Monday, January 8, 2018

Boikot konvensyen: Tafsiran Idris lain, Pengerusi Amanah Johor kata bermaksud lain

PAS: Kewibawaan PH terjejas akibat boikot oleh Amanah
Bernama | January 8, 2018

Menurut naib presiden PAS, rakyat kini sudah boleh menilai bagaimana PH bakal mentadbir negara sekiranya memenangi PRU itu.
JOHOR BAHRU: Tindakan Amanah Johor memboikot Konvensyen Pakatan Harapan (PH) semalam kerana tidak puas hati dengan pembahagian kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di negeri ini, merupakan ”petanda awal” terhadap kewibawaan PH menghadapi pilihan raya itu.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata sehubungan itu, rakyat kini sudah boleh menilai bagaimana PH bakal mentadbir negara sekiranya memenangi PRU itu.

“Ini satu perkara yang mengejutkan. Sepatutnya ia (konvensyen) merupakan hari untuk mereka sama-sama berbincang tentang hala tuju PH tetapi tiba-tiba berlaku sebaliknya,” kata beliau.

Idris diminta mengulas isu itu pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Gagasan Sejahtera Negeri Johor malam tadi.

Idris juga berkata beliau yakin ketidakpuasan hati itu tidak hanya berhenti setakat itu, malah bakal merencat gerak kerja dan mewujudkan perpecahan dalam kalangan PH, sekaligus memberi petanda ia tidak berwibawa untuk bertanding pada PRU14.

Hanya Amanah berkorban untuk PH, kata Amanah Johor
Nurul Azwa Aris | January 8, 2018

Aminolhuda Hasan berkata boikot bertujuan memberikan mesej jelas kepada kepimpinan Amanah pusat dan Pakatan Harapan.
PETALING JAYA: Amanah Johor menafikan dakwaan tindakan memboikot konvensyen Pakatan Harapan semalam kerana rasa terhina dengan peruntukan kerusi kepada mereka berbanding DAP dan PPBM.

Pengerusi Aminolhuda Hassan berkata boikot berujuan memberikan mesej jelas kepada kepimpinan Amanah pusat dan Pakatan Harapan bahawa Amanah Johor mempunyai pendirian tersendiri dalam isu tertentu.

Aminolhuda berkata mesej boikot itu ialah pembahagian kerusi perlu menegakkan konsep keadilan dan kesamarataan, tetapi nampaknya tidak berlaku.

“Kita korbankan satu-satunya kerusi Parlimen yang ada di Wilayah Persekutuan untuk PPBM walaupun PKR ada lebih daripada 1 kerusi Parlimen di sana.

“Dr Hatta Ramli meletakkan jawatan sebagai pengerusi Amanah Kuala Lumpur kerana mengambil tanggungjawab atas kegagalannya memperoleh walaupun 1 kerusi.

“Di Johor, DAP ambil alih Parlimen Ayer Hitam daripada Amanah hanya kerana DAP perlu bertanding 1 kerusi lebih daripda julah kerusi yang akan ditandingi MCA.

“Akhirnya Amanah hanya bertanding 2 kerusi di Johor. Pulai dan kerusi suram, Parit Sulong,” katanya.

Sebelum ini, Aminolhuda dilaporkan berkata Amanah Johor kecewa kerana PH menolak permintaan untuk bertanding 5 kerusi Parlimen di negeri itu, lalu memutuskan untuk memboikot konvensyen PH.

Aminolhuda berkata Amanah hanya dibenarkan bertanding 2 kerusi iaitu Parit Sulong dan Pulai.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Sekretariat PH Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan PPBM akan bertanding di 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, PKR (51 kerusi), DAP (35 kerusi) dan Amanah (27 kerusi).

Aminolhuda berkata seolah-olah hanya Amanah yang sanggup berkorban untuk gabungan pembangkang tetapi parti komponen lain hanya memikirkan kemahuan sendiri.

“Kita antara yang ke depan membentuk Pakatan Harapan menggantikan Pakatan Rakyat. Kita juga menjadi tunggak PH di Johor, bahkan isytihar Johor negeri barisan depan Amanah.

“Akhirnya kita korbankan hasrat kita dengan Johor jadi negeri barisan depan PPBM dan cadangan awal PH menamakan Salahuddin Ayub (naib presiden Amanah) sebagai pengerusi PH negeri diberi kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin (presiden PPBM),” katanya.

Beliau menambah pengorbanan itu dilakukan demi solidariti dan perpaduan gabungan pembangkang di Johor dan peringkat nasional.

3 comments:

  1. This post is genuinely a fastidious one it helps new internet users,
    who are wishing for blogging.

    ReplyDelete
  2. Syabas AMANAH Johor khasnya.Untuk membentuk suatu ikatan yang kuat memang kena ada yang sanggup berkorban,bertolak ansur.Kalau semua nak menonjol macam jari telunjuk yang boleh memberi arahan,macam jari manis yang berpeluang pakai cincin berlian,macam jari tengah yang nampak lebih dari yang lain,suatu kesatuan itu tidak akan jadi kuat.AMANAH memainkan fungsi ibu jari.Tak der peluang pakai cincin,tak der peluang mengarah-arah,tak der peluang meninjol- nonjol,tapi tanpa ibu jari kesatuan tidak akan kukuh Hentaman penumbuk tidak akan jadi padu.Jadilah ibu jari.Tak terkenal,tapi tanpanya segalanya loose...

    ReplyDelete
  3. Betul..dlm perjuangan mesti ade pergorbanan. Biar calun x ramai tpi peluang menang semua..jgn calun ramai tpi semua kalah..klau menang pun jadi pasu bunga kat parlimen x guna juga.

    ReplyDelete