Friday, October 6, 2017

Siasatan SPRM di Sabah ‘bermotif politik’: Tapi kenapa pula Zahid terasa dan menjawab?

* Kebetulan ada kes atau sengaja tadak sapa yang tahu kecuali SPRM sendiri dan Bossnya

Siasatan SPRM di Sabah ‘bermotif politik’, kata Shafie Apdal
Jason Santos
Diterbitkan pada 6 Oct 2017 12:23PM 
Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal mendakwa siasatan SPRM kepada kementerian yang pernah diterajuinya bermotifkan politik dan cubaan menghancurkan kerjaya politiknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 October, 2017.

SIASATAN rasuah yang sedang dijalankan terhadap Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Sabah bermotifkan politik, kata bekas menterinya yang juga Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal.

Beliau juga menafikan memiliki 15 buah syarikat yang sedang disiasat kerana bersubahat dengan pegawai kementerian itu untuk menyeleweng dana berjumlah berjuta-juta ringgit.

Menurut Shafie, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas kementerian yang pernah beliau ketuai itu "bermotifkan politik" dan merupakan satu percubaan untuk menghancurkan masa depan politiknya.

"Inilah yang berlaku sejak saya meninggalkan Umno," katanya kepada wartawan di Kota Kinabalu, sebaik tiba dari Kuala Lumpur, hari ini.

Naib Presiden Warisan, Peter Anthony ditahan malam tadi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan hampir RM180 juta dana kementerian itu oleh pegawai dan syarikat.

SPRM semalam membeku bank akaun bernilai RM29 juta, selepas sehari sebelumnya menyita akaun berjumlah RM150 juta.

Shafie, yang meninggalkan Umno pada Julai 2016, berkata siasatan ke atas kementerian itu di Sabah bermula ketika SPRM membongkar satu lagi kes melibatkan Jabatan Air Sabah (JAS) tahun lalu.

Katanya, beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sekiranya dipanggil untuk memberikan keterangan.

Awal hari ini, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan itu tidak ada sebarang unsur politik dan serbuan ke atas 15 lokasi semalam telah dirancang sebelum ini.

Dalam siasatan JAS itu, SPRM pada Oktober lepas merampas RM52 juta wang tunai yang disorokkan di pelbagai tempat termasuklah rumah dan pejabat dua orang pegawai kanan jabatan itu.

Proses mengira semua wang rampasan itu mengambil masa 15 jam.

Juga dirampas adalah sembilan kenderaan mewah, 94 bag tangan berjenama, barang kemas dan jam mewah.

Pada Disember, tiga orang didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM61.48 juta dan memiliki barangan mewah hasil aktiviti haram.

Shafie keluar dari Umno selepas hubungannya dengan Perdana Menteri Najib Razak rosak berkaitan dakwaan skandal melibatkan presiden Umno itu dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau merupakan menteri kemajuan luar bandar dan wilayah dan sejak 2009 hingga 2015. Beliau masih ahli Parlimen Semporna sehingga kini.

Beliau menubuhkan Parti Warisan Sabah pada Oktober tahun lepas.

Shafie tiba di Kota Kinabalu hari ini disambut hampir 100 orang penyokong parti dan akan menghadiri sebuah majlis di Masjid Lok Kawi. – 6 Oktober, 2017

2 comments:

  1. dulu masa mamat ni amono depa tak siasat pung
    ni pung satu jenis keja cilaka
    ni namanya balua

    ReplyDelete
  2. Hі there, You have done a great job. I'll definitely digg it and personally
    suggеst to my frіends. I'm sure they'll be benefited from this sіte.

    ReplyDelete