Friday, May 5, 2017

Luput perjanjian IWH-CREC: Isy......macam-macam pening jadinya!

Luput perjanjian IWH-CREC: Apa status tanah Kem Tentera Sungai Besi?
05 Mei 2017 | MALAYSIA DATELINE
Datuk Mahfuz Omar

Kerajaan dan Kementerian Kewangan harus menjelaskan status tanah Kem Tentera Sungai Besi seluas 486 ekar untuk projek 'Bandar Malaysia' yang dibatalkan perjanjian penjualan saham yang telah dimeterai pada 31 Disember 2015 itu.

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan perlu menjelaskan perjanjian sebelum ini telah dibuat di mana persetujuan kerajaan menjual ekuiti 'Bandar Malaysia' dengan pembayaran hanya akan dibayar oleh CREC syarikat dari China pada tahun 2022.

"Pembangunan asal 'Bandar Malaysia' pada awalnya di bawah 1MDB, kemudiannya tanah berkenaan telah dipulangkan semula kepada Kementerian Kewangan.

"Ini telah dibangkitkan oleh bekas menteri kewangan II Datuk Husni Hanadzlah dalam perbahasan Bajet 2017 yang dibentangnya pada 2016 lalu.

"1MDB yang di kepalai oleh PM Najib dengan semua perkara perlu dirujuk kepada beliau sebagai Perdana Menteri sebelum ini tetapi kini kuasa merujuk itu dipindahkan pula kepada Menteri Kewangan menggambar pentadbiran PM Najib telah melakukan perjanjian yang paling 'mangkar' (bodoh) iaitu barangan dijual sekarang dan bayaran hanya akan kita perolehi pada tahun 2022," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mahfuz lagi,berdasarkan pelancaran projek 'Bandar Malaysia' yang telah dilancarkan PM Najib sebelum ini,pastinya pelan pembangunan projek tersebut telah pun diluluskan.

Difahamkan ICSB telah membayar sejumlah RM150 juta sebagai pembida berjaya pada tahun 2015 dengan ICSB akan memiliki sejumlah 60 peratus daripada 'Bandar Malaysia' dengan nilai sejumlah RM7.41 billion, dimana ia telah menilaikan projek 'Bandar Malaysia' seluas 486 ekar tersebut sebanyak RM12.35 billion.

"Adakah tanah tersebut telah dipindah milik kepada konsortium ICSB?

"Adakah 1MDB yang dikuasai oleh PM Najib hanya memberikan 'wakil kuasa' (Power Anttorney) kepada konsortium ICSB?," soalnya.

Menurut Mahfuz jika Kedua-dua keadaan itu berlaku sama ada dipindah milik atau wakil kuasa ianya membolehkan pihak konsortium mencagar (gadai) tanah tersebut kepada bank untuk membolehkan mereka mendapat pinjaman wang bagi pembiayaan projek 'Bandar Malaysia'.

Ini ujarnya pernah berlaku kepada projek pembinaan komplek 7 Briged Kem Tentera Darat Skudai yang dibangunkan di tanah seluas 222.415 hektar melalui penyerahan tanah hak milik kerajaan (land swap) kepada kontraktor.

"Kerajaan telah memindah milik tanah Kem Majidee dan Kem Tebrau seluas 155 hektar kepada kontraktor syarikat Kausar Corporation Sdn Bhd milik Bumiputera Melayu dan kontraktar tersebut kemudiannya telah cagarkan (gadai) tanah tersebut kepada Malaysian Building Society Berhad (MBSB) bagi tujuan mendapatkan pinjaman berjumlah RM465 juta untuk membiayai pembinaan kompleks 7 Briged, Kem Tentera Darat Skudai," terangnya.

Bagaimanapun Mahfuz menjelaskan, projek tersebut terbengkalai hingga sekarang dan kontraktor telah ditamatkan dan tanah tersebut telah menjadi milik MBSB serta tidak diketahui apa status tanah di kedua-dua kem tersebut.

"Sepatutnya dengan logik akal,tanah tersebut di pindah milik selepas projek siap.

"Apakah 'pisang akan berbuah dua kali' kepada tanah di tapak kem Sungai Besi ('Bandar Malaysia') yang sangat strategik akan digadai oleh syarikat dari negara China dan kita telah mengorbankan strategi pertahanan hadapan negara dengan menjual kem dan lapangan terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi.

"Kerajaan perlu memberi jawapan kepada soalan Husni yang masih tidak dijawab dan persoalan hari ini ekoran pembatalan perjanjian dengan konsortium ICSB yang terdiri daripada Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Cooperation (CREC) yang saya bangkitkan ini," ujarnya.

Pada Rabu TRX City Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan Perjanjian Jualan Saham yang dimeterai pada 31 Disember 2015 dengan konsortium ICSB itu kini telah luput kerana IwH-CREC gagal membuat pembayaran.

Hasilnya, perjanjian penjualan saham antara kedua-dua pihak adalah terbatal dan tidak lagi sah berkuatkuasa serta merta.

Perjanjian Bandar Malaysia sebelum ini disebut-sebut sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi 1MDB bagi tujuan mengurangkan hutang firma pelaburan negara itu.

Tanah prima atau utama seluas 486 ekar di Sungai Besi, atau Bandar Malaysia, telah pun dipindahkan dan diletakkan di bawah kementerian kewangan.

TRX City berkata kerajaan kini memutuskan untuk membatalkan rancangan untuk menjual tanah berkenaan.
Lokasi kem dan lapangan terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi yang dicadangkan menjadi Bandar Malaysia.

No comments:

Post a Comment