Friday, February 16, 2018

Baru sedar selama ni dok buat rundingan dengan golongan kepala batu?

Azmin henti rundingan dengan PAS demi kemenangan Pakatan
Radzi Razak · Diterbitkan pada 15 Feb 2018 9:05PM
Semalam, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dalam temubual eksklusif dengan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, berkata semua kerja prapilihan raya Selangor dijalankan atas nama PH dan tidak akan ada rundingan kerusi atau pakatan rahsia antara beliau dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2018

PERBINCANGAN antara Pakatan Harapan (PH) dengan PAS tidak diteruskan di Selangor kerana tiada jawapan konkrit daripada parti Islam itu, dedah seorang exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Amiruddin Shari bagaimanapun berkata tindakan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali itu merupakan tindakan dipersetujui oleh parti dan PH dan bukannya kerana kedegilan pemimpin itu seperti tohmahan pihak tertentu.

"Setahu saya, semua tindakan MB itu selaras keputusan (PKR) dan beliau memang bertindak atas keputusan parti dan juga beberapa perbincangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincang dengan PAS dan merencana program negeri. 

"Itu keputusan parti Keadilan (PKR) yang diputuskan dalam mesyuarat presiden dan dasar parti.

"Namun begitu ada tahapnya. Memang ada bincang dengan PAS tapi tidak ada dapat kata putus lagi. Kita tak boleh tunggu terlalu lama," kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Semalam, Azmin dalam temubual eksklusif dengan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, berkata semua kerja prapilihan raya Selangor dijalankan atas nama PH dan tidak akan ada rundingan kerusi atau pakatan rahsia antara beliau dan PAS.

"Memandangkan PAS telah menyatakan berpecah dengan PH di peringkat kebangsaan, kita tidak akan bekerjasama dengan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya seperti dipetik akhbar itu.

Mengulas lanjut keputusan itu, Amiruddin yang juga setiausaha PKR Selangor dan ahli majlis pimpinan pusat parti itu turut menolak dakwaan bahawa masalah pembahagian kerusi DUN antara empat komponen PH negeri itu bertitik tolak dari kerjasama rahsia antara Azmin dan PAS.

Amiruddin menegaskan, dakwaan dari pihak tidak bertanggunjawab itu tidak kukuh dan tidak logi logik.

Jelasnya, perbincangan kerusi antara keempat-empat parti itu berlangsung secara organik menurut saranan majlis presiden PH yang mementingkan kebolehan parti dan calon untuk menang di tempat yang bakal ditandingi.

"Majlis Presiden kata perlu winnable. Jadi setiap keputusan harus di tahap winnable formula. 

"Ia kena diasaskan faktor kesediaan jentera dan penerimaan di kawasan (dan) pendapat bukan peribadi.

"Semua itu pandangan peribadi tanpa asas kajian. Ada pihak menekan untuk beri kerusi yang dirasakan hak mereka tanpa asas kukuh dan logik," kata beliau.

Sementara itu penganalisis politik Hisommudin Bakar pula berpendapat kenyataan tegas Azmin itu telahpun menutup spekulasi ke atas isu kerjasama dengan PAS.

Malah, PAS dalam himpunan Fastaqim 2.4 di Shah Alam bulan lalu juga mengumumkan bahawa pertembungan tiga penjuru antara mereka, PH dan BN tidak dapat dielak lagi.

Hisomuddin berkata ia merupakan berita baik kepada PH dan menambah lagi semangat mereka dalam memberi fokus mengekalkan kuasa di negeri terkaya Malaysia itu.

"Kini, tumpuan MB ialah merangka strategi mengekalkan kemenangan di Selangor dengan rakan komponen di dalam Pakatan Harapan Selangor.

"Selain itu, ianya dapat meningkatkan motivasi sesama rakan di samping memberikan keyakinan kepada seluruh pengundi Selangor bahawa fokus PH Selangor jelas untuk meneruskan dasar yang baik untuk rakyat," kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Hisomuddin yang juga merupakan Pengarah Eksekutif badan kajian Ilham Center berkata pengumuman Azmin, yang amat jarang memberi temubual ekslusif kepada media, melalui akhbar Nanyang Siang Pau itu turut menghasilkan lonjakan sokongan dan populariti dari pengundi Cina Selangor.

"Bagi pengundi Cina, PAS kini merupakan liabiliti bagi mana-mana parti yang membentuk kerjasama dengan parti berkenaan.

"Pendirian ini sedikit sebanyak membantu lonjakan sokongan terhadap MB Azmin yang selama ini masih berusaha untuk mengelakkan pertembungan dengan PAS bagi memaksimumkan kemenangan PH Selangor," kata beliau.

Azmin dalam temubual sama berkata beliau menghormati kedudukan tiga exco PAS di dalam kerajaan negeri, walaupun selepas parti Islam itu mengumumkan ia memutuskan semua hubungan dengan PH, kerana mereka dipilih oleh rakyat.

Hal itu diakui oleh Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor Yunus Hairi dan mengesahkan tiada perbincangan yang bakal berlangsung bersama PAS Selangor selepas ini.

"Dia (Azmin) dah cakap macam tu (tiada kerjasama).

"Secara politik pun, PAS dah putus tahaluf dengan PKR. Tak ada sebarang perbincangan pilihan raya antara PAS Selangor dan PH Selangor lepas ini," kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Majlis Syura Ulama PAS mengumumkan parti Islam itu putus hubungan dengan PKR pada Mei tahun lalu atas alasan PKR tidak menyokong cadangan agenda yang dibawakan oleh parti Islam itu seperti isu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Ia menimbulkan komplikasi hubungan di Selangor dan Kelantan apabila beberapa pemimpin meminta semua lantikan politik antara kedua parti di negeri itu meletakkan jawatan.

Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Ken turut meletakkan jawatan ahli biro politik PKR pada Ogos berikutan keputusan kepimpinan parti untuk bekerjasama dengan PAS.

Azmin ketika itu membuat pengumuman bahawa walaupun PAS bukan anggota PH, PKR sentiasa sudi membincangkan pilihan untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya nanti.

Pengerusi PH Mahathir Mohamad pada hujung Ogos tahun sama mengumumkan majlis presiden telah membuat ketetapan untuk menolak sebarang kerjasama dengan PAS dan bersedia untuk berdepan dengan pertembungan tiga penjuru pada PRU14 akan datang. 

Azmin yang dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya PH bagaimanapun tidak hadir dalam mesyuarat tersebut. – 15 Februari, 2018.

4 comments:

  1. صنایع دستی

    ReplyDelete
  2. Jgn la buang masa azmin ooii. Pastu pemegang kunci syurga. Mam depa saja yg islam.

    ReplyDelete
  3. Jgn la buang masa azmin ooii. Pastu pemegang kunci syurga. Mam depa saja yg islam.

    ReplyDelete
  4. PAS jual mahal dan akhirnya nanti tidak laku, selepas itu boleh dibuang ke longkang.

    ReplyDelete