Monday, October 16, 2017

Ulasan logik: Himpunan Kleptokrasi tidak berjaya, kenapa?

Sunday, October 15, 2017
Himpunan Kleptokrasi kurang memberangsangkan
Pemandangan dari satu sudut himpunan Kleptokrasi.

Boleh dikatakan ketiga gabungan politik terbesar negara ini sudah mengadakan himpunan bagi menunjukkan kekuatan (strength) masing-masing. Semalam bertempat di Padang Timur Petaling Jaya, Selangor giliran Pakatan Harapan (PH) berhimpun menunjukkan kekuatan.

Beberapa minggu sebelum ini Gagasan Sejahtera yang dikepalai parti agama telah selesai mengadakan himpunan Fastaqim di Terengganu.

Walaupun gabungan terbesar 14 buah parti Barisan Nasional (BN) tidak mengadakan himpunan rakyat khusus atas nama gabungan itu, tetapi beberapa himpunan menerusi agensi kerajaan bolehlah dianggap ia ada himpunan daripada BN. Temasya Sukan Kuala Lumpur 2017, di Sport City bulan lalu misalnya, boleh dikira sebagai himpunan buat BN.

Jadi ertinya ketiga-tiga gabungan parti politik terbesar negara ini sudah selesai mengadakan pesta menunjuk kekuatan masing-masing, sebagai "himpunan separuh akhir". Walaupun selepas ini gabungan-gabungan itu akan tetap dan terus mengerakan jentera masing-masing namun dua himpunan itu, Fastaqim dan Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi itu adalah himpunan memberi signifikan tersendiri kepada kedua-dua gabungan itu.

Himpunan itu akan dijadikan indikator dan kayu pengukur kekuatan kedua gabungan itu untuk berhadapan pilihan raya umum (Piraum) akan datang.

Mengenai himpunan di Petaling Jaya semalam berbagai ulasan sudah dibuat oleh para pengulas politik baik profesional dan juga amatur. Mereka memberi bermacam-macam pandangan dan tanggapan mengikut selesa dan kecenderongan masing-masing kepada pihak disukai.
Di dalam media sosial pula para pelayarnya yang menjadi pengikut dan pentaksub gabungan masing-masing, tidak habis-habis membandingkan di antara dua himpunan Fastaqim - Kelptokrasi itu. Mereka yang sayang kepada Pas tetap mengatakan Fastaqim terbaik tanpa melihat ada apa-apa kecacatan pada himpunan itu.
Pemimpin utama PH tegak bersemangat

Manakala yang cintakan PH mempertahankan himpunan semalam sebagai berkesan dan memberi impak tersendiri tanpa mahu mengaku kelemahan yang nyata.

Sedihnya dalam soal untuk meremehkan di antara satu sama lain, sampai masalah tahi ditimbus dengan pasir pun diungkitkan. Dan ada pula portal berita yang sengaja memanipulasikan himpunan sampai mendedahkan kebangangan diri.

Tegasnya kedua pihak mempertahankan kumpulan masing-masing tanpa memperlihat ada titik kebaikan daripada kedua himpunan itu. Walhal keduanya sebagai sifat penentang BN sepatutnya perbalahan itu tidak berlaku dan sepatutnya ada yang membuat unjuran kalau kedua himpunan itu digabungkan ia pasti akan memenatkan BN dan Najib.

Di sini saya berdiri di tengah-tengah sesuai dengan prinsip saya tidak memihak secara membabi buta dan tanpa maksud yang bererti. Mengenai Fastaqim saya sudah pun mengulas mengenainya. Di sini saya hendak menumpukan kepada himpunan Kleptokrasi semalam tanpa membanding lagi dengan himpunan Fastaqim secara dendam dan emosi.

Bagi saya tidak ada guna mengejikan dan mencari kelemahan kedua-dua himpunan itu sehingga ia boleh dimanfaatkan oleh UBN untuk terus berkuasa. Sebolehnya saya mahu berdiri dan menjadi golongan ketiga berdiri di tengah di antara kumpulan yang bersengketa.

Pertamanya mengenai jumlah yang hadir. Pihak penganjur mensasarkan separuh daripada yang disasar oleh penganjur Fastaqim sebanyak 200,000. Jumlah yang hadir di Fastaqim itu tidak mencapai sasaran itu. Angka paling munasabah di fastaqim sekitar 30,000 sahaja. Demikian juga dengan himpunan Kleptokrasi itu, jumlah tidak sampai separuh dari yang disasarkan 100,000.

Jumlah yang munsabah kehadiran semalam tidak lebih 15,000. Untuk apa kita berbohong kepada diri sendiri kerana perbuatan itu walaupun boleh dijadikan psywar tetapi ia menipu diri sendiri.

Kita akui bahawa himpunan semalam, adalah himpunan pembangkang paling lemah dari segi angka. Apa lagi jika dibandingkan dengan siri-siri himpunan Bersih sebelum ini. Himpunan di Petaling Jaya semalam sama tara dengan Himpunan Black 14 yang pernah diadakan di tempat yang sama, sebagai mengenang Anwar Ibrahim.

Dari segi kehadiran dihimpunan semalam ia tidak memberangsangkan apabila bila diukur kepada maksud himpunan semalam adalah kemuncak kepada siri-siri jelajah Malaysia yang diadakan sebelum ini untuk mengumpulkan khalayak di Petaling Jaya itu.

Ada beberapa faktor kenapa himpunan semalam tidak mencapai sasaran. Saya bersetuju dengan alasan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, yang menerima jumlah kerendahan kehadiran itu disebabkan anak muda kurang minat untuk hadir, kerana himpunan itu tanpa perarakan seperti himpunan Bersih.

Himpunan semalam lebih bersifat statik dan sesuai diadakan dalam dewan besar sahaja. Sifat himpunan sedemikian tidak daring kurang menarik minat orang muda yang suka kepada aktiviti lasak dan mencabar. Sebab itu di era reformasi dahulu kalau demostrasi tidak disembur air kimia dan gas pemedih mata ia dianggap tidak berjaya. Bunyi ketukan cota si kepala merah menjadi rangsangan utama.

Begitu juga dengan alasan diberikan Mahfuz Omar, orang kurang minat untuk turun disebabkan orang boleh mengikuti himpunan itu secara langsung menerusi facebook dan sebagainya. Kerana ia bersifat statik, untuk apa bersusah payah turun, ucapan dan amanat pemimpin boleh diikuti menerusi siaran langsung. Faktor keluasan capaian menerusi media sosial juga menjadi penyebab orang ramai liat untuk turut melainkan mereka yang datang bertujuan untuk berjumpa kawan sehimpunan sebelum ini.

Keadaan itu ditambah pula dengan keadaan cuaca semasa sakarang ini, di mana bila petang Kuala Lumpur dan Shah Alam sering dilanggar ribut. Banjir kilat boleh berlaku di mana-mana sahaja yang menjadi penghalang. Mungkin faktor itu juga menjadi orang ramai tidak berapa minat atau berhati-hati untuk turun kerana bimbang apa yang berlaku di Fastaqim, pelakar telah memanah kawasan himpunan akan berulang di Padang Timur.

Faktor lain yang dapat dilihat kenapa himpunan semalam gagal untuk menghimpunkan khalayak sehingga 50,000 ialah kerana faktor Dr Mahathir Mohamad. Masih ada segolongan baik dari DAP maupun PKR yang tidak selesai dengan Dr Mahathir. Sejarah lama masih menghantui mereka. Kemarahan dan kebencian mereka kepada "MahaFiraun" itu mengatasi kebencian mereka kepada Najib Razak. Ini satu sikap berpolitik secara negatif.

Wujudnya suasan ini juga kerana Pakatan Harapan (PH) itu sendiri tidak kompak. Azmin Ali tetap menjadi faktor. Ini menambahkan lagi kelemahan himpunan itu yang kebetulan diadakan di Selangor di mana Azmin adalah MBnya. Sedikit sebanyak mereka yang cenderong dan minat dengan Azmin Ali, kurang "gemas" untuk hadir apabila mereka menyedari Azmin tidak berperanan besar dalam Pakatan Harapan dan diletakkan di stage utama.

Sikap mengkultuskan pemimpin tertentu ini sehingga membelakngkan matlamat utama PH juga salah dan bukan politik yang bijak.

Ada orang-orang yang dikenal pasti (termasuk wakil rakyat rakyat dan pemimpin PKR) membenci dan bermusuh dengan Dr Mahathir, tidak dapat menerima perbuatan bekas PM itu kepada Anwar tidak kelihatan di himpunan semalam. Begitu juga mereka yang menjadi pendolor jubur Azmin, tidak nampak, malahan Azmin sendiri hanya hadir sebagai angin lalu sahaja.

Selebihnya, kenapa himpunan semalam kurang mendapat sambutan di kalangan anak muda, ia boleh difahamkan bahawa anak muda tidak mempedulikan masalah dan situasi politik negara. Bagi mereka segala kebobrokan kerajaan yang didedahkan oleh PH tidak menyentuh hati nurani mereka dan bukan urusan diri mereka.

Masalah dihadapi negara kini, seperti masalah kos sara hidup, hutang negara, jenayah, perogolan sistem demokrasi dan sebagainya belum sampai ke tulang hitam mereka. Dalam erti kata lain "Kleptokrasi" tidak sedikit pun mengusik jiwa mereka. Anak muda negara kita kekal dalam jelumu khayalan.

Hanya mereka -- anak muda yang jauh berfikir, sedar dan insaf masalah dihadapi negara sahaja sanggup hadir dan mengambil bahagian ke mana-mana acara untuk menjatuhkan kerajaan Najib. Misalnya anak-anak muda yang hidup penuh dengan "hoha-hoha", golongan "peleserisme"  dan "rempitisme" tidak akan mempedulikan setiap apa yang dibangkit dan diungkitkan itu para pemimpin PH. Mereka tetap kekal dengan dunia mereka dan mabuk dalam asap motor.

Selain itu tarikan untuk mereka datang ke himpunan itu juga tidak ada. Maksudnya acara yang boleh merangsangkan mereka hadir, seperti mana perarakan motosikal dengan diberikan wang seratus dua dan sehelai t-shirt, tidak ada. Bila hal-hal atau tawaran sebegini tidak wujud, maka mereka tawar hati untuk hadir, kerana melihat tidak ada keuntungan segera diperolehi.

Dalam hal ini kesempatan dan aset sebeginilah yang ada kepada BN menyebabkan apa sahaja himpunan dianjurkan oleh gabungan itu meriah dan didatangi anak muda.

Pun begitu kandati himpunan gagal dari segi angka tetapi ia tetap berjaya dari segi maksud untuk menyampaikan masej kepada rakyat. Menerusi ucapan oleh para pemimpin PH, mereka berjaya mengulangi menjelaskan akan masalah negara kepada rakyat khasnya akan kejahatan dan kebobrokan pentadbiran Najib Razak.

Dalam masa sama himpunan semalam juga terus mengingat dan mengulangi akan janji-janji dan tawaran yang hendak diberikan oleh PH sekiranya berjaya nanti. Antara ialah berjanji menghapuskan cukai GST dan mengheret Najib ke muka pengadilan. Saat ada pemimpin menyatakan untuk mendakwa Najib, kedengaran sorakan dan tepukan para himpunan. Gema ini menunjukkan saking BENCInya orang kepada Najib.

Janji ini juga pernah diluahkan oleh Pakatan Rakyat di era Anwar dahulu di mana kalau PR berjaya mereka akan membawa Dr Mahathir ke muka pengadilan.

Pengulangan perkara yang sama dalam waktu berbeza ini juga, (untuk dakwah Najib) turut menyumbang kepada kekeliruan orang ramai untuk tidak memberi perhatian kepada himpunan Kleptokrasi semalam?

Dan pengajaran yang boleh dirumuskan di sini dari himpunan selama ialah, sekiranya peratus yang hadir semalam didominasi orang Melayu sehingga 75%, ia menunjukkan bahawa parti orang Melayu Umno dan Pas terus berada dalam perpecahan, kerana Melayu yang hadir di himpunan semalam jelas Melayu dari Umno dan Pas yang kini sudah bertukar baju dari warna biru kepada merah, dari hijau kepada oren. 

Sedar atau tidak himpunan-himpunan terpisah seperti Fastaqim dan Kelptokrasi itu walaupun dari satu segi ia bertujuan menunjukkan kekuatan tetapi hakikatnya ia melemahkan politik nuasa.  [wm.kl.3:17 pm 15/10/17]

Posted by mohd sayuti Omar at 3:57:00 PM 

1 comment:

  1. walaupun telah dijangka sambutan agak hambar namun perhimpunan tetap di teruskan..

    Berbagai macam alasan boleh di beri untuk menangguhkan perhimpunan tersebut jika jumlah peserta penting sangat..

    Sikap orang Melayu buat kenduri lagi besar belanja lagi hebat.. tapi tak sampai setahun bercerai..

    Malah apabila Polis meminta perhimpunan di tukar ke stadium.. PH mempunyai cukup alasan untuk batalkan perhimpunan..

    Berapa belanja perhimpunan. antara Anti Kleptrokasi dengan PasTalkin?

    ReplyDelete