Monday, June 27, 2016

Protes pemecatan 2M: GKCM bakar buku Perlembagaan UMNO

Bekas ketua cawangan Umno: Buku ini sudah tak berguna

  | June 26, 2016
Muhyiddin dan Mukhriz tampil tegas menentang kepimpinan parti dan berkata akan mengumumkan langkah seterusnya.
Rushdan-Mohamedumno
PETALING JAYA: Kumpulan bekas ketua cawangan Umno hari ini bertindak membakar buku Perlembagaan Umno bagi menunjukkan kemarahan mereka terhadap pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada parti itu.
Protes dilakukan Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) sebaik sahaja selesai sidang media bersama Muhyiddin dan Mukhriz di perkarangan Rumah Alumni Universiti Malaya (UM) petang tadi.
“Buku ini sudah tidak berguna lagi, tidak digunakan (oleh pimpinan tertinggi). Maka hari ini GKCM akan membakar buku Perlembagaan Umno,” kata Naib Presiden GKCM Rushdan Mohamed.
Jumaat lepas, Majlis Tertinggi Umno sebulat suara mendapati Muhyiddin dan Mukhriz melanggar disiplin dengan bersekongkol dengan pembangkang menyerang kepimpinan parti.
Sidang media hari ini merupakan yang pertama menampilkan kedua-dua tokoh itu, yang kekal tegas menentang kepimpinan parti, dan mempertimbangkan “platform politik baru” pada masa akan datang.
“Saya dan Mukhriz berpandangan sama, kami akan mengambil masa untuk menentukan hala tuju sebab kini. Kami sudah tiada platform politik,” kata Muhyiddin.
“Kita akan berbincang dengan tokoh, sahabat handai dan mereka yang berfikiran sama untuk menentukan pendekatan yang perlu diambil.
“Ramai sudah buat tawaran tidak rasmi. Perlu teliti dengan mendalam sama ada tubuh platform politik baru atau sertai sedia ada. Ia bukan sekadar tubuh platform, tetapi apa matlamat dan dasarnya,” kata bekas timbalan perdana menteri itu.
Ditanya bila keputusan akan dibuat memandangkan PRU ke-14 tidak lama lagi, beliau menjawab ia akan dibuat pada masa yang sesuai.
“Perlu teliti secara mendalam. Ini adalah antara keputusan terbesar yang bakal dibuat dalam hidup kami. Saya faham ini bukan sekadar soal diri saya tetapi negara,” katanya lagi.
Mukhriz pula menyifatkan beliau tidak terkejut dan sudah menjangkakan pemecatan mereka, namun tetap kecewa kerana baginya, tindakan mereka selama ini bukannya mengkhianati Umno.
Malah beliau membandingkan tindakan pemecatannya dengan cubaan bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said membawa usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Mohd Razif Abdul Rahman.
“Tindakan itu lebih serius kerana mampu menggugat kerajaan Terengganu yang hanya ada majoriti dua kerusi. Tetapi sampai hari ini tidak ada satu pun kenyataan yang menunjukkan tindakan akan diambil. Nampak ada unsur hipokrit.
“Kalau benar saya pengkhianat, tentulah saya sudah cadang bubar DUN Kedah (ketika ingin disingkirkan) dan kita tahu BN akan kalah,” katanya lagi, yang kemudian berkata tidak menyesal kerana tidak melakukannya.
Ingatan kepada Umno Kedah
Dalam pada itu, Mukhriz yang juga bekas menteri besar Kedah memberi peringatan kepada Umno Kedah yang ia bakal kehilangan negeri kepada PAS akibat “pakatan peringkat tertinggi” Umno-PAS.
“Umno Kedah perlu siap sedia menyerahkan kerajaan Negeri kepad PAS. Seolah-olah ada pakatan antara Umno dan PAS di peringkat tertinggi, dan sudah nampak menjurus ke arah itu,” katanya lagi yang kemudian menjelaskan ia berdasarkan jangkaannya sahaja.
“Tentunya sudah ada persetujuan. Mereka cuba menyatukan PAS dan Umno. Saya merasakan Kelantan, Terengganu dan Kedah akan diberikan kepada PAS (untuk tujuan itu),” katanya ketika ditemui pemberita kemudiannya.

No comments:

Post a Comment