahui cerita sebenar berbanding rakyat Malaysia sendiri. Sebelum ini, Bank Standard Chartered dan Coutts dikenakan penalti S$5.2 juta dan S$2.4 juta oleh Bank Pusat Singapura kerana melanggar syarat pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB.

Sebelumnya, transaksi itu telah diperincikan dalam pemfailan saman sivil DOJ yang menyebut AS$700 juta telah dipindahkan daripada Good Star Limited, milik hartawan Pulau Pinang Jho Low, melalui institusi kewangan Coutts.

Dalam isu ini, timbul beberapa kemusykilan mengenai dakwaan skandal itu. Adakah cerita MO1 sekadar sensasi politik? Sehingga berjuta-juta dollar aset Jho Low dan 11 aset hartanah milik anak tiri Najib, Riza Aziz disita di AS angkara penyelewengan kewangan1MDB.

Manakala pendakwaan mahkamah berhubung kes itu dan dua buah bank yang diarahkan tutup di Singapura adakah sekadar cerita rekaan?

Saya percaya rakyat Malaysia matang menilai maklumat. Dengan terdedahnya skandal tersebut, pasti akan wujud gelombang menolak Najib dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. Rakyat Malaysia tentunya sudah bersedia untuk melakukan perubahan demi kesejahteraan mereka dan negara.

Sejak Najib dilantik sebagai PM pada 2009, beliau dilihat gagal menjalankan tanggungjawabnya terhadap rakyat. Suara rakyat tidak didengari. Najib hanya pandai menabur janji sehingga rakyat terbeban dengan GST, kos sara hidup yang tinggi serta kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit yang parah.

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL  Setiausaha Agung PKR

Friday, March 31, 2017

Cocok benar nih: Pesan Lebai Malang

Pesan Lebai Malang
31 Mac 2017 | ZURINAH HASSAN
Lebai Malang

Pesan Lebai Malang
jangan jadi seperti aku
banyak berangan-angan
tetapi salah pertimbangan.

Aku ini hidup di kampung
bahagia rasanya orang menyanjung
dilihat rajin beribadat
dilayani dengan hormat
dikira alim diminta berkat
dijemput ke rumah
didudukkan di tengah
disalami para jemaah.

Suatu hari datanglah undangan
di hilir berlaku kematian
di hulu ada kenduri kesyukuran
aku yang dilihat tenang
diam-diam mencongak peluang
tak siapa menyangka
diam diam membayangkan hidangan
kenduri lebih enak lauknya banyak
tetapi kematian di hulu mengharap
kedatanganku
mereka yang mengundang terlebih dulu
dan aku telah setuju
kemudian tiba jemputan kenduri
menolak bererti rugi.

Lama juga berkira-kira
lauk sedap terbuka selera
banyak bererti laba
tak sedar hari meninggi
mengayuh ke hulu mengejar kenduri
pantang menolak rezeki

Waktu sudah dekat
aku hampir terlambat
hari panas arus pun deras
aku perlu bekerja keras
jika tidak mahu terlepas
namun, apabila aku sampai
semuanya sudah selesai
dengan penuh kecewa aku ke hilir pula
berkayuh sekuat tenaga
namun, kelajuan perahu terhalang
oleh air yang sedang pasang
aku sampai hampir petang
jenazah sudah sempurna dikebumi
khidmatku tak perlu lagi.

Begitulah dikata orang
malangnya Si Lebai Malang
mudik menongkah arus hilir menongkah pasang
di sana tak dapat nasi
di sini tak dapat makan
ke hulu terlepas habuan
ke hilir terlepas peluang.

Aku yang dilihat warak
sebenarnya tamak
sana mahu ditangkap
sini mahu dikepung
sana mahu dikejar
sini mahu dikendong
ke sana mengejar peluang
ke sini mengira untung.
Wahai anak cucu
jangan jadi sepertiku
lebih nafsu kurang ilmu
banyak bermimpi kurang strategi.

Thursday, December 22, 2016

Bila siBangang bertemu siTolol: Ratu Naga disimbah air longkang dan najis di rumah Jamal

Gara-gara bawa sebotol air ke rumah Jamal
MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI - 22 DISEMBER 2016
Gara-gara bawa sebotol air ke rumah Jamal Ratu Naga. Gambar yang dikongsikan oleh Jamal sendiri. - Foto ihsan Datuk Seri Jamal Md Yunos

SHAH ALAM - "Kedatangan dia 'Ratu Naga' Syarul Ema Rena Abu Samah, ke rumah saya dengan hanya membawa sebotol air, adalah satu penghinaan."

Demikian reaksi Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos berhubung insiden kekecohan yang berlaku di hadapan rumahnya di Ampang, pagi ini.

Terdahulu, satu kekecohan berlaku apabila kedatangan Syarul Ema Rena yang popular dengan jolokan Ratu Naga ke rumah Jamal dengan membawa sebotol air bertujuan untuk memandikannya.

Dakwa Jamal, jiran-jirannya yang melihat situasi itu kemudiannya bertindak 'memandikan' Ratu Naga dengan air longkang dan najis.

"Sudah lima hari air tiada di rumah saya, jadi apa yang mereka bawa dengan sebotol air hanya nak mengejek-ejek saya, saya tahu apa yang mereka lakukan ini kerana tindak balas tentang mesej saya berikan semalam.

"Saya minta dia balik tapi tak mahu balik sebab itulah dia dimandikan dengan air longkang dan air najis baru dia balik. Dia nak sangat merasa air longkang dan air kumbahan jadi dia kena hadaplah benda ini, kerana perbuatan beliau untuk mengejek membawa padah," katanya kepada Sinar Online hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jamal bertuala, mahu tumpang mandi di pejabat MB]

Dalam pada itu, Jamal berkata, sepatutnya isu air ini tidak boleh dipolitikkan dan dipermainkan kerana ini perkara serius.

"Mereka sepatutnya berbincang dengan pemimpin mereka untuk menyelesaikan isu air ini, bukan hendak main politik," katanya lagi sambil menambah beliau bukan hendak membuat gimik politik berkenaan isu air ini.

"Ini masalah rakyat Selangor, sudah lima hari air di rumah saya tiada ini bukan main-main, kamu semua boleh datang sendiri ke rumah saya tengok," katanya.

Ini pula laporan dari malaysiakini
Ratu Naga bermandi cat, telur, tepung
Anne Muhammad      Hari ini, 1:46 tengahari      Hari ini, 2:33 tengahari
Niat seorang ahli PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah untuk membantu pemimpin Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengadu tidak mandi selama empat hari kerana gangguan bekalan air bertukar menjadi pengalaman negeri.

Syarul Ema atau lebih dikenali dengan nama Ratu Naga mendakwa dirinya diserang dengan dibaling enam papan telur, air cat dan juga tepung.

“Kira-kira jam 10.15pagi saya sampai di kawasan rumah Jamal. Bila tiba di sana, kereta saya ditahan kira-kira 30 orang dan diketuai oleh Jamal, mereka sekat jalan.


“Saya seorang turun dari kereta, dia kata dah lama nak jumpa saya. Bila saya saya cakap nak hantar air, dia kata kau memang bodoh…

“Tiba-tiba ada seorang pengikut Jamal baling air bercampur cat ke arah saya, kemudian orang tu lari, sebelum mula baling telur dan saya kemudian bergelut dengan (kira-kira) 30 pengikut Jamal.

"Ketika itu Jamal sudah lari,” katanya pada satu sidang media di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini sambil menambah beliau akan membuat laporan polis kemudian nanti.

Semalam Jamal hanya bertuala dan hadir ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam untuk tumpang mandi di pejabat menteri besar Selangor.

Jamal yang juga ketua Umno Bahagian Sungai Besar turut membawa gayung, berus gigi dan sabun sebagai protes terhadap kerajaan negeri yang didakwanya gagal mengurus masalah air di negeri itu.

Mengulas lanjut, Ratu Naga berkata kehadirannya bersama NGO Sinar Ehsan yang sudah lama disertainya hanyalah ingin menghulurkan bantuan kepada Jamal.

“Semalam saya dah beritahu terang-terangan yang saya nak hantar bantuan air dekat Jamal. Jadi saya pergi ke rumah Jamal di Ampang tujuan nak hantar air.

“Kami simpati dengan Jamal kerana satu Ampang mandi kecuali dia seorang, kita hantar air dengan harapan dia boleh mandi,” katanya.

Ratu Naga berkata, selepas diserang oleh sekumpulan lelaki itu, beliau diselamatkan oleh suaminya, Ezad Zainal yang pada awalnya menunggu dari dalam kereta.

Ratu Naga turut melahirkan rasa kesalnya bagaimana 30 orang lelaki tergamak menyerangnya.

“Saya masih terkejut. Saya tak sangka saya seorang perempuan perlu 30 0rang lelaki untuk bertumbuk dengan saya semata-mata nak tolak bantuan.

“Saya seorang perempuan pun dia takut. Saya hantar air nak bagi Jamal mandi, selepas tu dia mandikan saya dengan air yang dia ada,” katanya dengan kesal.

Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Jamal.

Sunday, December 11, 2016

Pembingkas jerat

Aib pembingkas jerat
ADAM A KADIR - 11 DISEMBER 2016
Tun Dr Mahathir Mohamad

SURAT yang membatalkan undangan kepada Tun Dr Mahathir ke majlis naik takhta YDP Agong dan Timbalan baginda pada 13 Disember, 2016 (lusa) adalah luar biasa, kalaupun tidak pernah berlaku. Penanda-tangan surat itu ialah Syed Danial, pemegang mohor besar Raja-Raja. Beliau dipercayai berbuat begitu atas arahan.

Kedua-duanya saya kenali secara peribadi. Seorang, sebagai bos langsung ketika beliau bertugas sebagai perdana menteri; seorang lagi ialah kontemporari saya ketika menjadi siswa di Universiti Malaya dalam tahun-tahun 1960-an.

Bolehlah dibayangkan apabila Tun M menerima surat itu, beliau sebagaimana manusia biasa harus didatangi rasa malu. Jika Tun M hadir juga, beliau akan menghadapi embarrassment yang diterjemahkan sebagai ‘kesipuan’ oleh Syed Danial. Pun begitu, inilah pertama kali saya mendengar istilah itu dalam bahasa Melayu.

Mungkin ‘kesiluan’ lebih tepat daripada ‘kesipuan’ memandangkan embarrassment ialah perasaan dan bukan memekan. Namun begitu apabila pembatalan itu terdedah kepada orang ramai melalui media sosial dan media massa, perasaan rendah diri itu bertukar menjadi aib di sisi orang ramai.

Perkataan yang berasal daripada bahasa Arab ini amat dalam maknanya. Ia adalah asas kejatuhan maruah yang boleh mengakibatkan permusuhan, pertentangan malah peperangan. Ini sudah sedia kita ketahui melalui pembacaan terhadap sejarah Arab sebelum dan selepas Islam. Iskandar Zulkarnain dan Genghis Khan menawan sebahagian besar dunia dek membalas dendam kerana ansestor dan mereka sendiri diaibkan.

Api ketika unggun memanggang ikan. Ketika besar, ia membakar rumah. Lagu-lagu lama nyanyian Nona Asiah dan Lena sering memakai lambang ‘api’ dalam lirik lagu-lagu mereka. Salah satunya berbunyi: ‘Jangan bermain api, nanti membakar diri!’. Aib yang dialami Iskandar dan Genghis menggerakkan mereka bertindak, tetapi yang dicurigai kini ialah aib yang dialami Tun M ini akan mengakibatkan libasan ‘ekor pari’ daripada pihak orang lain, bukan Tun M sendiri. Ia mungkin menjadi pembingkas jerat.

Suka atau tidak, mata lebam Anwar Ibrahim akibat dipukul dalam tahanan 17 tahun dulu telah mendapat simpati yang tidak terhingga bukan saja daripada mereka yang pro beliau malah mereka yang anti beliau. Justeru, keputusan PRU 1999 membawa keadaan nyaris-nyaris kepada BN.

Saya sebagai pemimpin akar-umbi Umno di Kuantan rasa cemas terhadap anak buah yang lantang membenci ‘kezaliman’ yang dikenakan kepada Anwar, sedangkan mereka sebenarnya bukan penyokong Anwar. Bahawa mereka berpaling tadah dan mengundi parti Anwar adalah kesimpulan yang logik.

Lihat pula Dr Khir Toyo, ketika itu menjadi MB Selangor. Humor beliau tidak kena pada masa dan tempat. Beliau cuba berhumor, memberikan hadiah penyapu kepada seorang pegawai yang terbukti lemah prestasinya. Tidak disangka-sangka, gambar pemberian penyapu itu disiarkan oleh media berleluasa. Individu kecil dan besar, tua dan muda, suri rumah tangga, orang-orang kampung dan kota, baik penganggur atau pemakan gaji, menyaksikan sendiri dengan mata kepala mereka perbuatan aib itu.

Pemimpin-pemimpin di atas Khir di Putrajaya dan PWTC hanya melepas tangan apabila aset sudah menjadi liabiliti. Memasuki pilihan raya dengan membawa segala yang disebutkan di atas itu menjaminkan satu bebanan besar. Maka, buat pertama kali sejak 1959, Selangor terlucut dari tangan Umno-Perikatan/Umno-BN. Untuk Umno-BN, ia boleh dikarikaturkan sebagai PRU Penyapu. Kehilangan Selangor ialah kehilangan paling besar. Ini kerana Selangor secara tersendiri sudah mencapai tahap negara maju, berdasarkan ukuran hasil mahsul, jumlah rakyat berpendidikan, jumlah doktor, jurutera, profesional, akademik, karyawan dan kemudahan sosial dan infrastruktur.

Memang benarlah apa yang dikatakan Tun M bahawa majlis diraja itu ialah majlis negara dan bukan majlis politik. Orang-orang kampung dalam cawangan Umno pimpinan saya pun tahu hakikat itu. Apa lagi kawan-kawan saya tinggi dan rendah di Lembah Kelang.

Meskipun PM Malaysia tidak begitu kuat dari segi senjata dan ekonomi, namun depangan kuasa beliau mengatasi banyak ketua kerajaan di dunia. Yang terkini, Presiden Brazil dan Presiden Korea boleh didakwa, dan mungkin didapati bersalah, justeru dihukum.

Di sini, penamatan tugas oleh Peguam Negara, Pesuruhjaya SPRM dan Gabenor Bank Negara akibat bahang 1MDB mencerminkan kuasa PM. Justeru, menurut yang kelihatan kini, PM Malaysia tidak mungkin menghadapi nasib seperti kedua-dua presiden itu.

Saturday, November 12, 2016

Minah ni buat hal lagi: Ape ke pulak ni? - Video di dalam

“Nafsu Abang Susah Adik Nak Jangka,” Kata Liana Rosli
Published on Nov 11, 2016
TIDAK serik dikecam netizen selepas beraksi lucah dalam video pemasaran produknya, anak pelakon veteran, Normah Damanhuri sekali lagi mencetuskan kontroversi di laman sosial.

Jika sebelum ini, anak keempat Normah dilihat sengaja menayangkan sebahagian payudara selain beraksi ghairah, kali ini dengan aksi yang sama tetapi di dalam hutan pula.

Liana Rosli memuat naik video di laman Instagram dengan beraksi ghairah di kawasan hutan sambil ‘bergolek’ dengan produk jamunya.

Dengan kapsyen ‘nafsu abang susah adik nak jangka’, Liana yang menggelarkan dirinya sebagai Kak KM tanpa segan silu berpakaian menghairahkan ‘bergolek’ di atas tanah yang berlatarbelakang kawasan hutan dan air terjun itu.

Perkongsian Kak KM itu mendapat kecaman netizen yang menganggap tingkah lakunya memalukan kaum wanita dan kaedah menjual produk itu terlalu ‘murah’.

“Rasanya hanya cebisan kecil kaum hawa begini, yang biasa saya jumpa baik baik belaka. Bertaubatlah wahai saudara seagamaku yang begini. Keindahan dan nikmat dunia itu hanya sementara. Lubang kubur itu lagi ketat nanti. Masha Allah,” tulis Nicholas Antonio.

Tidak kurang juga, netizen yang menggambarkan Liana sebagai ‘miang’ dan mahu menjual diri, bukannya produk kesihatan.

“Kesian, sedih, gelak pun ada, jual produk macam jual diri, miang semacam. Kenapa tak tunjuk yang mana ketat?” tulis Hairuddin Xamara.

Ada netizen yang ‘takut’ untuk membeli produk Liana kerana bimbang berkelakuan seperti orang tidak siuman.

Perkongsian Liana itu ditonton lebih 89 ribu netizen yang rata-ratanya mengkritik startegi pemasarannya kerana sanggup menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita. – MYNEWSHUB.CC

Wednesday, November 2, 2016

Marahkan cina DAP konon: Hisy......tak habis dengan karut yang rugikan wang rakyat!

ECRL: Mengarut, puluhan juta ringgit untuk setiap kilometer
02 November 2016 | ARIF ATAN
Projek ECRL sepanjang 600 KM bernilai RM55 bilion

Projek landasan Kereta Api Pantai Timur atau East Coast Rail Link (ECRL) sepanjang 600 kilometer yang menggunakan dana dari China dengan kos dianggarkan mencecah RM55 bilion dipertikai kerana dilihat tidak masuk akal.

Ahli Jawatankuasa Amanah, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, banyak perkara berkaitan projek menghubungkan ibu negara dan negeri-negeri di Pantai Timur itu mengundang persoalan ketika rakyat berada dalam keadaan ekonomi negara yang amat kritikal.

“Adakah rakyat Malaysia tahu apa yang tidak kena dengan perjanjian projek ECRL yang bernilai RM55 bilion ini? Jumlah RM55 bilion ini bukan sedikit, tahu?

“Untuk jarak yang akan terlibat, setiap kilometer jika dicongak-congak ia bakal membabitkan kos puluhan jutaan ringgit! Adakah itu masuk akal?” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau juga membidas perjanjian terbabit yang tidak dilakukan secara tender terbuka ketika kerajaan mahu memuktamadkan projek tersebut sebelum akhir tahun ini.

“Bagaimana kerajaan memastikan bahawa nilai yang ditawarkan oleh kerajaan China itu adalah yang terbaik? Atau ada apa disebalik perjanjian ini yang rakyat tidak diberitahu sehinggalah kelak ia sekali lagi terdedah bila sudah agak terlewat?” tegasnya.

Mengulas lanjut, Athirah yang juga Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) menyifatkan Perdana Menteri tergesa-gesa untuk meneruskan projek yang bakal merentasi Banjaran Titiwangsa itu.

“Bagaimanakah prestasi sistem pengangkutan yang lain? Adakah keutamaan Malaysia untuk mempelbagaikan ‘produk pengangkutan’ berbanding memastikan setiap yang sedia ada dipertingkatkan keberkesanan?

“Mengapa Najib tergesa-gesa meneruskan projek ini walaupun pada masa yang sama ekonomi rakyat dan negara adalah pada tahap yang sangat kritikal?

“Adakah projek ini sebagai mahar Umno-BN kepada rakyat Kelantan agar PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) mereka diberi laluan mengambil alih Kelantan?” bidasnya.

Sehubungan itu, Athirah berpendapat penasihat kepada ekonomi kerajaan pada masa ini adalah lebih memihak kepada ketamakan rakus pemodal sehingga menafikan keadilan kepada rakyat bawahan.

“Saya teramat yakin, siapapun yang menjadi penasihat ekonomi kerajaan ini adalah mereka yang berjiwa kapitalis, pemeras dan penindas rakyat kebanyakan.

“Saya lebih rela Umno-BN tumbang terus dalam PRU14 akan datang sekalipun mereka dan sekutu serta proksi-proksi mereka melaungkan mereka itu masih baik kerana beragama Islam dan berbangsa Melayu.

“Sudah-sudahlah mempolitikkan agama dan bangsa untuk survival elit dan kapitalis. PRU14 adalah untuk kejayaan kuasa rakyat,” tegasnya lagi.

Untuk rekod, kontrak pembinaan ECRL diberikan kepada syarikat China Communication Construction Company Ltd (CCCC), manakala perjanjian kewangan akan dibuat dengan Export-Import Bank of China (EXIM).

ECRL juga dikatakan menjadi pelaburan tunggal terbesar China di Malaysia setakat ini.

Najib dilaporkan akan menandatangani butiran kontrak dan rangka kerja kewangan berkenaan pada lawatan rasmi Menteri Kewangan itu selama tujuh hari bermula sejak 31 Oktober lalu.

* celiklah mata dan bukalah telinga serta bangunkan minda yang tidur tu wahai Melayu UMNO!