Sunday, October 8, 2017

Hisy.....takkan bertanya pun marah?

Kenapa Terengganu marah rakyat bertanya?
Raja Bahrin Shah      Hari ini, 12:40 tengahari
Masjid Kristal menjadi satu tarikan pelancong yang baru untuk negeri Terengganu Darul Iman. Sebagai tempat ibadat ia mestilah juga diurus dengan baik sama ada dari segi penjagaan kemudahan atau keterampilannya.

Malangnya sejak dua atau tiga tahun lalu banyak perkara menjadi rungutan orang ramai.

Sinar Harian melaporkan rungutan tentang kebocoran bumbung di ruang-ruang solat, paip wuduk bermasalah, tandas tidak terurus dan kerosakan bangunan secara umumnya.

Ini tidak sepatutnya dibiarkan berlaku kepada sebuah bangunan ikon negeri dan mengecewakan ramai.

Lebih mengecewakan lagi adalah kenyataan Menteri Besar Terengganu yang menyatakan kemungkinan kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar tersebut kerana menyiarkan rungutan rakyat yang berhak bersuara.

Sepatutnya teguran yang membina patut diberi ucapan terima kasih. Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman juga menyatakan berita tersebut menjejaskan Tahun Melawat Terengganu pada 2017 ini.

Sebenarnya bukan hanya Masjid Kristal bermasalah di Terengganu. Banyak lagi bangunan lain yang terbiar dan terbengkalai.

Saya pernah beberapa kali menulis tentang masalah-masalah projek:

1. Kolam renang awam Batu Burok - Berharga sekitar RM20 juta yang runtuh bumbungnya kira-kira lapan tahun lalu dan tidak dibaiki.

2. Stadium Tertutup Gong Badak - Hampir sembilan tahun bumbungnya runtuh, selain kerosakan lain pada kemudahan bangunan stadium berharga RM350 juta itu. Juga berlaku kecurian peralatan. Stadium ini terletak bersebelahan Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan jelas dilihat pelancong.

3. Taman Ilmu di Besut - Kerosakan bangunan dan kecurian peralatan utama dilaporkan berlaku.

4. Pusat Bebas Cukai di Kesyir - Ia berharga RM300 juta dan masih belum boleh digunakan selepas enam tahun.

5. Zoo Mini Kemaman - Keadaan tidak terurus dengan binatang serta kemudahan tidak memuaskan sejak beberapa tahun lepas.

6. Masjid Kristal - Kos RM23 juta dengan binaan bermasalah dan rosak. Sebenarnya isu Masjid Kristal hanya sebahagian yang kecil daripada masalah yang jauh lebih besar dan luas melanda Terengganu. Ia melibatkan jumlah kos keseluruhan sekitar RM1.1 bilon!

Kos Masjid Kristal sebanyak RM23 juta hanya 2 peratus daripada keseluruhan projek mega Terengganu yang rosak dan melibatkan kerugian RM1.1 bilion.

Bukan saja pelancong malah rakyat Terengganu sendiri mahu tahu kenapa ini berlaku.
Kerajaan kelihatan hanya berminat membahagikan-bahagikan kontrak projek mega kepada pihak tertentu saja tetapi tidak menunjuk minat menyiapkan, menjaga serta mengurus projek tersebut dengan baik.

Mengapa pembaziran dan ketirisan terus berlaku? Jawapan kepada soalan itulah yang diingini rakyat!

Patutlah Terengganu hari ini dikenali sebagai negeri kaya tetapi rakyat terus miskin. Perbelanjaan hanya untuk golongan atasan dan projek mega serta mewah saja.

Jangan salahkan rakyat bertanya dan laporan media untuk menyiarkan rungutan mereka. Kerajaan mesti peka pandangan serta permintaan rakyat.

Kini projek mega jambatan ratusan juta ringgit ke Seberang Takir di kawasan menteri besar pula sedang berjalan dengan konsep jambatan boleh diangkat dan diturunkan.

Berapa lama pula masa diambil untuk kerosakan ke atas jambatan ini akan berlaku ketika air masin laut dan besi berkarat boleh terjadi jika tiada pengurusan penjagaan yang baik?

Mungkin ia akan menjadi terkenal sebagai jambatan "tergantung" tanpa penjagaan dan pengurusan yang sepatutnya.

Atasilah masalah yang ada hari ini terlebih dulu untuk memberi sedikit keyakinan kepada rakyat.

Kuasa yang dimiliki kerajaan hari ini adalah amanah yang besar diberi rakyat untuk dipikul dengan sebaik-baiknya, bukan untuk disalahgunakan.

Tidak ada sebuah negeri lain pun di Malaysia hari ini yang mempunyai lima projek mega yang sakit dan diabaikan seperti Terengganu.

Begitu nyata kelemahan pemerintahan kerajaan Umno-BN di Terengganu hari ini.

* DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah anggota parlimen Parti Amanah Negara (AMANAH) Kuala Terengganu.

2 comments:

  1. Sama sj umno atau pas perintah. Jahanam. Asalkan bukan PASU

    ReplyDelete
  2. Wow, incredible blog layout! How long have you been blogging
    for? you made blogging look easy. The overall look of your web site is wonderful, let alone the content!

    ReplyDelete