ABDUL RAHMAN OSMAN
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar.

Kata beliau, politik kebencian yang diamalkan oleh DAP jika dijalankan secara berterusan dibimbangi boleh menggugat keamanan dan keselamatan negara.

“Kita dapat lihat DAP begitu menentang pelaksanaan hukum hudud dan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah (Pindaan) 2016. Prinsip mereka jelas membenci Islam dan berdosa besar bagi umat Islam bekerjasama de­ngan mereka.

“Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam untuk berbaik-baik dengan golongan bukan Islam. Namun jika mereka yang mahu menentang Islam, kita wajib memeranginya,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Utusan Malaysia hari ini me­laporkan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Moha­mad sanggup menggadaikan prinsipnya sendiri apabila bersekongkol dengan DAP yang nyata menjadi musuh Islam.

Kata Haron, tindakan Dr. Mahathir mencabuli prinsip yang dipegangnya selama ini akan me­ngundang banyak perkara negatif.

Sehubungan itu, Abdul Rahman meminta Dr. Mahathir segera meninggalkan DAP dan kembali ke landasan yang benar apatah lagi tindakan beliau menjurus kepada usaha untuk menjatuhkan sebuah negara Islam.

“Pas dahulu buat kesilapan dengan bersekongkol dengan DAP sebelum mereka menyedari bahawa parti berkenaan memusuhi Islam. Saya harap Dr. Mahathir perbanyakkan istighfar dan hentikan jalin kerjasama dengan DAP,” katanya.


pengikut Harun Din dan Hadi ker ni?
adakah dia dah semak dari segenap sudut sebelum menghukum?
yang peliknya......asal saja orang agama, sikit-sikit menghoyan........alih-alih semua salah orang tanpa selidik mendalam, tanpa menilai dan yang teruknya tanpa memahami sebab musabab.  Sebelum berfikir lagi tanda negatif sudah pun diletakkan kat situ. Diri sendiri yang bengap tak sedar?

Bukan aku nak bela sapa-sapa tapi sebagai ilmuan Islam, setiap patah perkataan, setiap fatwa yang dikeluarkan mestilah difikir dan dikaji dulu. Barulah kata-kata mereka dihormati. 

Ini tergopoh gapah mengeluarkan pandangan atau fatwa ke apa........menjadikan Islam yang dipandang buruk kerana keluar dari mulut berotak serong separuh masak. Nampaknya pemimpin PAS dan Mufti sama jer tarafnya.

Macam mana mahu dihormati?
Nak tanya, dari hasil usaha geng-geng yang tidak berhikmah ni berapa orang kafir terpikat dan masuk Islam setiap tahun?


Komponen BN juga tolak hudud, mengapa hanya DAP kafir harbi?
24 Jun 2016 | MALAYSIA DATELINE
Zairil Khir Johari

Setelah digelar kafir harbi oleh Mufti Pahang, DAP mempersoalkan mengapa ia hanya ditujukan kepada parti itu sedangkan 'pelaksanaan hukum hudud versi Pas' turut ditentang lebih keras oleh Presiden PBB, Tan Sri Adenan Satem, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan parti komponen BN lain termasuk Gerakan, MIC dan MCA?

Sehubungan itu DAP sangat kesal dengan kenyataan Mufti Pahang, Dato’ Seri Dr Abdul Rahman Osman yang berkata bahawa "hukum bagi mana-mana umat Islam yang bekerjasama atau bersekongkol dengan DAP adalah haram serta berdosa besar" dan menyifatkan DAP sebagai "kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam".

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, amat dukacita dengan tindakan Abdul Rahman yang sanggup mencemarkan kedudukannya sebagai mufti di bulan Ramadan dengan mengeluarkan tohmahan yang tidak berasas dan amat merbahaya.

Malah tambah Zairil, kenyataan yang melampau dan melulu itu seolah-olah mengiyakan ugutan keganasan terhadap warga dan pihak berkuasa Malaysia yang dibuat oleh militan Daesh (IS).

"Justeru, adakah Abdul Rahman ingin bertanggungjawab sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini terhadap pemimpin atau ahli DAP akibat tindak balas mereka yang terpedaya dengan kenyataan beliau?" soal beliau.

Zairil menambah, penyasaran DAP atas sebab 'menentang pelaksanaan hukum hudud' jelas membuktikan kenyataan Abdul Rahman berunsur politik.

Ini kerana katanya, pelaksanaan hukum hudud versi Pas bukan hanya dikritik DAP, malah ditentang lebih keras oleh sekutu BN termasuk Presiden PBB merangkap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.

"Demikian juga dengan parti komponen BN lain termasuk Gerakan, MIC dan MCA yang jauh lebih lantang menolak pelaksanaan hudud. Mengapa tiada sebarang kecaman dan ugutan untuk diperangi terhadap mereka ini?


"Malah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pun melihat hudud yang dijuarai Pas sebagai taktik politik semata-mata, dan tidak melihat adanya keperluan melaksanakan undang-undang ini melainkan hanya untuk mengalihkan perhatian rakyat. Apakah beliau juga wajib diperangi?" soal Zairil.