Thursday, January 11, 2018

Bila Abu Hassan Din ‘digam’ di Johor

 DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA  -  January 10, 2018 4:19 pm
ULASAN: Akhir-akhir ini beberapa penceramah agama telah disenaraikan hitamkan dan dilarang memberi ceramah. Terkini menurut laporan FMT pada 8 Jan 2018, Jabatan Agama Islam Johor menambahkan senarai nama baru antaranya Datuk Abu Hassan Din.

Dua bulan sebelumnya, nama Mufti Ismail Menik dan Ustaz Haslin ‘Bollywood’ telah dilarang berceramah di Johor.

Perkembangan ini agak membimbangkan kerana ia menjejaskan kebebasan memberi pandangan yang sudah tentu terdedah kepada berbagai pandangan dan perspektif.

Kebebasan memberi pandangan adalah hak dalam Perlembagaan Malaysia. ‘Memudahkan’ alasan bahawa seseorang menjejaskan keharmonian dan perpaduan tanpa memberi ruang kepada perbezaan pandangan bukanlah semangat dari peruntukan ini.

Lagipun tokoh seperti Datuk  Abu Hassan Din (gambar) diterima sebagai tokoh agama di seluruh negara. Agak pelik negeri lain tidak mengharamkan sedangkan di Johor diharamkan?

Apakah hanya di Johor terjejas perpaduan dan tidak di negeri lain? Apakah mesej ceramah Datuk Abu Hasan Din berbeza di negeri-negeri?

Walaupun saya memahami kuasa agama tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri namun biarlah kuasa itu tidak menjejaskan kebebasan pandangan dari mereka yang ada kewibawaan dan dihormati oleh masyarakat ketokohannya.

Saya telah jelaskan sikap saya tanpa prejudis kepada mana-mana pihak kerana bagi saya selagi ruang kebebasan diperuntukkan maka ruang itu harus diberi keselesaan dan tidak ‘terhimpit’ dengan alasan yang dimudah-mudahkan tanpa melihat kesan menyeluruh kepada kebebasan memberi pandangan.

Pihak Majlis Agama Islam Johor boleh sahaja menasihati mana-mana penceramah agama agar memastikan garis panduan yang menganjurkan kepada kedamaian antara manusia dan menghindari kebencian agama dan kaum perlu diberi keutamaan dalam penyampaian mereka.

Mengharamkan penceramah agama yang dihormati akan menjejaskan nama baik pentadbiran agama di seluruh negara.

Saya menganjurkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memanggil semua tokoh agama dan penceramah agama agar berpandu kepada mesej ceramah dan kuliah yang membawa kepada mesej Islam Rahmat untuk Semua dan mengelak budaya takfiri dan kebencian dalam masyarakat semasa penyampaian mesej agama oleh penceramah dan pengkuliah.

Islam memainkan peranan penting dalam membina sebuah masyarakat yang bekerjasama dan memupuk nilai kemanusiaan sejagat.

* Penulis  adalah Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Naib Presiden AMANAH.

1 comment:

  1. YB! jangan heran lah dengan Johor ni.Dah macam- macam yang dilakukan tak ikut 'uruf. Johor ni perasan...

    ReplyDelete