Thursday, February 15, 2018

Kerajaan jangan berjanji dan berbohong - Patriot

Jika kerajaan tidak boleh beri, jangan berjanji dan berbohong, kata Patriot
DALIA ISMAIL  -  February 14, 2018 4:10 pm
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mengingatkan kerajaan sekiranya mahu mendapat sokongan  veteran tentera dan polis tidak sekali-kali mudah membuat sebarang janji dan akhirnya berbohong sekiranya gagal ditunaikan.

Setiausaha Agung Persatuan Patriot Kebangsaan Mejar (B) Mior Rosli Mior Jaafar berkata, sebarang bantuan yang dirancang oleh kerajaan bagi menjaga kebajikan veteran tentera dan polis haruslah berlaku adil kepada semua veteran tanpa mengira pangkat mereka dan mampu dilaksanakan.

” Kerajaan jangan berbohong kepada veteran. Jika tidak boleh memberi (menjaga kebajikan) jangan berjanji.

”Anda (kerajaan) akan lihat tentangan di kalangan veteran, biarkanlah mereka terpekik untuk menyatakan hak mereka tetapi jangan kerajaan berjanji dan kemudiannya berbohong disebabkan janji itu gagal dilaksanakan,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan media mengenai kegagalan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) mengagihkan inisiatif Bantuan Bakti Negara (BBN) khusus kepada veteran tanpa berpencen yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak Julai lalu.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad semalam, dipetik berkata, keluhan veteran sendiri menerusi laman facebook JHEV membuktikan kegagalan menerima BBN sebagaimana dijanjikan kerajaan.

Mior Rosli berkata, walaupun usaha kerajaan menerusi JHEV itu dianggap positif dalam menjaga kebajikan veteran tentera tidak berpencen, namun ujarnya, kesulitan dalam mengisi borang permohonan BBN harus dikaji semula antara punca veteran tentera tidak berpencen masih belum memohon BBN.

“Saya dapati borang yang perlu diisi oleh pemohon sehingga empat muka surat kemudian perlu di hantar kepada JHEV untuk diperoses.

“Ada veteran yang dapat dan ada dikalangan mereka tidak dapat kerana mereka mempunyai pendapatan lain seperti menjalankan perniagaan misalnya.

“Sepatutnya perkara ini tidak berlaku, BBN perlu diberi secara adil kepada veteran tidak mengira pangkat atau pendapatan lain yang mereka perolehi selepas bersara.

“Jika ada rungutan saya tidak salahkan kerajaan. Mungin terdapat borang yang tidak diisi dengan lengkap seperti diminta,” ujarnya.

Bahkan beliau berkata BBN bukan granuiti seperti di didakwa Nik Nazmi.

“Granuiti diperoleh selepas persaraan tapi BBN ini seperti bantuan seumpama ‘BR1M’ yang kerajaan bagi kepada veteran tentera tidak berpencen.

“Macam BR1M ada juga pemohon yang tidak dapat kerana dia ada syarikat sedangkan syarikatnya itu tidak bergerak (tidak aktif) lagi.

“Sepatutnya bagi veteran tentera perkara ini tidak berlaku kerana ia melibat pengorbanan veteran ketika berkhidmat bukan kepada kehidupan yang mereka jalani hari ini,” ujarnya.

1 comment:

  1. perlu diberi secara adil kepada veteran tidak mengira pangkat atau pendapatan lain yang mereka perolehi selepas bersara.

    ini yang dikatakan tomak Allah ajar kalau kita dah mampu jangan nak rebut hak orang miskin
    ni pun satu penyakit jugak
    ikut perngai amono semua nak sapu

    ReplyDelete