Monday, October 23, 2017

PRU 14: Kemanakah arah Mahfuz Omar?

Mahfuz Omar berteka-teki mengenai kedudukannya
Diyana Ibrahim · Diterbitkan pada 22 Oct 2017 12:11PM
Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar enggan berterus-terang apabila ditanya wartawan apakah beliau akan masuk Amanah selepas PAS membayangkan beliau tidak ada tempat bersama parti itu dalam PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2017

MAHFUZ Omar terus berteka-teki tentang kedudukannya, apakah akan menyertai Amanah atau kekal dalam PAS, selepas parti Islam itu membayangkan beliau tidak ada tempat bersama PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mahfuz enggan berterus-terang apabila ditanya wartawan apakah beliau akan masuk Amanah.

"Itu persoalan lain yang tidak berbangkit hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Kedudukan Ahli Parlimen Pokok Sena itu dalam parti menjadi tanya tanya apabila beliau dilihat menjalinkan hubungan baik dengan parti serpihan PAS, Amanah.

Malah beliau juga menghadiri Konvesyen Amanah dan ceramah Pakatan Harapan (PH) di Alor Setar pada Jumaat lalu.

Kemuncak dari isu itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Noor berkata, Mahfuz bakal digugurkan daripada senarai calon pilihan raya akan datang seperti dilaporkan Malaysia Kini semalam.

Selain Mahfuz, dua lagi wakil rakyat PAS juga turut hadiri dalam ceramah PH iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Amiruddin Hamzah dan Adun Kubang Rotan Nasir Mustafa.

Mengulas mengenai perkara itu, Mahfuz berkata beliau amat berterima kasih dengan tindakan PAS kerana tidak menyenaraikannya sebagai calon pada PRU14.

Katanya, walau dipilih sebagai calon pun, beliau tidak akan sesekali menerima pencalonan itu kerana ia akan dilihat mengkhianati rakyat.

“Saya akan tolak kalau PAS calonkan saya, kalau saya menjadi calon untuk sekadar 40 kerusi Parlimen, ini akan menyebabkan BN terus memerintah. 

“Kalau saya terus jadi calon PAS, saya akan mengkhianati rakyat,” katanya.

Mahfuz dicalonkan sebagai sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena pada 1999 namun kalah kepada BN dalam PRU2004.

Beliau kemudiannya memenangi kerusi itu semula pada 2013 dimana ketika itu hampir kesemua calon PAS Parlimen Kedah kalah kepada BN. – 22 Oktober, 2017.

No comments:

Post a Comment