Wednesday, October 25, 2017

Adakah ini sebabnya WARISAN cuba dilumpuhkan?

Mampukah WARISAN rampas Sabah dari BN?
mk   -   Hari ini, 12:06 pm
LAPORAN KHAS - Parti Warisan Sabah mungkin hanya berusia setahun, namun ada yang berpendapat bahawa parti itu berpotensi memberi kejutan kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

Penangkapan pemimpin-pemimpin WARISAN, termasuk presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dilihat memperkukuhkan lagi tanggapan tersebut.

Naib Presiden WARISAN Junz Wong mendakwa bahawa tindakan keras itu adalah bukti bahawa parti baru itu dilihat sebagai ancaman kepada BN.

Dan sekalipun ada yang bimbang penangkapan penangkapan itu akan melumpuhkan WARISAN, namun penyokong parti itu percaya ia akan menjadikannya lebih kuat,sementara ada yang mengatakan bahawa ia hanya melonjakan simpati terhadap parti itu.

Ketika ditemui di Kota Kinabalu, seorang ahli Umno dari Kinabatangan, Awang Asgali berpandangan bahawa WARISAN "memang kuat" di negeri itu.

"Lihat saja pada pendengaran permohonan reman hari tu, punya banyak orang, itu bukan mengundi. (WARISAN) memang kuat dalam pandangan kita," katanya merujuk kepada beratus-ratus penyokong yang hadir di mahkamah untuk menyokong pemimpin WARISAN yang ditahan.

Semasa pendengaran permohonan reman pertama terhadap Shafie minggu lepas, laporan menyebut sehingga 500 penyokong telah berkumpul untuk menunjukkan solidariti bersama presiden WARISAN itu.

Namun begitu, Awang masih mempunyai keraguan tentang peluang parti itu.

"Tapi kita tak tau, kadang-kadang manusia berubah. Lima tahun dulu bila pembangkang masuk, semua masuk pembangkang tapi bila undi semua pilih Barisan (Nasional)."
Tetapi WARISAN , katanya, mempunyai "faktor Shafie" yang membezakannya daripada parti pembangkang lain di negeri itu.

"Apabila Shafie keluar Umno, semua pengikut ikut bersama. Dia orang ni menyuarakan di kampung bahawa kita mahu Sabah membangunan.

"Shafie sentiasa turun padang semasa beliau dalam Umno dan banyak menyumbang. Jadi, itu yang rakyat sayang sama dia, bukan kerana parti tapi kerana jasa itu," tambahnya.

Seorang pengundi tempatan Aman Mohd Zain percaya bahawa WARISAN memang mempunyai peluang yang cerah di bawah kepimpinan Shafie.

"Penyokong cukup kuat. Rakyat sudah macam memberi mandat baik kepada WARISAN. Parti lain mungkin tak la ada peluang begitu menyerlah.

"(Bagi WARISAN) tak ada sentimen lain, cuma masalah keadaan rakyat. Parti-parti lain ada macam-macam (isu yang diperjuangkan), seperti keluar Malaysia."
Peningkatan kedudukannya Umno sebagai ketua pemuda pada awal tahun 1990-an, Shafie menjadi orang Sabah pertama yang menjadi naib presiden parti pada pemilihan parti itu pada 2013.

Beliau bagaimanapun terkeluar dari kabinet dalam rombakan dua tahun kemudiannya sebelum keanggotaannya dalam Umno digantung setelah ia menjadi semakin vokal terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selepas keluar dari Umno, Shafie - bersama dengan bekas naib presiden PKR, Darell Leiking, bekas pemimpin DAP Junz Wong dan beberapa pemimpinan tempatan - menubuhkan parti WARISAN. Pendaftaran parti itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Oktober tahun lepas.

Shafie kini ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Suruhanjaya itu sedang menyiasat kira-kira 60 syarikat yang mendapat projek bekalan air, elektrik dan jalan untuk penduduk di luar bandar Sabah.
Bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah dari tahun 2009 hingga 2015 itu, menafikan terbabit dalam skandal itu. Malah sokongan terhadapnya dilihat tidak terjejas.

Awang Mohd Yahya Awang Omar yang sering menghadiri majlis WARISAN, adalah antara mereka yang menunggu Shafie pulang ke Sabah awal bulan ini.

Keputusannya untuk menyokong WARISAN adalah kerana dia percaya bahawa perubahan diperlukan di Sabah.

Sentimen ini turut disuarakan oleh Mary Chong, 52, yang menyertai parti itu selepas penubuhannya.

"Semua orang sudah ikut parti WARISAN sebab kita mahu perubahan Saya rasa WARISAN lebih baik memerintah daripada Umno," katanya.

Tetapi walaupun ada yang mungkin berpendapat bahawa WARISAN boleh menjadi penyelamat Sabah, namun tidak semua orang yang yakin begitu.

Samin Salim, 60, percaya BN akan mengekalkan kerajaan negeri dalam pilihan raya umum akan datang

Pesara dari Kota Belud itu menegaskan bagaimana WARISAN masih baru dan pembangkang pula tidak bersatu.

WARISAN, katanya, boleh menang tiga atau empat kerusi tetapi tidak sampai memerintah negeri kerana faktor ia masih baru dan rakyat belum nampak apa yang boleh ditawarkan oleh parti itu.

1 comment:

  1. Org Sabah, kita bersama kamu. Tendang BN keluar dari Sabah

    ReplyDelete