Friday, February 9, 2018

PRU14: Pertarungan sengit hanya di tiga negeri?

BN berdepan tentangan sengit di 3 negeri dalam PRU14
Amin Iskandar, Noel Achariam · Diterbitkan pada 9 Feb 2018 7:10AM
Barisan Nasional akan berdepan tentangan sengit pembangkang di Johor, Kedah dan Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14, kata badan tinjauan bebas Merdeka Center. – Gambar EPA, 9 Februari, 2018

BARISAN Nasional (BN) akan berdepan tentangan sengit pembangkang di Johor, Kedah dan Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata badan tinjauan bebas Merdeka Center.

Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata ini kerana di ketiga-tiga negeri ini pertembungan tiga penjuru tidak begitu memberikan kelebihan kepada BN.

“Sabah akan menjadi kompetitif disebabkan pertembungan tiga penjuru memberikan kesan berbeza di sana.

“Di Sabah terdapat parti tempatan, parti nasional, gabungan pemerintah, jika terdapat persefahaman antara satu sama lain, PRU14 akan menjadi kompetitif di sana,” kata Ibrahim pada forum bertajuk “GE14: The polls, the meaning, the stakes” di Petaling Jaya malam tadi.

Di Sabah, parti pembangkang seperti Pakatan Harapan (PH), Warisan dan Parti Cinta Sabah (PCS) sedang dalam rundingan untuk bekerjasama bagi melawan BN pada PRU14.

Bulan lalu kajian Merdeka Center mendapati pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan Gagasan Sejahtera pimpinan PAS akan memberikan kelebihan kepada gabungan pemerintah itu.

Ibrahim berkata bagi Johor, secara tradisinya PAS sememangnya lemah di negeri itu dan pertembungan tiga penjuru tidak memberikan banyak kesan kepada PH.  

“Johor adalah menarik kerana PAS secara relatifnya lemah di sana.

“Jika kempen dan pembinaan naratif berjaya dilakukan di Johor, ia mungkin akan mengubah keputusan memihak kepada pembangkang, tetapi masa sudah semakin singkat,” katanya.

Johor merupakan negeri kelahiran Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang dipecat dari Umno kerana kelantangannya mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ibrahim berkata di Kedah, pengerusi dan calon perdana menteri PH, Dr Mahathir Mohamad mempunyai pengaruh yang sangat besar.

“Cuma persoalannya apakah pengaruh besar itu akan diterjemahkan kepada undi,” katanya.
Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata Sabah akan menjadi kompetitif disebabkan pertembungan tiga penjuru memberikan kesan berbeza di sana. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 9 Februari, 2018

Kedah merupakan negeri asal Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri Malaysia dari 1981 hingga 2003.

Pada PRU13, BN berjaya merampas semula negeri itu daripada PAS di bawah pimpinan anak Dr Mahathir, Mukhriz yang menjadi menteri besar Kedah selepas itu.

Pada 2016, walaupun Mukhriz merupakan menteri besar Kedah yang popular, beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas Umno negeri tidak lagi menyokongnya kerana mengkritik Perdana Menteri Najib Razak dalam isu 1MDB.

Ibrahim berkata pada ketika ini, majoriti rakyat sudah membuat keputusan tentang siapakah yang bakal mereka undi pada PRU14.

“Pada pandangan saya berdasarkan data yang kita ada, majoriti pengundi sudah membuat keputusan dan cuma menunggu Parlimen dibubarkan.

“Cuma tinggal sebahagian kecil pengundi atas pagar yang masih belum membuat keputusan.

“Tetapi jumlah pengundi yang belum membuat keputusan ini masih kecil berbanding jumlah yang diperlukan sesetengah gabungan untuk memberikan impak yang besar,” katanya. – 9 Februari, 2018

3 comments:

  1. My family members always say that I am wasting my time here at net, however I know I
    am getting experience every day by reading such good content.

    ReplyDelete
  2. Merdeka Centre pun ini suka membuat ulasan berlapik yang mirip kepada komen-komen professor kangkung. Komen cari makan dan tidak ada "substance" Geng-geng lepak di kedai kopi pun boleh cakap perkara yang sama. Contoh....Di Kedah pengaruh Tun Dr Mahathir sangat luas bla bla bla...kemudian dilontarkan retorik berikut sebagai insurance.....namun adakah ianya dapat diterjemahkan dalam bentuk undi.....Ini komen cari makan yang tak "committed".

    Saya pun boleh komen macam tu. Contoh: Pengaruh Haji Hadi sangat besar. Hasrat PAS untuk bertanding 122 kerusi Parlimen adalah wajar. Akan tetapi belum dapat dipastikan samada beliau sendiri mampu mempertahankan Parlimen Marang dalam PRU akan datang.... komen lepas tangan macam ni boleh membuatkan walaun-walaun PAS mengamuk sakan.

    Dah jadi Pengarah Pusat Penyelidikan buatlah komen yang terperinci sikit. Boleh belajar kat budak-budak INVOKE

    ReplyDelete
  3. Very nice post. I certainly appreciate this website. Thanks!wholesale NHL jerseys
    ()

    ReplyDelete