Thursday, August 3, 2017

Kegagalan bekas gabenor dan penolongnya sebabkan kerugian BNM

Dr Mahathir salahkan bekas gabenor dan penolongnya atas kerugian Bank Negara
Amin Iskandar, Noor Azam Shairi, Bede Hong
Diterbitkan pada 3 Aug 2017 7:00AM 
Bank Negara tidak menjangkakan Perjanjian Maastricht yang ditandatangani pada 7 Februari 1992, yang membawa kepada pengenalan matawang tunggal Euro seterusnya menyebabkan kejatuhan matawang pound Britain, kata Dr Mahathir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Ogos, 2017.

BEKAS Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan sebarang salah laku dalam skandal Bank Negara Malaysia yang ditimbulkan semula baru-baru ini. Beliau sebaliknya menyalahkan kerugian berbilion-bilion ringgit itu kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Jaafar Hussein dan bekas penolongnya Nor Mohamed Yakcop.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, Dr Mahathir juga menegaskan beliau hanya tahu lebih sedikit berbanding apa yang dilaporkan kepada Parlimen pada ketika itu mengenai kerugian tersebut, yang dikatakan berlaku antara 1987 dan 1992.

Dr Mahathir merupakan perdana menteri Malaysia sejak 1981 sehingga 2003.

Bekas Penolong Gabenor Murad Khalid mengungkit semula skandal tukaran matawang itu pada Januari lalu apabila mendedahkan bank pusat itu kerugian sehingga AS$10 bilion dalam perdagangan matawang sekitar 1992, melebihi angka kerugian RM9 bilion yang didedahkan bank pusat pada waktu itu.

Atas cadangan pasukan petugas khas yang ditubuhkan disebabkan pendedahan Murad itu, Jabatan Perdana Menteri pada 21 Jun mengumumkan pembentukan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kerugian tersebut.

Menurut Dr Mahathir, selepas mengetahui mengenai kerugian itu, kerajaan menghentikan operasi unit perdagangan matawang BNM yang ketika itu dilaporkan memperdagangkan antara lima hingga 10 kali ganda lebih tinggi berbanding kadar biasa di bank pusat.

Dr Mahathir juga memaklumkan bahawa BNM tidak menjangkakan Perjanjian Maastricht ditandatangani pada 7 Februari 1992, yang membawa kepada pengenalan matawang tunggal Euro seterusnya menyebabkan kejatuhan matawang pound Britain.

Jaafar yang menjadi gabenor BNM sejak 1985, meletakkan jawatan pada 1 April 1994 dan meninggal dunia empat tahun kemudian.

Nor Mohamed kemudiannya menjawat jawatan menteri kewangan kedua dalam pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dan seterusnya dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi) dalam kabinet Perdana Menteri Najib Razak sehingga 2013.

Beliau memberi keterangannya kepada pasukan petugas khas pada Mei.

Pemimpin pembangkang mendakwa penubuhan suruhanjaya siasatan itu bertujuan mengalihkan perhatian umum kepada proses perundangan ketiga yang dimulakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, yang diumumkan seminggu sebelumnya, bagi mendapatkan semula harta bernilai AS$540 juta yang dipercayai dibeli menggunakan wang yang diseleweng daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Berikut adalah petikan wawancara Dr Mahathir dengan The Malaysia Insight:

Soalan: Tentang kerugian mata wang, apa sebenarnya yang jadi?

Dr M: Bank Negara bertanggungjawab atas rizab negara dan rizab negara perlu diuruskan. Bank Negara memutuskan bahawa sebahagian daripada pengurusan itu ialah dengan meniagakan matawang untuk mengekalkan nilai rizab yang kita pegang.

Sudah tentu perdagangan matawang ini satu perniagaan yang sangat menguntungkan. Banyak dana lindungan nilai didagangkan dalam matawang asing. Tetapi pada masa sama ia ada risiko. Kita boleh untung dan kita boleh rugi. Apa yang berlaku ialah kita tidak nampak keputusan mengenai Perjanjian Maastricht.

Mereka rugi dalam pertaruhan itu. Bagaimana mereka rugi, saya tak tahu. Saya diberitahu kononnya mereka meniaga matawang asing tetapi saya tidak diberitahu tentang butiran-butirannya.

S: Bagaimana kerugian berlaku dan bila Tun tahu?

Dr M: Ini satu perniagaan yang pesat dan mereka bangga dengan kemahiran meniagakan matawang. Mereka buka sebuah pejabat di London dan saya dijemput untuk merasmikannya.

Selain daripada itu, saya tidak tahu. Kemudiannya, mereka rugi. Apabila rugi, kerajaan memutuskan untuk menutup pejabat itu dan menghentikan semua perniagaan.

Mereka kemudian perlu menyerahkan laporan (kepada Parlimen) tentang kerugian itu. Itu saja yang kerajaan tahu.

S: Bolehkah Tun sebutkan berapa kerugian itu?

Dr. M: Saya tidak ingat jumlah sebenarnya tetapi saya fikir lebih kurang RM10 bilion. Saya diberitahu.

S: Siapa bertanggungjawab atas kerugian ini?

Dr M: Tan Sri Jaafar. Beliau yang bertanggungjawab. Beliau memulakan bahagian perdagangan matawang ini dan semua itu di Bank Negara dan juga di London dan menugaskan Nor Mohamed untuk mengendalikan urusniaga itu.

S: Bagaimana dengan kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Nur Jazlan Mohamad baru-baru ini yang mengatakan Allahyarham Tan Sri Jaafar dijadikan kambing hitam atas kerugian tersebut oleh kerajaan pada masa itu?

Dr M: Itu pandangan dia kerana itu ayah mertuanya. Beliau tidak akan mengaku. Hakikatnya ialah Tan Sri Jaafar Hussein mengaku beliau sudah buat silap dan beliau, serta Nor Mohamed, letak jawatan selepas itu.

S: Adakah Najib membantah penglibatan Bank Negara dalam perdagangan matawang asing itu, semasa beliau menjadi ahli kabinet Tun?

Dr M: Tak ada. Tak ada bantah apa pun. – 3 Ogos, 2017.

Former BNM governor responsible for forex... oleh themalaysianinsight

Kaitan: Bekas gabenor letak jawatan kerana orang lain, kata Nur Jazlan

1 comment:

  1. It is highly recommended that you review all the data for accuracy.

    ReplyDelete