Monday, January 1, 2018

Ini dia punca perpecahan umat Islam

‘Salah guna ajaran Islam punca perpecahan umat Islam’

  | January 1, 2018
Pensyarah UUM itu menyokong kenyataan Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad mengenai kegagalan mufti bertindak terhadap fatwa yang menggelar orang tidak menyertai PAS sebagai kafir.
PETALING JAYA: Islam sering disalahgunakan parti politik demi kepentingan peribadi, kata seorang ahli akademik dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
Prof Madya Mohamad Faisol Keling, pensyarah di Kolej Undang-undanga, Pengajian Antarabangsa dan Kerajaan UUM mengulas kenyataan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpunan Agung pertama parti itu, Sabtu lalu.
Bekas perdana menteri itu mempersoalkan tindakan mufti mendiamkan diri dalam beberapa isu penting suatu ketika dahulu, termasuk tragedi Memali pada 1985 yang menyaksikan 18 orang terkorban di Baling, Kedah.
Beliau yang merupakan perdana menteri ketika itu berkata, jika mufti bersuara dan campur tangan, tragedi berdarah itu mungkin dapat dielakkan.
“Mufti terbabit sememangnya gagal bertindak terhadap pengeluaran fatwa ekstrem pada 1980-an. Oleh itu, berlaku pertumpahan darah dalam kejadian Memali pada 1985.
“Ia jelas bertentangan ajaran Islam dan menyebabkan kehilangan nyawa dan perpecahan di kalangan umat Islam,” kata Faisol mengimbau kejadian itu.
Dr Mahathir turut mempersoalkan hak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa mereka yang tidak menyertai PAS sebagai kafir.
“Kenapa mufti yang merupakan penasihat raja-raja tidak memperbetulkan kenyataan mereka (PAS) mengenai individu tidak menyertai PAS sebagai kafir?
“Dalam konteks ini, saya lihat pandangan sesetengah ahli politik yang mendakwa satu sama lain sebagai kafir atau ekstremis bertentangan dengan ajaran Islam,” kata Faisol kepada FMT.
Beliau turut memetik ayat al-Quran yang menekankan kepentingan perpaduan, menghormati dan melarang tindakan ekstrem melalui cara salah.
“Jadi, menuduh satu sama lain sebagai kafir jelas dilarang agama dan Tuhan,” katanya sambil menambah usaha mufti dan ulama menggesa perpaduan dan mencegah perpecahan dalam isu menggelar umat Islam sebagai kafir ini, nampaknya tidak berkesan.
Faisol berkata, ini membuktikan agama disalahgunakan ahli politik – melampaui ajaran Islam yang bertentang perintah Tuhan.
“Fatwa dipengaruhi secara negatif oleh politik dan Islam dilihat digunakan untuk kepentingan peribadi.”
Ogos lalu, Dr Mahathir menyalahkan pengikut guru agama yang rapat dengan PAS di Kedah, Ibrahim Mahmud yang lebih dikenali Ibrahim Libya terlalu taasub dengan “Amanat Hadi” sebagai punca tragedi Memali tercetus pada November 1985.
Dalam tragedi itu, 4 anggota polis dan Ibrahim bersama 13 penyokongnya terkorban dalam operasi menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atas tuduhan menyebarkan ajaran sesat.
“Amanat Hadi” merujuk ucapan Hadi di Kampung Banggol, Kuala Terengganu pada 7 April 1981, ketika beliau menjadi pesuruhjaya PAS Terengganu. Dalam amanat itu, Hadi didakwa mengatakan PAS menentang Umno kerana ia mengekalkan perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan jahiliah.

2 comments:

  1. nak jadi kapir bukan susah sanagt dengan
    ucapan hati perbuatan
    bila di arah baru jadi pertempuran
    sebelum tu tak da pung apa apa
    matde takut pengaruh Islam
    baru minta maaf konon

    ReplyDelete
  2. Anon 10.04 what are you talking about?

    ReplyDelete