Wednesday, October 25, 2017

Itu tolak, ini tolak, jadi apa yang boleh?

Mahfuz kecewa soalan jumlah tanah Putrajaya jual kepada China ditolak Parlimen
Yasmin Ramlan · Diterbitkan pada 25 Oct 2017 1:37PM
Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar, alasan penolakan soalannya itu tidak boleh diterima pakai kerana ia seolah-olah menunjukkan kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu daripada rakyat dengan memberikan alasan-alasan tidak masuk akal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2017

MAHFUZ Omar kecewa pertanyaannya di Parlimen mengenai jumlah ekar tanah di Malaysia dijual atau digadai oleh Putrajaya kepada pelabur China ditolak.

Menurut ahli Parlimen Pokok Sena itu, alasan penolakan soalannya itu tidak boleh diterima pakai kerana ia seolah-olah menunjukkan kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu daripada rakyat dengan memberikan alasan-alasan tidak masuk akal.

"Saya sangat kecewa dengan alasan penolakan ini. Ini kerana ia menyatakan bahawa satu pertanyaan itu tidak boleh mengandungi hujah sangkaan, fikiran (andaian), tohmah, puji atau keji atau mengandungi kalimah-kalimah mengelirukan, menyindir atau menyakitkan hati ataupun mengenai apa-apa perkara dangkal atau meminta penerangan mengenai perkara-perkara remeh.

"Saya fikir ini bukan satu perkara remeh. Ini bukan satu sangkaan. Ini bukan satu bersifat tohmah. Dan saya pun tidak memuji dan mengeji. Tapi soalan saya adalah ingin mendapat fakta dan angka. Kalau kerajaan meraskaan tiada, mereka boleh jawab bahawa tak ada pun walaupun seinci tanah kerajan persekutuan, tanah di Malaysia ini yang telah pun dijual atau dipindah milik kepada pelabur-pelabur di negara China," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Isnin lalu, Presiden PKR Dr Wan Azizah mengemukakan empat soalan yang menyentuh isu pengesahan kompaun Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), isu pematuhan 1MDB terhadap penarikan balik pelaburan oleh Bank Negara dan isu membawa pulang kembali aset-aset yang dirampas oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ).

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, perdana menteri Najib Razak cuba menyembunyikan situasi sebenar skandal 1MDB daripada diketahui umum.

"Alasan yang diberikan oleh Parlimen menolak soalan saya ini memberikan gambaran bahawa kita tak boleh bercakap apa.

"Bila alasan ini diberikan, ini menunjukkan bahawa ada sejumlah tanah Kerajaan Persekutuan khususnya yang telah pun dijual, dipindah milik kepada syarikat-syarikat pelabur di negara China.

"Cuma kerajaan tak nak beritahu kepada saya dan kepada orang ramai. Jadi saya sangat-sangat kecewa. Sepatutnya kerajaan tak boleh sembunyilah," katanya.

Sebelum ini penganalisis felo di ISEAS-Yusof Ishak Institute, Singapura Mustafa Izzuddin berkata, kebanjiran pelaburan China di Malaysia yang menunjukkan peningkatan ketara sejak Xi Jin Ping memegang kuasa pada 2012, disambut Najib sebagai paling utama dalam membina infrastruktur kelas dunia di Malaysia.

Namun, keakraban dua negara itu menimbulkan persoalan mengenai kedaulatan dan berkembangnya pengaruh China dalam politik. – 25 Oktober, 2017.

Kaitan'Kalau 1MDB positif kenapa tak boleh bahas di parlimen?'

1 comment:

  1. Tanah yang telah terjual kepada negara China adalah berbilion-bilion lori, yang masih tinggal hanyalah pasir dua butir sahaja. Dan lagi satu pertanyaan, kalau pelaburan 1MDB menguntungkan, berapa banyakkah keuntungan itu?

    ReplyDelete