Monday, February 12, 2018

Penamatan khidmat Imam dan Bilal: Adakah tangan ghaib politik terlibat?

Khidmat imam, bilal ditamatkan
ZAIMATULJUWITA
Jemaah Masjid An Nur Mukim Badak mengadakan bantahan aman terhadap penamatan perkhidmatan imam dan bilal masjid mereka

BACHOK – Jemaah Masjid An Nur Mukim Badak, dekat sini, kesal apabila imam dan bilal masjid mereka ditamatkan kontrak perkhidmatan tanpa sebarang notis sejak 1 Februari lalu.

Timbalan Pengerusi Masjid An Nur Mukim Badak, Sabri Mohamad berkata, imam Khairussaleh Mohd Nor dan bilal Wan Abdullah Wan Mamat hanya menerima surat mengenai penamatan khidmat mereka itu beberapa hari lalu dan ia berkuat kuasa pada Khamis lepas.

Katanya, penamatan khidmat itu menimbulkan suasana tidak selesa dalam kalangan jemaah yang sering menjadikan imam sebagai tempat rujukan mereka.

"Imam kami ini cukup kelayakannya dan seorang qari bertauliah yang pernah bertanding mewakili jajahan Bachok ke peringkat negeri Kelantan.

"Beliau juga adalah pengajar kelas al-Quran di sekitar Bachok dan mempunyai keperibadian mulia disenangi jemaah.

"Setahu kami tiada isu besar berkaitan beliau dalam masyarakat yang boleh menjadi faktor beliau ditamatkan jawatan. Justeru, kami memohon agar jawatan beliau disambung semula dengan segera," katanya ketika ditemui Sinar Harian di pekarangan Masjid An Nur Mukim Badak, kelmarin.

Kehilangan pemimpin agama disegani

Penduduk, Mahadhir Ibrahim berkata, jemaah amat terkilan apabila mendapat khabar khidmat imam dan bilal itu ditamatkan serta merta.
Penduduk Mukim Badak berhimpun di pekarangan pejabat MAIK Balai Islam Lundang untuk menyerahkan surat rayuan berkaitan penamatan kontrak imam masjid mereka

Katanya, pelbagai aktiviti yang diaturkan di masjid ini disertai pelbagai golongan dan tiada sehari pun masjid itu dibiarkan lengang tanpa aktiviti seperti ceramah agama, kelas al-Quran, tazkirah dan sebagainya.

"Beliau seorang yang mudah diajak menghadiri sebarang majlis bersama penduduk selain berkebolehan dalam pelbagai bidang, boleh mengaji dan boleh main bola dengan anak mukim.

"Setahu kami mereka ini tidak diberi notis tamat khidmat dan terus menerima surat tamat perkhidmatan. Ini kali kedua masjid ini kehilangan imam selepas perkara sama berlaku beberapa tahun lalu," katanya.

Wakil jemaah wanita pula, Zakiah Mohd Nor, 58, berkata, semua Muslimat kesal dan sedih di atas penamatan jawatan imam dan bilal secara drastik itu.

Katanya, mereka sudah pasti akan kehilangan seorang pemimpin agama yang disegani di mukim berkenaan.

Beliau berkata, mereka amat terkejut dengan berita itu dan terus mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu berkenaan.       

"Kami tak tahu apa salah beliau sehingga khidmatnya tak disambung sedangkan kami berpuas hati dengan pentadbiran dan khidmat imam dan bilal sedia ada.

"Saya pasti jika ada kesilapan kecil, pasti ia boleh dirundingkan. Imam kami ini pandai mengaji, memiliki suara merdu dan qari yang bertauliah pernah wakili jajahan Bachok untuk pertandingan negeri Kelantan.  

"Tambahan pula imam baru itu bukan dari mukim kami. Justeru, kami harap pihak berkenaan dapat tarik balik keputusan itu dan beri peluang secepat mungkin kepada imam untuk sambung khidmatnya semula," jelasnya.

Hantar surat rayuan

Dalam pada itu, jemaah Masjid An Nur Mukim Badak hadir ke pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (MAIK), semalam bagi menyerahkan surat rayuan berhubung penamatan kontrak imam masjid berkenaan.

Wakil jemaah, Mahadhir berkata, dia bersama lebih 150 penduduk kampung mereka hadir ke MAIK seawal jam 8.30 pagi bagi menyerahkan surat berkenaan kepada wakil MAIK.
Jemaah wanita turut hadir memberi sokongan ketika bantahan aman di pekarangan masjid

"Kami amat berharap perkara ini akan dipertimbangkan oleh pihak MAIK kerana imam Khairussaleh adalah imam terbaik bagi kami.

"Kami mahukan kontrak beliau terus disambung memandangkan kami amat berpuas hati dengan khidmatnya selama ini, dan beliau tak pernah menghadapi masalah bersama masyarakat setempat sepanjang berkhidmat di masjid kami sejak beberapa tahun lalu," katanya.

Bagi jemaah wanita, Bahrumnisah Ab Ghani, 61, pula berkata, dia hadir sejak awal pagi sebagai memberi sokongan terhadap rayuan yang dikemukakan oleh ahli jemaah masjid yang mahukan imam lama terus berkhidmat.

Menurutnya, imam lama orang tempatan yang berpengaruh dan berilmu tinggi serta pernah diangkat sebagai qari jajahan Bachok wakil ke pertandingan tilawah al-Quran beberapa tahun lalu.

1 comment: