Tuesday, February 27, 2018

Sekarang Robert Kuok digigit 'anjing tersepit' yang pernah diselamatkannya?

Robert Kuok pernah beri sumbangan besar kepada Umno, MCA
TMI · Diterbitkan pada 27 Feb 2018 9:53AM
Robert Kuok dikecam Umno, parti yang pernah menerima sumbangan besar orang paling kaya Malaysia itu. Beliau didakwa memberi sumbangan kepada DAP, tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya. – Gambar Facebook, 27 Februari, 2018

TAIKUN perniagaan paling kaya Malaysia, Robert Kuok yang kini diserang pemimpin Umno dan dituduh tidak setia kepada negara pernah memberi derma besar kepada parti utama orang Melayu itu dan MCA.

Dalam memoir yang diterbitkan di Malaysia Disember lalu, Kuok menulis yang wang beliau berikan kepada parti Barisan Nasional selepas kemerdekaan sangat banyak.

“Saya sentiasa diminta memberi sumbangan besar kepada parti pemerintah, Umno dan MCA selepas kemerdekaan pada 1957. Saya beri dengan rela hati, gembira dan begitu sahaja,” tulisnya.

Ahli perniagaan berpangkalan di Hong Kong berusia 94 tahun itu mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin Umno seperti Timbalan Perdana Menteri Kedua Dr Ismail Abdul Rahman.

Beliau juga menulis tentang pelbagai lagi bentuk sumbangan kepada negara seperti penjualan syarikat perkapalan yang dibinanya, Malaysian International Shipping Corporation (MISC) atas permintaan Perdana Menteri ketika itu, Abdul Razak Hussein bagi meningkatkan pegangan orang Melayu dalam syarikat itu.

Sejak beberapa hari lepas, Kuok menjadi mangsa serangan pemimpin Umno selepas sebuah rencana dalam blog Malaysia Today yang menuduhnya membiayai parti pembangkang DAP dan mahu mewujudkan kerajaan dipimpin orang Cina.

Pemimpin Umno, Tajuddin Abdul Rahman dikatakan memberitahu Kuok supaya “tidak lupa daratan”, Perdana Menteri Najib Razak pula mengatakan Kuok tidak mungkin mengumpul harta kekayaannya tanpa bantuan kerajaan Malaysia.

Kenyataan paling kasar dikeluarkan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Nazri Aziz yang menggelarkan Kuok sebagai “pondan” dan mencabarnya supaya kembali ke Malaysia untuk bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kuok yang dianggap “Raja Gula” dengan empayar perniagaan bertaraf dunia dalam pelbagai jenis perniagaan menulis dalam bukunya tentang bagaimana beliau membantu BN dan MCA “terutama sekali menjelang pilihan raya umum”.

Katanya, bekas presiden MCA dan menteri kewangan ketika itu, Tan Siew Sin berhubung dengannya bagi mendapatkan sumbangan politik untuk MCA dan BN.

Beliau juga menceritakan kejadian apabila kepimpinan MCA memintanya wang bagi ikat jamin presiden parti itu ketika itu, Tan Koon Swan yang didakwa kerana pecah amanah di Singapura berkaitan dengan krisis Pan-El yang mengegarkan pasaran saham Malaysia dan Singapura.

Kuok membayar ikat jamin S$20 juta itu. Tan kemudiannya disabitkan bersalah dan dipenjarakan.

Pada lewat 1980-an, Kuok sekali lagi diminta membantu menyelamatkan Multi-Purpose Holdings Bhd milik MCA yang terlibat dalam perniagaan termasuklah perjudian, pembangunan hartanah dan perladangan.

Semalam, MCA mempertahankan Kuok, dengan Setiausaha Agung MCA Ong Ka Chuan mengatakan kenyataan pemimpin Umno “sangat dikesali” dan Jurucakap Publisiti Parti Ti Lian Ker mengatakan Kuok berhak menyokong mana-mana parti politik yang dimahukan dan ada undang-undang bagi mengatasi cubaan menyingkirkan kerajaan secara tidak sah.

Pejabat Kuok semalam mengeluarkan kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan dalam pertimbangan mengambil tindakan perundangan kepada penulis blog, Raja Petra Kamarudin kerana menuduhnya cuba menjatuhkan kerajaan Najib. – 27 Februari, 2018.

1 comment:

  1. 2dia kalau nak tau perangai burokkk amono n cina ynag sokong amano
    dah lama dah depa duk pelahap duit toke toke cina ni lagi mau bagi depa perintah ini negara
    boddo la

    ReplyDelete