Saturday, August 5, 2017

‘Saya tak peduli’........betulkah apa yang dicakapkan ni?

Diserang bertubi-tubi, Dr Mahathir jawab ‘saya tak peduli’
Amin Iskandar, Noor Azam Shairi, Bede Hong
Diterbitkan pada 3 Aug 2017 7:00AM 
Dr Mahathir merasakan media arus perdana sudah tidak diterima rakyat dan serangan menggunakan saluran itu membuatkan rakyat marah.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Ogos, 2017.

SEJAK kebelakangan ini, Perdana Menteri Najib Razak dan jentera Umno menghabiskan banyak masa untuk memusnahkan dan memadamkan legasi seorang tokoh.

Akan tetapi tokoh itu sedikit pun tidak hairan malahan terus menjadi tajuk utama berita, baik yang positif mahupun negatif.

Beliau sudah menjangka media arus perdana akan memburuk-burukkannya. Kenyataan Ahmad Zahid Hamidi mengenai keturunannya bagi beliau berpunca daripada “dendam peribadi.”

Apakah Dr Mahathir Mohamad peduli dengan apa yang bekas anak buahnya dan pemimpin Umno katakan tentang beliau?

“Saya tak peduli. Memang ada orang yang benci saya, dia terus benci. Tapi majoriti saya ingat tak (benci),” kata Dr Mahathir dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insight di Putrajaya semalam.

Jika serangan Najib dan sekutunya bertujuan untuk melemahkan semangat dan menutup mulut lelaki berusia 92 tahun itu, mereka mungkin gagal.

Dr Mahathir cukup bersemangat sepanjang wawancara berjalan dan mengakui sokongan orang ramai “melegakan hatinya.”

“Saya pi mana-mana macam di restoran, di Pavilion (Kuala Lumpur), orang datang bersalam. Melayu, Cina, India (datang) bersalam. Dia kata terima kasih. Saya tanya pasal apa terima kasih? Dia kata kerana apa yang (Tun) sudah buat untuk negara ini.

“Orang ini semua, saya tak suruh, saya tak bayar duit. Najib kena bayar duit baru orang datang. Saya tak bayar duit. Orang datang kerana mereka hargai. Itu saja melegakan hati saya. Orang nak kata yang lain tu, dia katalah,” katanya.

Dr Mahathir menyedari serangan terhadapnya meningkat terutamanya selepas dilantik sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) pada 14 Julai lalu.

Sesetengah serangan terhadapnya menggambarkan seolah-olah Dr Mahathir langsung tidak berjasa kepada Malaysia.

“Dia boleh kata (saya tak buat apa-apa untuk negara). Itulah yang saya kata, bukan saya buat (kemudahan pengangkutan awam) tapi pekerja yang buat. Kalau orang kata saya tak buat apa, boleh katalah,” katanya sinis.

“Dia (media) di bawah kawalan Najib. Saya biasa… masa Pak Lah (Abdullah Badawi) dulu pun, Utusan hentam saya. Tapi tak teruk macam hari ni.

“Lepas tu Pak Lah jatuh naik Najib, mereka (Utusan) merasa bebas dan minta maaf kat saya.

“Dia kata kami bukan nak kata macam tu, kami dipaksa. Sekarang ini dipaksa sekali lagi. Lagi teruk daripada itu.”

Selepas “berpisah” dengan Umno, stesen penyiaran berkait kerajaan dan akhbar arus perdana menyerang skandal kewangan yang dikatakan berlaku semasa 22 tahun pemerintahnya.

“Tetapi kenyataannya, orang tak baca dah suratkhabar New StraitsTimes, Utusan Malaysia. TV3 orang maki, tutup terus… dia pergi ke saluran lain.

“Saya tak fikir majoriti rakyat terima. Dia marah lagi ada, yang marah bila Najib kata kononnya saya tak buat apa-apa. Dia (Najib) duduk dalam rumah yang saya buat. Dia kerja dalam pejabat yang saya buat.”

Dr Mahathir bagaimanapun mengalu-alukan serangan terhadapnya kerana ia “sebahagian daripada politik” tetapi membandingkan sekurang-kurangnya musuh beliau sebelum ini mengakui sumbangannya.

Bekas perdana menteri itu juga menangkis dakwaan beliau memperalatkan Umno untuk kepentingan peribadinya.

"Kalau saya guna Umno, apa benda tak baik yang saya buat? Sebenarnya, orang Melayu yang memperalatkan saya,” katanya mengulas dakwaan Zahid minggu lalu.

Dalam ucapannya semasa menutup mesyuarat Umno Bahagian Kelana Jaya minggu lalu, Zahid menuduh Dr Mahathir hanya memperalatkan parti itu semasa 22 tahun pemerintahannya untuk kepentingan peribadi.

Zahid turut menyentuh tentang susur galur keturunan Dr Mahathir dari India dan menyebut nama asalnya sebagai Mahathir a/l Iskandar Kutty.

Semasa pentadbiran Dr Mahathir pada tahun 1998, Zahid ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menyokong Anwar Ibrahim yang dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.

Sebelum ditahan, semasa kemuncak pergolakan antara Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim, Zahid sebagai ketua Pemuda Umno dalam satu ucapan di Pulau Sibu, Johor pernah membangkitkan tentang amalan kronisme dan nepotisme dalam pembahagian projek kerajaan.

Berikut adalah sedutan wawancara tersebut:

Soalan: Adakah Tun terkejut dengan serangan baru-baru ini oleh timbalan perdana menteri?

Dr Mahathir: Saya tau dia ni, anti sayalah. Dia juga antara orang yang cuba nak jatuhkan saya. Dia (Zahid) ingat dia boleh pujuk Najib untuk berhenti lepas tu dia naik jadi perdana menteri.

Saya kata kat dia, kalau pun Najib berhenti, tak semestinya dia naik jadi perdana menteri, kerana Umno ada hak untuk memilih siapa yang nak ganti Najib.

Soalan: Minggu lalu, Zahid mempertikaikan keturunan Tun, mengatakan “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty.” Komen Tun?

Dr Mahathir: Inilah contoh pemimpin berkualiti rendah. Bila berkuasa, mereka akan sokong saudara. Bila saudara tidak berkuasa, dia akan sokong orang lain dan hentam saudara.

(Umno) yang pilih saya, bukan saya yang pilih dia. Saya ahli biasa Umno, saya bukan daripada keturunan elit.

Tetapi saya dipilih Tun Razak. Tun Hussein dinasihatkan Tun Razak (untuk memilih Dr Mahathir sebagai timbalannya). Saya tak boleh pilih Umno, Umno yang pilih saya.

Soalan: Bagaimana Tun boleh tahan dengan serangan demi serangan sekarang?

Dr Mahathir: Daripada dulu, masa saya jadi perdana menteri, orang panggil saya Mahazalim, Mahafiraun. Bagi saya itu politik. You have to demonize your opponents. You tak boleh kata opponent you ini baik. Jadi ini politiklah. Bagi saya, percubaan untuk memburukkan imej saya ini datang daripada musuh. Kalau ada orang nak percaya dia percayalah, tapi majoriti orang tak percaya saya tak buat apa pun (untuk negara).

Ternampak depan mata apa yang saya dah buat. Dia nak kata saya tak buat. Ada bukti, daripada dulu lagi. Majalah Time terbit (laporan tentang saya) "The Great Builder".

Jadi saya build something-lah kot. Sebab itu masuk (majalah)… Time magazine bukan kawan saya. Tapi dia tulis jugak. Banyak laporan lain juga. (Majalah mingguan Time, pada Disember 1996 melalui rencana fokusnya, mengiktiraf Dr Mahathir sebagai "master planner" atas peranannya membangunkan Malaysia.)

Saya tak fikir majoriti rakyat terima. Dia marah lagi ada, yang marah bila Najib kata kononnya saya tak buat apa-apa. Dia (Najib) duduk dalam rumah yang saya buat. Dia kerja dalam pejabat yang saya buat. – 3 Ogos, 2017.

Smear campaign is politics, says Dr Mahathir oleh themalaysianinsight

2 comments:

  1. Users may even be able to create an in depth electronic mail listing and
    generate regular revenue from the 'Thank You” web page.

    ReplyDelete
  2. politik ala kapir boleh kut tabur pitnah
    ada 1 orang najib rahim anak cik nampak diam saja apa pasai tak berani serang matde???

    ReplyDelete