Thursday, October 26, 2017

Bukan banyak pun.......cari susah selepas bersara!

Pesara sarjan polis didakwa rasuah RM3,150
mk   -   Hari ini, 6:00 pm

Seorang pesara polis berpangkat Sarjan didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan di Kuala Lumpur hari ini atas lima pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM3,150 daripada tiga individu, dua tahun lepas.

Misnan Saari, 56, yang memakai kemeja biru lengan pendek berpetak, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah dan Hakim Allaudeen Ismail.

Di hadapan Madihah, Misnan, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, didakwa telah menerima wang tunai RM200 daripada Azmi Abdul Talib, dengan tiada balasan yang mana tertuduh ketahui ada hubungan dengan tugas rasmi tertuduh.

Bapa kepada tiga orang anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 3, Blok D, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Wangsa Maju pada jam 4.40 petang, 27 Mac 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan SPRM

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, dia didakwa meminta wang tunai RM1,000, menerima masing-masing RM250 dan RM200 daripada Aizi Ikhffa Ahmad, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Aizi Ikhffa yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di tempat sama antara jam 8.30 malam, 27 Mac 2016 dan 2 petang, 28 Mac 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Allaudeen, pesara kerajaan itu didakwa menerima suapan wang tunai RM1,500 daripada Muhammad Shah Radhi Hazvee sebagai dorongan untuk tidak menyebabkan Muhammad Shah Radhi dituduh di mahkamah atas kesalahan dadah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di stesen minyak Shell, Jalan Ipoh, di Kuala Lumpur, antara jam 2.50 petang dan 3 petang, 30 September 2015.

Jaminan bersyarat

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Abdul Rashid Sulaiman menawarkan wang jaminan RM20,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di SPRM setiap bulan.

Peguam Norman Mohd Nasir, yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengurangkan jumlah itu dengan alasan anak guamnya yang telah berkhidmat sebagai anggota polis selama 37 tahun dan tidak mempunyai kebarangkalian untuk melarikan diri kerana baru dua bulan bersara dan menerima pencen kerajaan.

Hakim Madihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi empat pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah, melapor diri di pejabat SPRM berhampiran pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 27 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Dalam pada itu, Hakim Allaudeen membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan yang sama ditetapkan Hakim Madihah dan menetapkan 23 Nov ini untuk sebutan semula kes.

4 comments:

  1. Kesian rakyat malaysia. Baru minta brp ribu akan kena penjara dan gelap masa depan satu keluarga. Sedangkan yg rompak berbillion polis pun tak mau tangkap. Pelik oh malaysia ku!

    ReplyDelete
  2. cilako punya orang tak sedar kediri

    ReplyDelete
  3. Lain kali kalu mau curi. Curi bilion. Jgn curi ribu ringgit. Yg curi rm2.6bilion senyum jer. Ohhh malaysia. Hahaha. Negara penyangak kata tun mahathir. Huhu

    ReplyDelete
  4. Dio ikut contoh mo1 tu. Akhirnya dio kono. Aduhhhhh. Mo1 lopehhh

    ReplyDelete