Wednesday, January 17, 2018

Langkawi pilihan terbaik untuk Dr. Mahathir?

Penganalisis: Langkawi pilihan terbaik buat Dr M
Shakira Buang   -  16 Jan 2018, 8:30 pm

Parlimen Langkawi tetap menjadi pilihan terbaik buat Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata penganalisis.

Penganalisis berpendapat peluang Dr Mahathir untuk menang di pulau peranginan itu lebih cerah berbanding Kubang Pasu, Putrajaya dan ataupun Gombak.

Faktor utama hal ini, menurut penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr Sivamurugan Pandian, adalah sumbangan besar pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu terhadap pembangunan Pulau Langkawi ketika menjadi jawatan perdana menteri.

"Kalau dibandingkan dengan semua kerusi-kerusi tersebut Langkawi nampak mempunyai peluang jauh lebih tinggi.

"Satu kerana beliau sendiri telah sebati dengan Langkawi malahan sebelum berkecimpung dalam politik dan menjadi doktor beliau sering berada di sana.
"Manakala semasa menjadi perdana menteri, beliau banyak lakukan pembangunan di sana dan selepas menjadi perdana menteri pun beliau kerap ke sana.

"Jadi, ini mungkin menjadi asas kenapa Langkawi memberi peluang yang agak tinggi berbanding kerusi-kerusi lain," kata Sivamurugan kepada Malaysiakini.

Dr Mahathir dinamakan HARAPAN sebagai calon perdana menteri jika gabungan empat parti itu berjaya mengatasi BN dalam PRU ke-14 yang semakin hampir.

Azmin dan Dr M

Bagaimanapun, pengumuman Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri HARAPAN mendapat kritikan sesetengah pihak, termasuk dari dalam pakatan itu sendiri, terutama di Selangor.

Pengkritik berpendapat ada tokoh lain - yang lebih muda - boleh dijadikan pertaruhan HARAPAN untuk menarik sokongan pengundi.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga menteri besar Selangor.

Namun pada 12 Jan lalu Azmin menegaskan Dr Mahathir adalah pilihan terbaik untuk jawatan itu.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata Azmin berkebolehan menjadi perdana menteri, namun tidak terpilih.

Pada hari sama kenyataan itu dibuat, Azmin melalui akaun Twitternya menawarkan kerusi parlimen Gombak yang dimenanginya pada PRU ke-12 kepada Dr Mahathir.
Sivamurugan bagaimanapun berpendapat, parlimen Gombak yang kini diwakili Azmin bukanlah pilihan terbaik untuk Dr Mahathir.

"Gombak itu tiba-tiba muncul dan ia bukan dalam senarai yang Tun nyatakan tetapi itu apa yang telah Azmin kemukakan.

"Barangkali Azmin merasakan Gombak sudah menjadi kubu kuat bagi HARAPAN tetapi masih banyak faktor lain yang perlu diambil kira namun ia tidak ada dalam senarai yang Tun nyatakan," kata Sivamurugan.

Parlimen Gombak merupakan kerusi marginal yang dimenangi Azmin pada PRU ke-12 apabila mengalahkan calon BN dengan majoriti 6,867 undi. Pada 2013 Azmin mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 4,734 undi.

Sentimen masyarakat Langkawi

Sesetengah pihak berpendapat, kemenangan Azmin di Gombak banyak dibantu oleh penyokong dan anggota PAS.

Namun kedudukan parti itu yang tidak lagi bekerjasama dengan PKR - serta DAP dan AMANAH - memungkinkan sokongan berkenaan beralih arah.

Seorang lagi penganalisis, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata rakyat di Langkawi dan Kubang Pasu begitu mengenang jasa Dr Mahathir khususnya dari segi pembangunan.

Namun, menurut beliau, peluang Dr Mahathir tetap lebih cerah di Langkawi.

"Sentimen masyarakat Langkawi dan sokongan mereka masih tinggi terhadap Tun Mahathir dan itu kunci yang mungkin akan memberi lebih banyak peluang Tun memenanginya (kerusi Parlimen Langkawi) nanti.
"Yang kedua mungkin kawasan yang boleh juga Tun menang adalah Kubang Pasu kerana ia kawasan Tun sendiri selama empat penggal dan sudah tentulah pengundi Kubang Pasu banyak berterima kasih kepada beliau dan juga banyak pembangunan yang dibawa di Kubang pasu.

"Namun kita tahu Kubang Pasu merupakan kubu kuat Umno namun percaturan untuk meletakkan Tun di sana belum tentu akan boleh memberikan satu kemenangan mutlak kepada Tun kerana senarionya bahawa pengundi masih sokong Umno khususnya di kalangan veteran, pengundi saluran satu dan dua masih lagi kuat," kata Ahmad Martadha.

Kerusi paling selamat

Turut sependapat dengan Ahmad Martadha adalah Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Wan Saiful Wan Jan.

"Secara logiknya Tun Mahathir paling kukuh di Kedah, sama ada di Kubang Pasu atau Langkawi tetapi bukan di Selangor.

"Kalau dilihat dari segi respons dan peluang untuk menang, Langkawi adalah kerusi paling selamat dan selesa untuk Tun Mahathir," tegas Wan Saiful.

Dr Mahathir merupakan anggota parlimen Kubang Pasu sejak kawasan parlimen itu disenaraikan pada 1974 pada PRU ke-4 dan berkhidmat selama 30 tahun sehingga 2004.

Sebelum itu, kawasan itu sebahagian daripada Kota Star yang diwakili Dr Mahathir dari 1964 hingga 1969.

Pada 2004, Datuk Seri Johari Baharum yang juga timbalan menteri pertahanan menang dengan majoriti besar 13,712 mengalahkan calon PAS Mohd Jamal Nasir. Majoritinya mengecil kepada 7,060 pada 2008.

Johari bagaimanapun menang besar sekali lagi pada 2013 dengan majoriti 10,444 mengalahkan Dr Isa Ismail dari PAS.
Sementara itu mengulas kesan sekiranya Dr Mahathir gagal menawan kerusi yang bakal ditandingnya itu, Wan Saiful berkata pengaruh BERSATU dan Dr Mahathir sendiri sudah pastinya akan terjejas teruk.

"Saya rasa pertaruhan yang dibuat BERSATU sekarang ini bukan setakat memenangi PRU ke-14 tetapi kerusi yang dipilih BERSATU untuk ditandingi Tun Mahathir juga adalah kerusi yang akan menentukan legasi Tun Mahathir untuk selama-lamanya sama ada menang atau kalah.

"Jika kalah ia merupakan tamparan agak hebat kepada pengaruh BERSATU terutamanya seorang individu dan negarawan seperti Mahathir," kata Wan Saiful.

HARAPAN gagal ke Putrajaya?

Wan Saiful turut membangkitkan persoalan sekiranya Dr Mahathir menang di kerusi yang ditandinginya tetapi HARAPAN gagal menawan Putrajaya.

"Cuba bayangkan dalam rekod dia kalau dia kalah dalam pilihan raya terakhir yang disertai, jadi itu satu legasi yang agak berat seperti negarawan seperti Tun. Jadi, pertaruhan yang dibuat kali ini adalah pertaruhan yang amat besar risikonya kalau kalah.

"Tetapi kalau menang saya rasa it will be equally interesting scenario adakah seorang seperti Tun Mahathir, katalah menang di kerusi yang ditandinginya tetapi HARAPAN tidak berjaya menawan Putrajaya," soal Wan Saiful.

Kata Wan Saiful, ramai pihak yang tidak membayangkan senario sekiranya HARAPAN gagal ke Putrajaya.

"Adakah Dr Mahathir akan jadi anggota parlimen pembangkang? Kalau menang serta jadi perdana menteri itu jelaslahkan tapi kalau menang tapi tak jadi kerajaan? Ini senario yang ramai orang tak boleh bayangkan," tambah Wan Saiful.

Legasi Dr M

Mengulas kemungkinan sama, Ahmad Martadha turut beranggapan bahawa HARAPAN tidak akan kuat seperti dahulu jika Dr Mahathir tewas pada kerusi yang ditandingnya kelak.

"Sudah tentulah HARAPAN selepas PRU ke-14 akan tidak lagi sekuat seperti mana yang mereka harapkan kerana agenda dan manifesto yang mereka bawa ialah beberapa isu yang berkaitan seperti 1MDB, GST, kos sara hidup, ekonomi.
"Namun jika isu sebegini masih tidak mampu menarik sokongan masyarakat kepada Tun sudah pastinya mereka memerlukan strategi lain yang lebih berkesan," kata Ahmad Martadha.

Tambah beliau, legasi Dr Mahathir juga akan turut sama terjejas.

"Saya pasti legasi Tun jika kalah akan tercalar walaupun sebagai tokoh sejarawan dan negarawan yang memerintah Malaysia 22 tahun tetapi kekalahan beliau mencalarkan imej beliau sebagai seorang tokoh politik besar tanah air.


Dalam masa yang sama, tambah Ahmad martadha, senario itu akan menyebabkan kekuatan dan strategi HARAPAN dipertikai.

"Apakah strategi yang mereka gunakan dengan menamakan Tun sebagai calon PM dan mempengerusikan HARAPAN adalah satu strategi yang bijak?

"Kerana pada hari ini masih ramai kalangan pemimpin (HARAPAN) yang tidak bersetuju untuk Tun jadi perdana menteri HARAPAN," katanya.

1 comment:

  1. Lihat betapa besar pengorbanan Tun. Beliau sanggup mempertaruhkan nama baik beliau -- semata2 hendak menghentikan 1mdb dan MO1

    ReplyDelete