Friday, February 16, 2018

Menjelang PRU14: Inilah cabaran besar Pakatan

Pakatan berdepan cabaran besar padam api perkauman menjelang PRU14‎
Sheridan Mahavera · Diterbitkan pada 16 Feb 2018 7:00AM
Sentimen kaum dan agama adalah senjata ampuh Umno dan PAS untuk meraih sokongan Melayu terutama di kawasan luar bandar. Dr Mahathir Mohamad yang kini menerajui pembangkang Pakatan Harapan akan berdepan tugas mencabar menghapuskan sentimen ini dengan mengetengahkan isu korupsi dan kos sara hidup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Februari, 2018

MAZLAN Bujang dan Abbas Azmi adalah dua individu yang ditugaskan untuk memadamkan api perkauman dan keagamaan daripada bertambah marak dalam kalangan pengundi Melayu-Islam menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Kedua-dua mereka dari Pakatan Harapan (PH) yang cuba menjadikan PRU14 sebuah referendum tentang korupsi dan kos sara hidup berbanding pertembungan tentang keistimewaan Melayu dan Islam yang mahu diangkat Umno dan PAS.

Mazlan adalah ketua Bersatu di Tebrau, Johor sementara Abbas pula adalah ketua Pemuda Amanah Selangor. Kedua-dua negeri ini akan menjadi medan tempur utama pada PRU14.

Walaupun usaha mereka dalam kalangan Melayu Islam sudah mula membuahkan hasil, kajian mendapati yang perjuangan masih lagi jauh berliku untuk mereka dan PH mengatasi sentimen perkauman yang berdekad lamanya tertanam dalam masyarakat.

Menurut ‎Pengarah Program Merdeka Center, Ibrahim Suffian, kajian yang dilakukan tahun lepas mendapati hak orang Melayu masih menjadi kebimbangan paling utama pengundi Melayu.

‎Katanya, 37.4% orang Melayu menyifatkan hak Melayu sebagai penting untuk mereka. Hampir 17% pula meletakkan kepimpinan dan 13.1% lagi mengatakan prestasi ekonomi adalah kriteria utama untuk mereka dalam pertimbangan membuat keputusan ketika pilihan raya.

‎32.6% pula merasakan kerajaan dan penyampaian perkhidmatan sebagai kriteria utama.

“Budaya politik kita masih menggunakan kaum dan agama…untuk menggerakkan sokongan politik,” katanya ketika membentangkan hasil kajian itu di sebuah forum tahun lepas.
Ketua Pemuda Amanah Selangor Abbas Azmi mengatakan orang Melayu sudah makin bijak menilai dan kerana itu isu agama tidak lagi boleh dimainkan seperti dahulu. Tetapi, katanya lagi sentimen kaum masih masalah besar perlu ditangani pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2018

Pengundi Melayu Islam luar bandar dianggap sebagai kelompok pengundi utama pada PRU14 yang PH percaya akan menentukan sama ada parti pemerintah Barisan Nasional akan terus berkuasa.

PH sudah memperhebatkan kempen dalam kalangan orang Melayu luar bandar bagi mencetuskan sekurang-kurangnya 5% perubahan undi yang mereka percaya akan diperlukan bagi membolehkan pembangkang menakluk Putrajaya.

‎Menurut Merdeka Center, purata sokongan Melayu Islam kepada BN pada PRU13 adalah 60.39%.

‎Kebanyakan sokongan untuk DAP dan PKR-dua parti lama dalam PH- datang dari kawasan bandar yang dimenangi mereka di kebanyakkan kerusi dengan sokongan lebih 80% undi Cina Malaysia dan antara 60% hingga 70% undi orang India.

Bagi merampas sokongan Melayu Islam itu, PH menamakan bekas Presiden Umno Dr Mahathir Mohamad sebagai bakal calon perdana menteri sekiranya ia berjaya menang PRU14.

Kaum sebagai senjata

Abbas percaya yang orang Islam mampu menilai dan mengetahui bagaimana isu agama digunakan sebagai alat politik. Isu yang paling diketahui ramai adalah tentang rang undang-undang bagi meningkatkan hukuman untuk kesalahan Syariah dikenali sebagai RUU355.

“Cubaan menggunakan sentimen agama tidak berjaya seperti dahulu ketika rang undang-undang itu pertama kali dibentangkan kerana orang Islam sudah bijak menilai. Tetapi kaum masih lagi faktor yang kuat,” katanya.

‎‎Mazlan pula mengatakan beliau masih perlu menangani sentimen kaum apabila bertemu dengan orang Melayu kelas pekerja dalam sesi perbincangan kumpulan kecil.

“Saya membangkitkan isu seperti skandal 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan bagaimana ia memberi kesan kepada rakyat Malaysa seperti pengenalan cukai baru GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan),” kata Mazlan kepada The Malaysian Insight.
Orang Melayu terutama di kawasan luar bandar masih menebal sentimen kaum dan kebimbangan tentang hak istimewa Melayu. Pakatan Harapan perlu menangani sentimen ini sekiranya ia mahu menakluk Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Februari, 2018

“Tetapi maklum balas yang biasa saya dapat adalah mereka bimbang jika orang Melayu mengundi pembangkang, DAP dan orang Cina akan mengambil alih negara.”  

Naratif itu bertambah hebat dilaungkan dalam Perhimpunan Agung Umno lepas dan menjadi senjata utama parti Melayu itu untuk menentang Bersatu, Amanah, PKR dan DAP yang membentuk PH.

Penganalisis Hisommudin Bakar pula berkata naratif itu semakin hebat dimainkan aktivis Umno dalam cubaan mereka meraih undi orang Melayu pada PRU14.

Ini adalah disebabkan kebimbangan mengenai kos sara hidup dan GST sudah mula menjejaskan kehidupan rakyat yang selama ini menyokong Umno dan pemimpin bahagian parti itu bimbang rakyat akan menggunakannya untuk menolak parti itu pada pilihan raya nanti, kata Hisommudin dari Ilham Centre.

“Jadi mereka memainkan dakwaan yang Dr Mahathir bersekongkol dengan DAP, yang mahu merampas hak Melayu supaya penyokong mereka tidak memihak kepada Tun (Dr Mahathir),” katanya.  

Buat masa sekarang, sama ada kemarahan orang Melayu dalam isu kos sara hidup akan membolehkan mereka mengatasi ketakutan mereka sukar ditelah, kata Hisommudin lagi.

Tetapi Mazlan yang juga seorang pemimpin Bersatu Johor masih optimis.

“Ada orang Melayu yang akan kata tak apalah Umno korup sebab diakhirnya yang kaya masih orang Melayu,” kata Mazlan mengimbau kembali beberapa maklum balas diterimanya.

“Jadi saya tanya mereka jika pencuri masuk rumah tuan, adakah tuan-tuan akan benarkan dia curi barang jika dia Melayu? Tiada jawapan untuk itu.” – 16 Februari, 2018.

2 comments:

  1. Kajian bakul sampah

    ReplyDelete
  2. Ada orang Melayu yang akan kata tak apalah Umno korup sebab diakhirnya yang kaya masih orang Melayu

    ni ajaran Islam atau melayu
    dapat harta melalui jalan haram

    ReplyDelete