Kes peras ugut: Polis sahkan Sanjeevan ditahan
Polis sahkan suspek yang ditangkap adalah Datuk Seri Sanjeevan Ramakrishnan, pengerusi sebuah badan pemantau jenayah
PETALING JAYA: Polis sahkan Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan sebagai pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang ditahan malam semalam kerana disyaki menjalankan ugutan jenayah dan pemerasan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata pengerusi badan pemantau jenayah MyWatch itu ditahan sepasukan polis dari Unit Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7).
“Polis menyeru mana-mana pihak yang pernah diugut oleh suspek, untuk tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” kata Mohmad dalam kenyataannya petang tadi.
Sanjeevan ditangkap bersama pemandunya di Plaza Tol Nilai sekitar jam 10.50 malam. Sejumlah RM41,080 dan lima telefon bimbit dirampas semasa tangkapan.
Kedua-dua suspek ditangkap dibawah Seksyen 506 serta 385 Kanun Keseksaan dan direman sehingga Jumaat.
Mohmad memaklumkan tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang pengadu yang tidak dinamakan, bahawa Sanjeevan mengugut akan menyiarkan fitnah mengenainya jika tidak membayar wang perlindungan sebanyak RM25,000.
“Tangkapan dilaksanakan sebaik sahaja pengadu berjumpa dan menyerahkan wang tunai tersebut kepada suspek di dalam sebuah kereta,” kata Mohmad.
Dalam laporan sebelum ini, sumber sebuah laman portal memberitahu Sanjeevan dikesan membuat peras ugut judi haram di seluruh negara antaranya Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Sumber mendakwa pengadu seorang pengusaha judi haram berusia 38 tahun, dan diperas supaya membayar RM25,000 sebulan.
Sumber turut mendakwa Sanjeevan memperoleh kira-kira RM300,000 setiap bulan sejak beberapa tahun hasil peras ugut.
No comments:
Post a Comment