Monday, October 16, 2017

Penahanan Wan Ji: Tercemarkah imej Pakatan?

Penahanan untuk cemarkan imej Pakatan, kata Wan Ji
Diyana Ibrahim · Diterbitkan pada 16 Oct 2017 7:00AM ·
Wan Ji Wan Hussain percaya dirinya dijadikan kambing hitam selepas ditahan baru-baru ini kerana kes lama. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2017.

PEGAWAI Penerangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin tidak menolak dirinya dijadikan “kambing hitam” rentetan kes penahanan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Zamihan Mat Zin.

Kedua-dua penceramah itu ditahan kerana dituduh menghasut berkaitan dengan kenyataan mereka berkaitan institusi diraja.

Zamihan yang dipinjamkan kepada Jabatan Penjara Malaysia daripada Jakim ditahan Rabu lalu selepas mengkritik Sultan Johor yang melarang perniagaan dobi untuk orang Islam sahaja di negeri itu.

Dia ditahan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi tetapi dibebaskan pada Sabtu lalu.

Manakala Wan Ji ditahan polis selepas menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Jalan Sembilang, Seberang Jaya, Pulau Pinang, dan kemudian dipindahkan ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi.

Sebelah lokap dengan Zamihan

Wan Ji turut menceritakan pengalamannya ditahan reman dua hari di IPD Dang Wangi apabila selnya dikatakan bersebelahan dengan Zamihan.

"Ya memang dia (Zamihan) di sebelah sel saya saja, dan kita cuma berselisih masa saya nak pergi soal siasat dan dia baru habis soal siasat. Tapi tidak ada tegur apa-apa.

"Cuma pegawai sel ada beritahu saya, dia tahu saya juga ditahan dan kata padan muka saya, saya cuma ketawa sajalah sebab saya kata balik pada dia, padan muka juga kena tahan," kata Wan Ji sambil tergelak.

Kes lama

Katanya selain daripada tempoh penahanan mereka yang cuma berselang dua hari, Wan Ji ditahan kerana kes lama iaitu sebuah rakaman video dibuat pada 2013 dimana ketika itu beliau menyampaikan penerangan tentang kemungkinan Malaysia menjadi sebuah negara republik.

"Memang saya rasa penahanan saya turut melibatkan faktor penahanan Zamihan juga. Jaraknya tak jauhkan (daripada masa) Zamihan ditahan kerana menghina Sultan Johor kerana kes dobi," katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketua Biro Agama Pemuda PKR itu dibebaskan semalam setelah permohonan polis untuk memanjangkan tempoh remannya di tolak mahkamah.

Tambah mencurigakan katanya, polis juga tidak memberi sebarang alasan kenapa kes lama iaitu pada 2013, itu menyebabkan beliau dipanggil semula dan ditahan.

Ini bermakna katanya sudah dua kali beliau dipanggil polis berhubung kes sama iaitu pertama kali pada tahun 2013 semasa video tersebut dimuat naik dan disebarkan menerusi Youtube.

"Polis tidak memberitahu alasan kenapa saya dipanggil kerana kes lama, cuma saya diberitahu penahanan saya kali ini kerana ada seorang yang membuat laporan polis ke atas saya berhubung kes video penerangan semasa 2013.
Wan Ji Wan Hussain ditahan baru-baru ini kerana video dirakam pada 2013 yang diubah suai diluar konteks yang disiarkan menerusi YouTube. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Oktober, 2017

Polis juga bertanyakan sekurang-kurangnya 20 soalan membabitkan video penerangannya itu namun beliau mempertahankan penerangannya itu telah diubah suai dan dipendekkan.

"Ada soalan pasal diri saya, dan selebihnya ialah mengenai video. Tapi saya katakan video itu telah diubah suai, ia diambil daripada luar konteks penerangan saya. Asal video tersebut tidak begitu.

Asal video tersebut menurut Wan Ji ialah memberi contoh bagaimana Nabi Muhammad SAW yang selalu membuat perancangan untuk masa depan dan beliau memberi pelbagai contoh, termasuk tentang sultan.

Ia membabitkan kenyataan secara kiasan berkaitan dengan satu cabang pengajian fikah Islam itu “figh tawaqqu”.

Dan versi diubahsuai yang dimuat naik di Youtube pada 2013 ialah bermula dengan tajuk “[TERGEMPAR] Ust Wan Ji Hapuskan Sistem Sultan.”

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) adalah antara yang terawal membuat laporan polis berhubung video tersebut.

Wan Ji sebelum ini pernah ditahan untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 pada 10 September 2014 berhubung kenyataan kontroversinya mengenai Islam dan sistem beraja.

DAP jadi sasaran

Wan Ji yang baru sahaja dilantik sebagai pegawai penerangan Pulau Pinang turut merasakan penahanannya itu dilakukan untuk memburukkan pentadbiran Pakatan Harapan yang diketuai DAP di negeri utara itu.

"Selain daripada faktor Zamihan saya juga tidak menolak saya menjadi kambing hitam kerana saya bekerja di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Sejak saya mengangkat sumpah kerahsiaan kerajaan negeri saya telah diserang tanpa henti.

"Saya ini macam dijadikan macam 'punching bag' dilakukan orang tidak berpuas hati dengan kerajaan Pakatan Harapan. Mereka nak serang Guan Eng, dan bila tak dapat serang Guan Eng mereka serang saya pula," katanya yang menjangkakan serangan ke atasnya akan bertambah dahsyat.

Namun setakat ini serangan yang diterima cuma berbentuk lemparan tuduhan dan fitnah di internet dan media sosial tanpa melibatkan sebarang insiden serangan fizikal, katanya.

"Macam-macam mereka serang saya, kata saya ini macai DAP, lepas itu bila saya jadi pegawai kerajaan negeri kata saya masuk DAP padahal saya tak keluar parti pun saya masih lagi ahli PKR, tuduhan yang kata saya fakir dan terbaru isu lapuk (kes hasutan) dibangkitkan semula."

Namun kata Wan Ji, cubaan untuk menyerangnya tidak akan membuat dirinya lemah atau takut sebaliknya beliau bertekad akan lebih kerap memberi penjelasan mengenai tuduhan ke atasnya.

"Lepas itu kalau ada ceramah, saya kena terangkanlah dan beri penjelasan mengenai kes-kes saya dan apa tuduhan tersebut," kata pendakwah muda itu. – 16 Oktober, 2017

* Nak tanya sikit, mana lebih jernih air mukanya di antara Wan Ji dan Zamihan?

1 comment:

  1. lain kali komen saja pasai isu tak payah sebut nama orang besar kat dunia lani
    tapi nama ynag agong besar adalah Nabi
    kedai dobi muslim tak salah pung
    ini bukan negara kapir

    ReplyDelete