Tuesday, February 13, 2018

"keldai politik": Penyokong marah, UMNO kekeringan isu dan bagaimana krisis bermula

Penyokong The Red Giants kecewa dijadikan ‘keldai politik’ BN
Mohd Farhan Darwis · Diterbitkan pada 13 Feb 2018 7:00AM
Barisan penyokong The Red Giants tidak rela menjadi tunggangan parti yang mahu mempolitikkan isu hak pasukan bola sepak Selangor dengan menggunakan Stadium Shah Alam. – Gambar Facebook, 13 Februari, 2018

PENYOKONG The Red Giants kecewa kerana melihat Barisan Nasional (BN) menangguk di air keruh dalam isu gelanggang tuan rumah bagi pasukan bola sepak kesayangan mereka.

Barisan penyokong itu tidak rela menjadi tunggangan parti yang mahu mempolitikkan isu hak pasukan bola sepak Selangor menggunakan Stadium Shah Alam.

Jurucakap Badan Bertindak Penyokong Selangor, Mohd Firdaus Abdul Mutalib, mereka kecewa kerana digelar "keldai politik", walhal merekalah yang lantang memperjuangkan isu penggunakan stadium berkenaan.

"Apa yang kami nampak parti politik hendak ambil kesempatan, kalau kata hendak tolong sepatutnya dari dulu (bantu).

"Kami suka jika ada yang hendak tolong dan dapat gunakan stadium, tapi bila jadi begini kami sampai dilabel keldai politik,"  katanya.

Beliau mengulas janji daripada Perdana Menteri Najib Razak dan Pengerusi BN Selangor Noh Omar semalam untuk mengembalikan hak The Red Giants menggunakan stadium terbabit.

Bagi barisan penyokong tersebut, janji tersebut tidak lebih sekadar usaha menangguk di air keruh.

"Kita elakkan daripada unsur politik, tetapi bila perdana menteri, orang politik seperti Noh Omar mula mengeluarkan kenyataan 'jika BN menang Selangor dapat guna Stadium Shah Alam', ia sudah dipolitikkan," katanya.

Menurut Firdaus, badan berkenaan juga mengumpul 15,000 tandangan daripada penyokong mereka di seluruh Selangor bagi menyatakan sokongan untuk pasukan Gergasi Merah menggunakan stadium terbabit.

Sekiranya sokongan puluhan ribu penyokong tegar The Red Giants diterjemah kepada undi pilihan raya, ia pastinya memberi kesan besar kepada parti bertanding.

Itulah yang diharapkan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Abdul Rauf Ahmad. Beliau melihat, situasi semasa dalam isu tersebut memberi kelebihan kepada BN dalam PRU14.

"Kita dalam persatuan bola sepak seboleh mungkin untuk menjadi neutral demi penyokong, rata-rata penyokong yang kami kenali kata kali ini mahu tukar (kerajaan), tapi saya kata undi itu hak masing-masing," katanya.

Jelasnya, isu berhubung penggunaan stadium berkenaan bermula sejak 2016, apabila Menteri Besar Mohamed Azmin Ali memecat ketua jurulatih ketika itu, Zainal Abidin Hassan serta-merta susulan prestasi hambar Selangor dalam saingan Liga Malaysia musim itu.

Abdul Rauf berkata, keputusan itu dibuat Azmin dan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, yang juga pengurus pasukan Selangor ketika itu.

Rauf mendakwa, keputusan berkenaan mencetus kontroversi kerana dibuat tanpa sebarang perbincangan bersama barisan exco FAS.

Beliau mendakwa, ketika ditegur barisan exco dalam mesyuarat di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, Azmin berang dan bertindak menyekat bantuan kewangan untuk FAS apabila barisan exco meninggalkan mesyuarat.

"Dalam mesyuarat itu kita tegur, kenapa tak berbincang dengan exco sebelum buat keputusan.

"Tetapi beliau berang dan kata FAS tidak akan terima sesen pun daripada kerajaan negeri, sekali gus semua barisan exco bertindak meninggalkan mesyuarat ketika itu," katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau mendakwa, tindakan itu menunjukkan menteri besar cuba campur tangan dalam aktiviti persatuan.

Selain enggan memberikan kebenaran untuk menggunakan stadium, Azmin juga dakwanya tidak menyediakan kawasan latihan untuk pasukan berkenaan. 

Namun bagi kerajaan negeri krisis FAS itu tercetus apabila persatuan bertindak memboikot dan enggan melepaskan beberapa pemain Selangor menyertai Pilihan Selangor, pada Piala Sultan Selangor 2017

Menurut exco Amirudin, tindakan itu tidak menunjukkan taat setia dan hormat kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tambahnya, hal itu amat mendukacitakan kerana FAS harus sedar bahawa kejohanan berkenaan mempunyai nostalgia tersendiri kepada Sultan Selangor.

"Saya sudah mengeluarkan kenyataan panjang berhubung isu ini, dan sangat jelas isu ini berpanjangan kerana terdapat sebahagian mereka dalam persatuan yang ingin mempolitikkannya," kata Amirudin kepada The Malaysian Insight. – 13 Februari, 2018.

1 comment:

  1. isu ini perlu segera diselesaikan kerajaan selangor..jgn kerana stadium undi pakatan harapan berkurangan atau hilang penguasaan di selangor

    ReplyDelete