Saturday, February 3, 2018

Kempen #undiRosak disifatkan sebagai kempen untuk orang kecewa

#UNDIROSAK: KEMPEN ORANG KECEWA
Norawazni Yusof
Zulkifli

KUANTAN - Kempen #undiRosak disifatkan sebagai kempen untuk orang kecewa.

Naib Pengerusi Amanah Pahang, Zulkifli Mohamed berkata, kempen tersebut mempunyai agenda tersendiri dan seolah-olah dirancang dengan rapi serta cuba mengambil kesempatan ke atas sentimen kekecewaan segolongan pihak terhadap isu yang melibatkan calon perdana menteri, parti dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Jadi pada mereka ini cara terbaik untuk menunjukkan rasa kekecewaan itu melalui kaedah memboikot dan menghasut rakyat agar melakukan undi rosak.

"Tapi, saya yakin kempen #undiRosak ini  merupakan kempen yang strategik, dilakukan secara halus oleh sekumpulan individu bagi memenuhi kehendak dan kepentingan diri sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kempen #UndiRosak digerakkan di laman sosial terutama Twitter, tidak bertujuan mempengaruhi kepercayaan pengundi, sebaliknya mahu 'mendidik' mereka untuk memberi pengajaran kepada pembangkang.

Perkara tersebut  timbul pada 7 Januari lalu selepas pembangkang menamakan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohammad sebagai calon perdana menteri jika menang PRU14.

Fokus utama ialah mengajak golongan muda merosakkan undi pada PRU14 akan datang.

Tanpa sebarang organisasi rasmi, aktivis berkempen melalui media sosial milik peribadi untuk mengajak masyarakat merosakkan undi.

Menyentuh mengenai perkara itu, Zulkifli turut berpendapat, motif sebenar kempen yang digerakkan ini tidak dapat dipastikan secara jelas.

Bagaimanapun, jelasnya, ia boleh memberi kesan bukan sahaja kepada satu-satu kawasan pilihan raya, malah turut melibatkan negara.

"Mengundi adalah hak setiap rakyat yang layak. Jika terpedaya dengan kempen ini, menjadikan suara rakyat tidak kedengaran. Seluruh rakyat Malaysia yang waras tidak perlu melayan kempen yang sia-sia ini," katanya.

Justeru itu, Zulkifli berkata, menjadi tanggungjawab Pakatan Harapan (Harapan) untuk meyakinkan  pengundi muda bahawa sekiranya golongan ini menolak kempen yang merosakkan demokrasi ini dan berfikiran waras dengan mengundi  Harapan dalam PRU14.

Jelasnya, Harapan akan cuba mengubah institusi pilihan raya di negara ini agar menjadi lebih telus, terbuka dan penuh integriti.

"Saya secara peribadi amat yakin dengan kebijaksanaan pengundi muda dan tidak mudah terpengaruh dengan kempen kotor seperti ini.

"Oleh itu jangan sesekali mensia-siakan undi anda atau terpengaruh dengan kempen yang tidak menguntungkan mana-mana pihak ini. Beri kepercayaan kepada Harapan, untuk kali ini jangan rosakkan undi anda, hanya kerana mengikut emosi atau terpedaya dengan pihak yang kecewa," katanya.

1 comment:

  1. Ada kemungkinan jentera SPR yang pro UMNO/BN yang akan merosakkan kertas undi yang telah memilih PH. Ini akan menjadikan tambahan bilangan undi rosak lalu menyebabkan calon BN yang akan menang setelah pengiraan tamat. Jika ini berlaku, maka ada kewajarannya untuk diulas oleh pihak SPR dengan menggambarkan serta mengatakan terdapat banyak undi protes. Bagi petugas-petugas parti, mereka perlu amat berhati-hati dan sentiasa peka dengan permainan silap mata ini. Semasa kerani undi memunggah kertas undi keluar dari kotak undi, mengiseh dan mengira kertas undi sehingga selesai, petugas-petugas parti perlulah memantau dengan cermat dan teliti segala perlakuan aktiviti semasa kerani undi tersebut bertugas terutamanya jika mereka sedang memegang pen/pensil dan jangan terlepas pandang langsung. Begitu juga ketika merekodkan undian yang dibaca oleh kerani undi, hendaklah dilakukan dengan kemas. Pastikan ada pengganti petugas parti mengambil alih, sekiranya petugas parti yang sedang berada dalam bilik perlu meninggalkan bilik, contohnya hendak ke tandas.

    Kempen supaya merosakkan undi ini, hanyalah satu helah awal sebelum wayang sebenar dimainkan.

    ReplyDelete