Friday, October 27, 2017

Shafie Apdal bebas dengan ikat jamin

Shafie Apdal bebas selepas direman 8 hari
Radzi Razak  · Diterbitkan pada 27 Oct 2017 10:01AM
Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal dibebaskan dengan ikat jamin hari ini selepas ditahan lapan hari oleh SPRM dalam siasatan penyelewengan dana projek pembangunan Sabah. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2017

SHAFIE Apdal dibebaskan oleh mahkamah hari ini dengan ikat jamin RM100,000 selepas ditahan reman lapan hari sejak 20 Oktober lalu bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana persekutuan projek pembangunan rakyat Sabah.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus turut memerintahkan Shafie melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan.

Shafie membayar deposit RM80,000 kepada mahkamah melalui dua penjamin.

Ahli Parlimen Semporna itu dibawa ke mahkamah pukul 9.25 pagi oleh pegawai SPRM. Beliau mengenakan kemeja putih, bukan baju-T oren lokap SPRM seperti semasa dibawa untuk disambung reman minggu lalu.

Shafie, yang menyambut hari jadinya yang ke-60 pada hari pertama direman, disiasat berhubung dakwaan penyelewengan RM1.5 bilion dana Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) semasa beliau menterinya antara 2009 hingga 2015.

Lebih 500 penyokongnya berhimpun di luar kompleks mahkamah itu sejak pukul 8 pagi, disapa oleh pemimpin Warisan antaranya Naib Presiden, Peter Anthony dan Junz Wong serta Ketua Pemuda Azis Jamman.

Shafie kemudian keluar dari mahkamah disambut isterinya, Shuryani Shuaib serta ahli keluarga. Beliau kemudian meninggalkan mahkamah untuk ke ibu pejabat SPRM bagi proses pembebasan.

Shafie dijadual mengadakan sidang media petang ini.

Sementara itu, polis menyuraikan penyokong Warisan dan orang ramai yang berhimpun di perkarangan mahkamah. – 27 Oktober, 2017.

No comments:

Post a Comment