Thursday, October 19, 2017

Apa maksudnya: Ia berkemungkinan sama dengan bagaimana operasi polis dijalankan

LANGSUNG: Siasatan Suhakam kehilangan Pastor Koh, 4 yang lain bermula hari ini
Noel Achariam  -  Diterbitkan pada 19 Oct 2017 9:41AM 
Sebahagian orang ramai yang menghadiri siasatan awam Suhakam di Menara TH di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Arifin, 19 Oktober, 2017

SIASATAN awam oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bermula hari ini untuk mencari jawapan kepada kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga aktivis lain.

Tujuan utama siasatan adalah untuk menentukan sama ada ia adalah kes "enforced dissapearance" , istilah yang menggambarkan penculikan melibatkan pihak berkuasa.

Siasatan akan dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

Lebih 15 orang telah dipanggil untuk menghadiri siasatan itu dan, setakat ini, suruhanjaya itu sudah menemuramah 35 orang termasuk ahli keluarga empat individu yang hilang, polis dan pihak yang berminat.

Antara yang dipanggil untuk siasatan ialah bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

Pihak berkuasa tidak begitu memberi tumpuan siasatan kehilangan empat individu ini.

Koh, 62, dilaporkan diculik sekumpulan lelaki pada 13 Februari, manakala Amri Che Mat, 44, dilaporkan hilang sejak tahun lepas.

Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth Hilmy dilihat terakhir oleh rakan-rakan pada November tahun lepas sebelum hilang tanpa sebarang kesan.

Peguam yang mewakili keluarga Koh, Majlis Peguam dan polis juga akan berada dalam panel siasatan sebagai pemerhati.

Suhakam juga menetapkan dua pembantu pegawai daripada suruhanjaya untuk menyoal saksi semasa siasatan.

Siasatan itu diadakan di ibu pejabat badan hak asasi manusia di Menara TH di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

The Malaysia Insight membawakan anda maklumat terkini:

12.40pm: Siasatan awam tamat dan akan bersambung esok dengan isteri Pastor Koh, Susanna Liew akan dipanggil sebagai saksi pertama.

12.05pm: Peguam yang mewakili keluarga Koh bertanya Gomez sekiranya terdapat aktiviti yang luar biasa berlaku selepas insiden itu. 

Gomez berkata keretanya rosak beberapa hari selepas kawad cam yang dibuat pada 7 Julai. 

"Saya keluar makan malam di Kota Damansara dan meletak kereta berhampiran restoran. 

"Kemudian saya tinggalkan tempat itu dan saya perasan beg komputer riba saya hilang dan tingkap kereta di sebelah kiri bahagian belakang pecah. 

"Tiada komputer riba dalam beg itu, hanya beberapa dokumen peribadi yang hilang."

Gomez kemudiannya memberitahu panel beberapa minggu selepas itu beg komputer ribanya dikembalikan ke rumahnya. 

"Saya kembali ke rumah selepas jam 8.30 malam dan menemui beg itu di pagar rumah. 

"Saya memeriksa beg dan mendapati semua dokumen berkenaan masih ada kecuali fail yang mempunyai beberapa dokumen saya. 

"Dokumen dalam beg itu adalah salinan kad engenalan saya dan kenyataan yang saya sediakan huntuk Suhakam.

"Siapa yang pulangkan beg itu pasti dapat alamat daripada kad pengeenalan saya."

11.10am: Pesuruhjaya Mah umum rehat 10 minit. 

10.55am: Gomez kemudiannya berkata, beliau dipanggil oleh polis pada 16 Februari di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya untuk foto fit suspek.

"Sejak itu tiada apa-apa maklum balas daripada pihak polis. Pada 7 Julai, saya dipanggil oleh polis yang menyatakan mereka sudah menangkap suspek dan meminta saya hadir untuk membuat pengecaman. Saya ke balai polis bersama peguam saya.

"Terdapat tiga barisan iaitu dua kumpulan Melayu dan satu kumpulan India. 

"Saya memberitahu polis, saya tidak dapat mengenal pasti sesiapa. Polis kemudiannya meminta saya menandatangani satu dokumen bahawa saya tidak dapat mengenal pasti sesiapa."

Selepas kawad cam itu, Gomez berkata peguamnya bertanya kepada pihak polis mengapa beliau dipanggil.

"Polis berkata pihaknya menjalankan operasi di Kedah di mana mereka menahan suspek. Mereka juga berkata mereka turut menemui nombor pendaftaran kereta Pastor Koh."

10.45am: Pegawai Suhakam menyoal Gomez sama ada beliau membuat laporan polis berhubung insiden itu.

Gomez berkata beliau melarikan diri dan membuat laporan polis di Balai Polis Kelana Jaya pada jam 11.30 pagi.

"Mereka ambil kenyataan saya dan bertanya sekiranya saya melihat nombor pendaftaran kenderaan itu. Saya kata tidak."

"Selepas saya huraikan situasi kepada pegawai penyiasat Inspektor Ali Asra, beliau berkata ia berkemungkinan sama dengan bagaimana operasi polis dijalankan."

10.20am: Suhakam menunjukkan tiga rakaman CCTV penculikan Pastor Koh yang dikatakan diambil pada 13 Februari.

Panel menyoal Gomez mengenai rakaman itu dan dia mengesahkan ia adalah SUV dan  lelaki yang sama dilihatnya semasa kejadian itu.

Mah bertanya kepada Gomez jika dia dapat mengingati sebarang plat nombor, dia berkata tidak dapat mengingatinya langsung.

9.55am: Pesuruhjaya Mah memanggil saksi pertama Roeshan Gomez untuk memberikan maklumat tentang apa yang berlaku pada 13 Februari.

Gomez berkata dia sedang dalam perjalanan ke sebuah krematorium selepas pengebumian dengan seorang kawan ketika melihat kejadian itu.

"Saya memandu ke krematorium ketika saya melihat kereta Waja (Proton) perak di hadapan saya. Kemudian saya lihat lima hingga enam orang dalam empat SUV. Kemudian saya melihat dua orang bergelut dalam kereta. Salah seorang cuba menarik orang lain keluar.

"Rakan yang bersama saya cuba merakamkan video tetapi kami dihalang oleh seorang lelaki India yang berdiri di hadapan kereta kami. Kami kemudian mengundur... dan meninggalkan tempat kejadian."

Apabila panel bertanya sama ada dia melihat wajah individu di dalam kereta yang sedang ditarik, Gomez berkata dia tidak dapat mengenal pasti lelaki itu.

9.45am: Peguam Ambiga Sreenevasan dan Gurdial Singh Nijar adalah antara 12 peguam yang menjadi pemerhati untuk keluarga Pastor Koh. Terdapat juga seorang pemerhati daripada Majlis Peguam Malaysia dan pemerhati daripada pihak polis tidak muncul kerana tersalah tarikh.

9.30am: Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai, yang mempengerusikan siasatan, memperkenalkan ahli panel – Pesuruhjaya Dr Aishah Bidin dan Pesuruhjaya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh.

9.20am: Lebih 30 orang terdiri ahli keluarga Koh, peguam, pihak media dan pemerhati bebas serta orang awam mula mengisi auditorium di mana siasatan awam akan diadakan. – 19 Oktober, 2017.

1 comment:

  1. Wow, amazing blog format! How long have you ever
    been blogging for? you made blogging glance easy.
    The full look of your web site is magnificent, as neatly as the content material!

    ReplyDelete