Wednesday, June 22, 2016

Pakatan Harapan tidak perlu melayan retorik murahan Pas!

Pasca PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar : Mengapa PH wajib mengelak "duri hijau" yang ditabur BN
21 Jun 2016 | MOHD ZULKHAIRI AB AZIZ
Pertembungan berterusan

Amanah harus berbangga dengan pencapaian yang diperoleh dalam pertandingan pertama di Semenanjung (Sg Besar dan Kuala Kangsar). Sebaliknya Pas perlu sedar bahawa setelah berpuluh tahun dengan ratusan bilangan cawangan yang terdapat di kedua-dua kawasan hanya mampu membuahkan tidak lebih 30% daripada jumlah keseluruhan undi. Ini merupakan pencapaian terburuk Pas di kedua-dua kawasan yang ditandingi. Pas gagal mendapatkan undi kaum Cina akan tetapi Amanah semakin menempa nama dan meningkat selaras dengan logo Amanah yang diperkenalkan hari demi hari. Ini merupakan petunjuk harapan buat Amanah tetapi malapetaka buat Pas.

Analisis mengikut kaum yang digunapakai Pas adalah petunjuk bahawa Pas dalam keadaan tertekan untuk menenangkan ahlinya yang semakin tidak selesa dengan kepimpinannya. Pas secara simbolik mengakui bahawa Pas tidak berdaya untuk menang sendirian sebaliknya menggunakan analisis sedemikian untuk mendapatkan ‘position of strength’ untuk berunding dengan mana-mana pihak termasuklah mungkin dengan Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).

Pas cuba merumuskan bahawa tanpa Pas, PH akan tersungkur tanpa undi Melayu. Apa yang tidak diperincikan bahawa keputusan Sg. Besar tidak mewakili kawasan bandar dan pinggir bandar serta sokongan Melayu kepada PH tidak static sebaliknya dinamik dan akan bertambah secara terus selaras dengan pengenalan parti baru Amanah. Pas terpaksa menggunakan senjata hudud sebagai senjata politik terakhir, yang sepatutnya menjadi agenda ummah keseluruhannya, namun begitu masih belum dapat menambah bilangan undi Melayu. Ini petanda buruk bahawa undi Melayu PAS juga akan merosot hari demi hari sementara undi Cina tidak akan bertambah.

Pas cuba membuat persepsi dengan analisa mengikut kaum bahawa Amanah tidak ada nilai tambah langsung dalam PH melainkan hanya Pas sahaja yang mampu memberikan nilai tambah kepada PH.

Pas cuba mendapatkan kelebihan dalam perundingan dengan PH jika berlaku untuk menekan PKR agar menyingkirkan Amanah. Apa yang tidak dijelaskan juga dalam analisa mengikut kaum ini adalah, jika PKR bersama Pas, maka undi Cina, India dan sebahagian undi Melayu yang merupakan undi asas PKR akan juga hilang akibat daripada pendirian ekstrim PAS. Adakah berbaloi untuk hilang undi asas semata-mata mengejar bahagian undi Pas yang belum tentu ada. Bahagian undi Pas pula tidak boleh dipercayai dengan sejarah pengundi Pas yang sangat anti parti selain Pas seperti yang berlaku di Parlimen Tanah Merah (PKR) dan DUN dibawahnya (Pas) pada PRU 13 yang lalu. Pengundi tegar Pas tidak akan mengundi parti selain Pas walaupun parti tersebut sekutu kepada Pas. Ini bagi memastikan Pas sentiasa ‘superior’ berbanding parti sekutu yang lain.

Namun begitu, kehadiran Amanah tidak akan menghilangkan undi asas mana-mana parti sekutu sebaliknya potensi untuk penambahan undi sangat besar. Rakan kongsi yang baik dan boleh dipercayai adalah kunci utama kenapa Pas sama sekali tidak mampu menggantikan Amanah dalam apa keadaan sekalipun.

Kesimpulannya, Pakatan Harapan tidak perlu lagi melayan retorik murahan Pas yang hanya membantutkan harapan rakyat untuk melihat perubahan kerajaan persekutuan. Masa masih belum terlambat untuk terus meningkatkan muafakat menerusi penubuhan Sekretariat PH di semua negeri menjelang PRU-14.

Mohd Zulkhairi Ab Aziz adalah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara 
Negeri Melaka.

No comments:

Post a Comment