Tuesday, February 6, 2018

Kenapa ramai sangat manusia jadi gila sekarang ni?

Pasangan muda ditahan dipercayai dera anak usia enam bulan hingga mati
Nazialita Geynna Maharan, Astro Awani |  Diterbitkan pada Februari 06, 2018 19:44 MYT
Ibu bapa mangsa memberitahu doktor, anak mereka mengalami kecederaan akibat jatuh daripada buaian. - Gambar hiasan

TAIPING: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan yang dimasukkan ke Hospital Taiping meninggal dunia pada Isnin, dipercayai akibat didera, di Kampung Tekah, dekat sini.

Susulan itu, polis telah menahan bapa mangsa, seorang pengusaha kantin berusia 21 tahun, dan isterinya yang berusia 19 tahun, seorang surirumah. 

Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Mohamad Taib berkata, penderaan terhadap bayi itu dikesan hasil siasatan awal polis berserta laporan doktor yang merawatnya sejak tiga hari lalu.

Menurutnya, laporan doktor itu menyatakan mengenai kematian seorang bayi berumur enam bulan yang disyaki mempunyai unsur penderaan.

“Pada 2 Februari lepas, doktor berkenaan telah menerima mangsa, Nur Khayra Mohamad Amirul Asnil, berusia enam bulan yang diserahkan kedua ibu bapanya dalam keadaan tidak sedarkan diri.
  
“Ketika disoal doktor, ibu bapa mangsa memberitahu anak mereka mengalami kecederaan akibat jatuh daripada buaian," katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping hari ini.

Bayi berkenaan dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital tersebut dan diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

“Pemeriksaan rapi kemudiannya dibuat dan laporan CT Scan menunjukkan bayi tersebut mengalami pendarahan di bahagian otak serta pendarahan di dalam mata,” kata Mohamad.

Terdahulu, katanya, doktor telah membuat pemeriksaan fizikal ke atas Nur Khayra namun tidak menjumpai sebarang kesan lebam pada tubuh anak kecil itu semasa dimasukkan ke wad.

“Pemeriksaan rapi ke atas Nur Khayra kemudiannya mendapati terdapat unsur-unsur penderaan berlaku, sama ada dengan niat ataupun tidak.

“Bayi tersebut kemudian telah disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 pagi semalam,” katanya lagi.

Menurut Mohamad, pihak polis kemudiannya telah menjalankan siasatan lanjut dengan mengambil rakaman percakapan doktor berkenaan serta kedua ibu bapa bayi itu.

“Polis berpendapat dan mengesyaki bahawa bayi yang merupakan anak kedua pasangan itu telah didera dan siasatan telah dilakukan di rumah ibu bapa mangsa.

“Mayat bayi itu telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Besar Ipoh bagi bedah siasat dan punca kematian disahkan kecederaan di kepala akibat trauma tumpul,” ujarnya lagi.

Mohamad berkata, pasangan muda itu turut mempunyai seorang lagi anak berusia setahun enam bulan.

“Dua laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1a) Akta Kanak-kanak 2001,” ujarnya lagi.

1 comment:

  1. tak kan pulak ada tahanan yang mati dalam kawalan pihak polis tak ada kesan deraan
    berlaku adillah
    jangan banyak tipu nanti diakhirat
    akan di balas secukupnya oleh Allah
    kepada dkotor ynag menjalankan bedah siasat tahanan yang mati mesti berani n adil jangan takut ngan ugutan pihak polis jiak ada

    ReplyDelete