Sunday, February 11, 2018

Peluang PH di Kedah: Penganalisis berbeza pendapat

Penganalisis berbeza pendapat peluang PH di Kedah
Melissa Darlyne Chow
February 11, 2018

GEORGE TOWN: Dua penganalisis politik membuat penilaian berbeza terhadap peluang Pakatan Harapan (PH) di Kedah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Azizuddin Mohd Sani tidak nampak sebarang tanda PH mampu menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di Kedah.

Bagaimanapun, Prof Madya Awang Azwan Awang Pawi dari Universiti Malaya, berkata ada “gelombang besar sokongan” untuk PH dan gabungan 4 parti pembangkang itu kelihatan bersedia untuk menang di Kedah.

Azizudin berkata, kebimbangan BN di Kedah terhad kepada kesan saingan yang mungkin timbul dalam kalangan ahli Umno berebut untuk dicalonkan pada PRU14.

“Jika tiada sabotaj dan perbalahan dalaman, BN akan menang. Parti dalam PH tidak bersatu dan mempunyai masalah sendiri.”

Katanya, BN masih bersatu di Kedah, tetapi beliau mendapati sukar meramalkan jika perpaduan akan kekal selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pemerhati lain dilaporkan berkata, perpaduan dalam Umno Kedah sering diragui. Mereka mendapati 13 bahagian Umno di negeri itu bersatu 2 tahun lalu untuk menyuarakan mereka hilang keyakinan terhadap menteri besar ketika itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Bagaimanapun, mereka berkata, kisah di sebaliknya berbeza sama sekali, dengan mendakwa sesetengah pemimpin tidak mampu duduk untuk makan bersama.

Azizudin berkata, perselisihan itu tidak akan membawa kesan besar terhadap corak mengundi pada PRU14.

“Sebelum ini, saya akan kata ya, akan ada kesan. Tetapi hari ini, kepimpinan Umno negeri berjaya mengatasi masalah ini. Jadi, pandangan saya ialah krisis itu akan memberi impak minimum kepada Umno.”

Mengenai pengaruh Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kedah, beliau mengakui ada kelebihan buat bekas perdana menteri itu, tetapi ia tidak cukup untuk membantu PH menawan Kedah.

Katanya, PPBM dan Amanah mempunyai asas lemah di Kedah.

“Kedua-duanya masih parti muda berbanding rakan PH mereka dan juga parti komponen BN.

“Tambahan, hakikat masih kekal yang PAS tidak lagi bersama pakatan pembangkang dan PAS kuat di Kedah. Jentera Pakatan Rakyat yang sudah dibubarkan, bergantung kepada PAS dahulu. PH menghadapi masalah dari segi jentera pilihan raya.”

Awang Azman pula berkata, Mukhriz amat disayangi di Kedah dan pemecatannya mencetuskan kemarahan dan gelombang sokongan kepada pembangkang.

Katanya, ancaman kepada BN turut “diburukkan lagi” dengan tindakan Dr Mahathir meninggalkan Umno dan kemudiannya menubuhkan PPBM yang menyertai PH.

“Orang Kedah merasai kesetiaan negeri yang memihak kepada Dr Mahathir, anak jati Kedah, disebabkan khidmatnya selama 22 tahun sebagai perdana menteri.

“Bekas perdana menteri itu mempunyai pengaruh besasr dan ini mengoyahkan kubu Umno Kedah.

“Terdapat juga hakikat Dr Mahathir dipilih sebagai calon perdana menteri PH jika mereka berjaya menawan Putrajaya, yang akan menjadi sumber kebanggaan orang Kedah.”

Katanya, satu lagi faktor ialah rasa tidak puas hati rakyat terhadap kenaikan kos sara hidup.

Beliau juga percaya PAS tidak popular seperti PPBM di Kedah.

Baca juga: Pandangan Azmin terhadap proses Demokrasi

2 comments:

  1. Urusan sedemikian Kita serahkan kepada Allah Ta'ala Jika BN dapat pertahankan di Kedah maka perubahan mustahil akan berlaku ...........!!!

    ReplyDelete
  2. Azizudin ni memang macai dumbnoh dari dulu, kini dan selamanya. Mana mungkin dia akan menyatakan kemenangan PH, tentu dia akan mengangkat dumbnoh setinggi mungkin.

    ReplyDelete