Monday, June 20, 2016

Hebat sungguh: Duit Lanun pun dilanunnya!

# Aku tersengeh baca tajuk ni........

Monday, 20 June 2016
INI LAGI HEBAT DARIPADA LANUN, DUIT LANUN PUN BERANI DILANUNNYA

Ketika di Malaysia segala-galanya masih misteri mengenai sama ada wang RM12 juta yang berjaya dikumpulkan dibayar atau tidak kepada kumpulan Abu Sayyaf sebagai syarat pembebasan empat rakyat negara kita yang diculik, lanun itu sendiri akhirnya tampil bersuara.

Menurut berita Manila Times, kumpulan Abu Sayyaf dilaporkan marah dan kecewa apabila mengetahui sebanyak P130 juta (RM12 juta) berjaya dikumpulkan sedangkan mereka hanya menerima P100 juta (RM8.8 juta) sahaja.

Jadi, ke mana hilangnya RM3.2 juta lagi? Siapa menyonglapnya?
Memang hebat dan berani siapa yang melakukan ini, mereka ternyata lebih hebat daripada lanun lagi.

Lanun berusaha mendapatkan wang dengan menculik mangsa sebagai tebusan, tetapi mereka ini sebaliknya berupaya melanun wang yang sepatutnya diserahkan kepada lanun.

Tanpa belas kasihan kepada keluarga mangsa yang bersusah payah mengumpulkan wang serta tiada rasa takut kepada lanun Abu Sayyaf, orang tengah inilah lanun yang sebenar-benarnya.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar ini sebelum ini mengatakan tiada wang tebusan dibayar untuk pembebasan empat pekerja kapal yang diculik itu.

Keluarga mangsa bagaimanapun berkeras mengatakan sejumlah RM12 juta telah diserahkan kepada polis cawangan khas sambil memberikan maklumat lengkap mengenai cara bayaran dan juga bank yang terlibat.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi kemudian menjelaskan, wang tersebut bukanlah tebusan yang dibayar kepada Abu Sayyaf, tetapi sebagai sumbangan kepada badan-badan Islam yang tidak dinamakan di Filipina.

Jawapan Zahid Hamidi menimbulkan reaksi tidak senang banyak pihak kerana selain badan Islam itu dirahsiakan namanya, persoalan juga timbul bahawa jika tiada tebusan yang dibayar, bukankah wang itu sepatutnya dikembalikan dan siapa yang memberi hak untuk ia diserahkan kepada badan-badan Islam tersebut?

Sejak itu sehingga hari ini, Zahid terus diam seribu bahasa. Tiada lagi penjelasan lanjut daripadanya mengenai wang RM12 juta itu.
Khalid kemudian tampil lagi mengatakan tiada anggota polis atau cawangan khas yang terlibat, sebaliknya keluarga mangsa menyerahkan wang tersebut kepada pihak ketiga.

Dengan timbulnya pendedahan bahawa sebanyak  RM8.8 juta telah dibayar kepada kumpulan penculik, ia hampir pasti ada wang tebusan telah dibayar.

Cuma, apakah penculikan demi penculikan yang berlaku di Sabah selama ini sebenarnya merupakan sejenis perniagaan yang amat menguntungkan bagi pihak-pihak tertentu?

Selain lanun Abu Sayyaf yang memperolehi wang, adakah lanun-lanun di darat juga turut mengutip labanya?

Apakah selepas mengetahui wang mereka turut dilanun, kumpulan Abu Sayyaf akan menjadi lebih agresif lagi melakukan aktiviti melanun mereka selepas ini?

Selain membanteras lanun dan memastikan Sabah benar-benar selamat, satu lagi tugas pihak berkuasa nampaknya ialah mengenalpasti pihak ketiga yang sebenarnya lebih merbahaya dan jijik daripada lanun sebenar yang berada di lautan. (SH 20/06/2016) - sumber

# cer baca juga apa tertera di OutSyed The Box

No comments:

Post a Comment