Sunday, June 26, 2016

Penganalisis: Pola undi PRU14 tidak akan berubah

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR
25 JUN 2016
Profesor Dr Jayum Jawan

PUTRAJAYA - Pola pengundian kaum Melayu dan Cina di Semenanjung Malaysia tidak akan berubah dalam PRU14.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Jayum Jawan berkata, seperti PRU13 yang lalu, majoriti undi Melayu akan tetap menjadi milik Umno manakala undi Cina berpihak kepada pembangkang.

“Separuh undi akan pergi kepada BN dan separuh lagi pembangkang. 80 peratus undi Cina akan pergi kepada pembangkang dan 20 peratus lagi untuk BN.

“Manakala 60 peratus undi Melayu masih dengan Umno dan baki 40 peratus lagi pula ‘berterabur’ kepada Pas, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah). Itu hakikatnya dan saya tidak lihat akan ada perubahan dalam masa terdekat, “ katanya dalam perbincangan meja bulat bertajuk ‘Transformasi Pengundi Malaysia Menjelang PRU14’ anjuran MPN, semalam.

Menurut beliau, faktor yang akan menjadi penentu sama ada BN akan kembali memerintah ialah undi dari rakyat Sarawak.

“Kesedaran rakyat di Sarawak sudah meningkat namun belum diterjemahkan lagi kepada undi. Sebagai contoh, ada golongan tertentu di Sarawak yang marah kepada BN dalam sesuatu isu namun akhirnya apabila mengundi tetap juga pilih BN.

“Jika BN menang, ia bukan kerana parti itu kuat tetapi lebih kepada kelemahan parti pembangkang yang tidak teratur. Ini termasuklah pemilihan pemimpin pembangkang yang tidak terlalu kuat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, strategi pembangkang yang berkempen menggunakan retorik dan serangan peribadi terhadap lawan tidak lagi sesuai digunakan di negara ini.

“Cerita yang memburuk-burukkan lawan ini rakyat dah jelak sebab cerita sebegitu tidak boleh serap kesusahan mereka. Sepatutnya pembangkang perlu cerita apa yang mereka boleh tawarkan untuk bantu rakyat.

“Berbeza dengan BN yang gunakan kematangan politik dan tumpu kepada apa diperlukan masyarakat. Misalnya, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang membolehkan rakyat merasai nikmatnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment