Friday, August 4, 2017

Video inside: Baguslah tuu........sendiri robohkan sediri baiki!

* Rakyat masih ingat siapa yang mulakan meroboh sistem ini
Menghilangkan bayang Juri di Mahkamah Malaysia menjadikan keputusan Hakim mutlak
Dan siapa yang meranapkan imuniti Raja-Raja Melayu

Aku hanya berikan pandangan berdasarkan apa yang telah aku lihat. Dan tidak semestinya bila aku kritik Dr. Mahahir maka aku setuju dengan Najib. Ooh......tidak!

Jika Pakatan menang PRU14, Dr Mahathir janji kukuhkan badan kehakiman
Amin Iskandar, Noor Azam Shairi, Bede Hong
Diterbitkan pada 4 Aug 2017 7:15AM
Malaysia dalam keadaan huru-hara kerana skandal 1MDB serta tindakan Najib Razak memecat peguam negara dan menyekat siasatan terhadapnya, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 4 Ogos, 2017.

BETAPA masa sudah jauh berubah.

Dr Mahathir Mohamad, tokoh yang dituduh menyekat kuasa yang ada pada mahkamah semasa menjadi perdana menteri, kini berjanji mahu menegakkan semula “keluhuran undang-undang” jika Pakatan Harapan (PH) menang PRU14.

Ini termasuk pelan mengembalikan kebebasan badan kehakiman dan menjalankan perubahan yang akan membawa kepada mekanisma semak dan imbang yang lebih wajar dalam tiga cabang kerajaan.

“Ya, kita mempunyai idea bagaimana untuk memperbaiki semak dan imbang. Contohnya, terdapat pengasingan kuasa di antara legislatif dan eksekutif, legislatif dan kehakiman,” katanya kepada The Malaysian Insight.


Dr Mahathir menggambarkan negara ini dalam keadaan huru-hara, yang jelas kelihatan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta tindakan Perdana Menteri Najib Razak memecat peguam negara dan menyekat siasatan terhadapnya.

“Hari ini tidak ada. Malah hakim yang tidak boleh dilantik disebabkan melanggar Perlembagaan (Persekutuan) dia (Najib) lantik. Saya tak pernah buat perkara seperti ini,” kata Dr Mahathir, merujuk kepada lanjutan tempoh pelantikan Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zukelfi Ahmad Makinudin.

Beberapa jam selepas wawancara selesai, Dr Mahathir dan pemimpin PH menyerahkan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong mencabar keputusan Najib melanjutkan tempoh jawatan dua hakim itu.

Janji Dr Mahathir ini akan jadi magnet kritikan memandangkan tuduhan terhadapnya selama ini sebagai orang yang bertanggungjawab menyekat kebebasan badan kehakiman.

Pada 1988, ketua hakim negara ketika itu Salleh Abas dipecat manakala lima hakim Mahkamah Agung digantung, kemudiannya dua daripada mereka dipecat tribunal, sehingga membawa kepada krisis kehakiman.

Pada tahun yang sama, Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi menghapuskan “kuasa kehakiman” daripada Artikel 121(1), sekaligus melemahkan mahkamah.

Badan Peguam Malaysia seterusnya mengecam penyingkiran hakim itu dan menggesa semakan semula ke atas krisis tersebut terutamanya selepas ada pendedahan pada 2006 Dr Mahathir pernah memberikan Salleh dua pilihan; letak jawatan atau dipecat.

Dr Mahathir menuduh Najib menyalahgunakan kuasa yang ada padanya namun menafikan beliau sendiri bertanggungjawab meluaskan kuasa Jabatan Perdana Menteri semasa memegang jawatan.

“Kedaulatan undang-undang bermakna kita tidak salah gunakan undang-undang atau kita ketepikan undang-undang, atau kita ambil tindakan yang bertentangan dengan undang-undang.

“Kalau kita buat macam itu, negara akan tidak stabil… seperti yang dibuat Najib. Najib tunjuk dengan terang orang buat laporan terhadap kesalahan dia, orang itu kena tangkap, kena penjara, kena tahanan, didakwa di mahkamah kononnya menyalahi Sosma.

“Itu bertentangan dengan undang-undang sampai mahkamah pun tak dapat sahkan pertuduhan yang dibuat,” katanya dengan penuh bersemangat.

Berikut petikan wawancara berkenaan:

Soalan: Sebelum ini Tun 22 tahun menjadi ketua kerajaan, memimpin parti Umno, sekarang Tun memimpin Pakatan Harapan. Apa perbezaannya?

Dr Mahathir: Bagi saya perjuangan saya untuk negara. Jadi, apabila Umno sudah tidak lagi berjuang untuk negara, saya pilih untuk bersama dengan parti lawan kerana ternampak jelas parti lawan ini berjuang untuk negara, bukan untuk mana-mana seorang daripada mereka.

Parti Umno sekarang ni berjuang untuk Najib (Razak) sahaja, tak peduli cara apa. Najib curi duit pun tak apa. Mereka masih lagi sokong. Sebab itu saya tak boleh sokong Umno.

Dari segi prinsip perjuangan saya, sama. Iaitu saya berjuang untuk negara. Kalau saya dapati parti lawan lebih tumpu kepada negara saya sokong parti lawan.

Soalan: Dari segi mengurus Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN), yang mana lebih sukar?

Dr Mahathir: Iyalah, BN dulu mudah pasal kita berkuasa. Kita mudah saja cari sokongan dan sebagainya. Tapi dengan Pakatan Harapan ini kita tak berkuasa dan ada empat buah parti yang kekuatannya hampir sama.

Sebaliknya dalam BN dulu, Umno parti dominan. Yang ini (PH) bukan ada parti dominan. Kita lebih kurang sama antara kita. Jadi kita kena ada persetujuan antara empat buah parti untuk sesuatu isu besar.

Soalan: Selepas beberapa bulan Bersatu menyertai Pakatan Harapan dan Tun menjelajah beberapa tempat di seluruh negara, Tun sehingga sekarang masih diminta untuk mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku semasa Tun jadi perdana menteri, untuk memohon maaf. Macam mana Tun nak jelaskan?

Dr Mahathir: Soal mohon maaf tak ada. Perkara lama adalah perkara lama. Kalau kita nak ungkit perkara lama, masing-masing ada pendirian masing-masing dan kita tak boleh bekerjasama.

Yang kita tumpukan sekarang ialah untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib. Untuk itu, kita semua bersetuju. Tak ada yang tak bersetuju. Jadi kita pegang kepada benda-benda dan perjuangan yang kita semua bersetuju.

Yang lama adalah perkara lama. Itu tak ditimbulkan. Sebabnya jika kita timbulkan perkara lama, mungkin kita akan berperang sesama kita.   

Soalan: Katalah Pakatan menang PRU14, Tun jadi perdana menteri ketujuh, apa perkara pertama yang Tun nak buat?

Dr Mahathir: Saya tak akan jadi perdana menteri. (Ketawa). Saya berpendapat…

Soalan: Tun bertandinglah ni?

Dr Mahathir: Saya tak bertanding.  

Soalan: Khabar angin mengatakan Tun akan bertanding di Langkawi.

Dr Mahathir: Banyak orang kata, Najib kerap pi ke Langkawi sebab dia takut saya menang.

Soalan: Banyak desakan untuk Tun jadi perdana menteri balik. Bagaimana?

Dr Mahathir: Ramai orang lahir dan membesar semasa zaman saya jadi perdana menteri. Mereka tahu keadaan sebelum dan keadaan selepas. Jadi mereka hargailah.

Yang tak pernah dapat biasiswa, dapat biasiswa. Yang tak mungkin jadi doktor, boleh jadi doktor. Kita tolong banyak orang, peniaga semua. Orang itu ingat. Jadi dia buat perbandingan dengan keadaan sekarang ini.

Peniaga kalau tak sokong Najib tak boleh pinjam duit daripada bank. Segala kontrak tak bagi. Dulu orang PAS (pun) dapat kontrak masa saya dulu. Saya tak beza (orang) parti (atau) bukan parti. Kalau ada kebolehan, dia dapatlah.

Jadi orang itu boleh banding sebelum, semasa dan selepas. Jadi kalau dia buat perbandingan saya tak fikir dia berpendapat bahawa pemerintahan Najib ini nombor satu.

Soalan: Sanggupkah Tun ambil tanggungjawab berat ini sekali lagi (jadi PM)?

Dr Mahathir: Saya ada banyak idea. Masa saya jadi perdana menteri pun banyak idea itu datang daripada saya. Dan saya jugak ada idea macam mana nak selesaikan masalah kewangan, masalah pentadbiran, masalah demokrasi.

Kalau saya diberi peluang waktu Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) jadi perdana menteri, kalau dia minta pendapat, saya bolehlah tolong dia. Tapi dia tolak sama sekali.  Najib lebih lagi, tolak sama sekali.

Tapi kerajaan yang akan datang ni, kerajaan Pakatan Harapan kita bersama. Sekurang-kurangnya saya boleh bagi pendapat, boleh tolong. Saya ada idea banyak. Kalau tak ada idea, tak boleh memerintah. – 4 Ogos, 2017

Dr Mahathir promises judicial reform on Pakatan... oleh themalaysianinsight

3 comments:

  1. Manusia suka buat apa yang dia fikir terbaik pada masa tersebut sahaja. Memang Mahathir buat macam-macam, ubah sistem mahkamah, sekat kuasa raja-raja. Tapi beliau ada justifikasi beliau sendiri.
    Ianya terbaik pada masa tersebut. Buktinya, kita nikmati kemasyhuran negara semasa pemerintahan beliau.
    Tapi perkara-perkara itu disalahgunakan pada masa sekarang. Memang betullah kata pepatah, "monkey do what monkey see."
    Jika dulu kita menentang Mahathir utk memastikan beliau buat kerja betul, sekarang kita dan Mahathir menentang Najib utk beliau buat kerja betul.

    Kalau nak cari salah, sampai cerita Merong Mahawangsa pun tak habis salah orang yg pernah memerintah bumi Malaysia ini...

    ReplyDelete
  2. matde cakap banyak pusing
    awas ini orang
    berjuang nak jatuhkan 1 orang saja bukang amno
    zaman dia jugak biasiswa mara dibatalkan
    banyak hal matde ni
    dulu zaman dia suka simpan orang yang buat salah
    tujuan nya senang dikawal untuk dapat sokongan
    jangan lupa sejarah matde bila ada kuasa

    ReplyDelete
  3. "Peniaga kalau tak sokong Najib tak boleh pinjam duit daripada bank. Segala kontrak tak bagi. Dulu orang PAS (pun) dapat kontrak masa saya dulu. Saya tak beza (orang) parti (atau) bukan parti. Kalau ada kebolehan, dia dapatlah."

    Pembohongan yg sgt besar!

    ReplyDelete