Monday, October 23, 2017

Wajarkah Dzulkifli kekal dalam jawatannya?

Monday, 23 October 2017
MESKI JIKA DZULKIFLI DIDAPATI TIDAK BERSALAH, KEDUDUKANNYA UNTUK TERUS MENGETUAI SPRM TETAP TIDAK LAGI SESUAI

Sejak Peguam Negara, Apandi Ali mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk memantau siasatan pihak polis terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad, apa yang nyata penyiasatan kes tersebut seolah-olah telah terhenti dengan tiba-tiba.

Tiada lagi apa-apa berita atau perkembangan siasatan mengenai kes berkenaan yang boleh kita baca di media-media. 

Kita juga tidak tahu sama ada Dzulkifli sudah dipanggil untuk disiasat atau sebaliknya?

Begitu juga dengan wanita yang dikaitkan ada hubungan dan dipercayai pergi bercuti bersamanya ke Bali, kita juga tidak tahu sama ada keterangannya sudah diambil atau belum oleh pihak polis?

Kita juga tidak tahu sama ada Dzulkifli masih datang kerja seperti biasa atau sedang bercuti ketika ini?

Segala-galanya tidak lagi kita ketahui, sedangkan berdasarkan siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 489 Kanun Keseksaan iaitu memikat wanita yang sudah bersuami untuk tujuan mengadakan persetubuhan haram, yang paling mustahak dan paling awal perlu disiasat atau diambil keterangan ialah Dzulkifli sendiri dan wanita yang yang dikaitkan dengannya itu.

Siasatan terhadap mereka berdualah merupakan kunci segala-galanya.

Sejak Dzulkifli mengetuai SPRM, beliau didapati giat melakukan tangkapan demi tangkapan, sambil menunjukkan iltizam tingginya untuk memerangi rasuah melalui deklamasi sajak dan penampilan membaca khutbah di mimbar Jumaat.

Di mata umum, beliau telah menyerlahkan dirinya sebagai sosok yang benci serta gigih mahu memerangi rasuah, meskipun SPRM yang diketuainya masih lagi bertangguh-tangguh untuk menyerahkan laporan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta yang mengalir masih ke akuan peribadi Najib Razak.

Namun, skandal hubungan terlarangnya dengan wanita yang dipercayai isteri orang sehingga beberapa videonya  telah tersebar secara meluas, di sebalik imej bersihnya selama ini, telah membunuh kepercayaan orangramai terhadap kepimpinannya.

Beliau kini tidak lagi diyakini dan dianggap langsung tidak sesuai untuk  terus mengetuai SPRM. Imejnya telah musnah sama-sekali.

Apatah lagi wanita yang dikaitkan dengannya itu dikatakan adalah rakan setugasnya semasa di Pejabat Peguam Negara dahulu dan persoalan yang menjadi pertanyaan ramai ialah adakah mungkin beliau tidak tahu status wanita itu yang sudah pun mempunyai suami ketika menjalin hubungan dengannya?

Sehingga ini, Dzulkifli tidak pernah menafi atau mengiakan hubungannya dengan wanita berkenaan, cuma beliau menepisnya dengan mengatakan ia suatu serangan kotor dan jijik terhadapnya.

Sebagaimana yang disebut sebelum ini, mendedahkan keaiban orang lain memang perbuatan kotor dan jijik, tetapi jika terbukti melakukannya, adalah jauh lebih kotor dan jijik lagi.

Siasatan pihak polis terhadap Dzulkifli sepatutnya mampu membuktikan sama ada beliau bersalah atau sebaliknya. Jika tidak bersalah, maka bersihlah namanya.

Tetapi, apabila dengan tiba-tiba ditubuhkan pula pasukan petugas khas untuk memantau siasatan pihak polis, ia dengan sendirinya menambahkan lagi keraguan yang sedia ada itu.

Selepas ini, sama ada Dzulkifli bersalah atau tidak, bukan lagi isu penting di mata umum. Yang nyata, Dzulkifli dilihat semakin tidak sesuai untuk terus mengetuai SPRM.

SPRM dilihat sudah jadi cacat dan tercela kerananya. Apa pun hasil siasatan nanti, Dzulkifli sebaiknya mengundurkan diri secara terhormat demi nama baik SPRM itu sendiri. (ShahbudinHusin 23/10/2017).

Posted by Shahbudin Husin at 14:21 

No comments:

Post a Comment