Friday, October 13, 2017

Rupanya Ainina dan pemimpin Bersatu belum tamat lagi, hari ini isu saman pula

Saya cuma bela diri, kata Ainina
Diyana Ibrahim
Diterbitkan pada 13 Oct 2017 8:42PM 
Ainina Saadudin nekad meneruskan samannya terhadap enam ahli parti Bersatu bagi membersihkan namanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Oktober, 2017.

BEKAS pemimpin Bersatu, Ainina Saadudin mempertahankan tindakan samannya ke atas enam ahli parti tersebut dengan menegaskan ia langkah membela diri setelah difitnah menerima wang sogokan RM7 juta untuk patah balik masuk Umno.

Katanya, tindakan saman merupakan jalan terakhir setelah membuat segala aduan termasuk melaporkan perkara tersebut kepada Lembaga Displin Bersatu, pada Ogos lalu.

"Fitnah ini dilakukan pada Jun 2016 bersamaan 3 Ramadan dan sepanjang bulan Ramadan itu, saya ini orang Islam jadi saya tumpukan perhatian pada bulan Ramadhan.

"Selepas itu menghormati bulan Syawal, dan sepanjang tempoh menghormati bulan Ramadan tengok ada nak minta maaf atau apa," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Beliau ditanya mengapa mengambil tindakan saman sekarang dan bukan sewaktu pertama kali difitnah pada Jun lepas.

Katanya, beliau sebelum ini sudah membuat laporan polis selain memanjangkan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, namun masih tiada sebarang maklum balas daripada ahli parti terbabit.

"Kalau rakan sekerja awak fitnah kata awak terima duit daripada si polan-polan, apa awak akan buat. Sama juga, saya ini membela diri, bersihkan diri saya.

"Wajib untuk orang Islam (membela diri) ada orang kata kita sama-sama, diam saja lah tapi kalau diri awak sendiri kena fitnah awak nak diam ke?" soalnya.

Demi membersihkan namanya, Ainina berkata beliau tetap bertekad meneruskan samannya itu. Beliau memfailkan saman itu semalam di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Beliau enggan menamakan enam individu tersebut kerana mereka masih belum menerima saman terbabit kerana ia baru diserahkan semalam.

Ainina yang merupakan antara pengasas awal Bersatu berkata fitnah disebarkan ahli parti itu menerusi posting di laman Facebook.

Ditanya adakah enam ahli parti Bersatu yang disaman itu turut membabitkan Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ainina berkata akan mendedahkan perkara tersebut kelak.

Namun, katanya empat daripada enam ahli Bersatu yang disamannya merupakan barisan kepimpinan Bersatu bahagian Langkawi.

Awal hari ini, Ainina mengadakan sidang media berhubung saman itu di rumahnya di Bangi Golf Resort.

Pada sidang media itu, Ainina turut membidas Syed Saddiq yang mengaitkan namanya ketika ketua Pemuda Bersatu itu mendedahkan menerima wang sogokan sebanyak RM5 juta.

Beliau hairan apabila baru sekarang Syed Saddiq mendedahkan dalang wang sogokan yang digelar rangkaian sistem dedak dan tidak sejak awal.

Ainina keluar parti pada 16 September setelah mendakwa parti itu telah tersasar daripada perjuangan asal.

Namun, presiden Bersatu menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan Ainina keluar daripada parti itu atas kehendaknya sendiri yang berdepan masalah kewangan. – 13 Oktober, 2017.

2 comments:

  1. ainina bagaimane dgn aurat .. wajib tutup ke tak?

    ReplyDelete
  2. sama je dgn mat tyson. biasa mrk yg dah terima sogokan.... bagai kata syed saddig.... ia itu perlu keluar parti, caci & kritik pemimpin/parti lama dan sokong umnobn....

    ReplyDelete