Friday, May 12, 2017

Ular......

Friday, 12 May 2017
KEPUTUSAN MAJLIS SYURA PAS YANG PELIK DAN KELAKAR....

Tentunya semua orang sudah sedia maklum dengan keputusan Majlis Syura Pas semalam yang secara sah memutuskan hubungan parti itu dengan PKR.

Berikut adalah keputusan penuh berkenaan:-

Majlis Syura Ulamak yang bersidang pada hari ini, 14 Sya’ban 1438 bersamaan 11 Mei 2017 memutuskan bahawa:

1. Dengan merujuk kepada begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat Tahaluf Siyaasi menurut pertimbangan hukum Syarak dan Akhlak Islam, maka hubungan politik Tahaaluf Siyaasi antara PAS dan PKR telah terbatal.

Antara perlanggaran tersebut ialah;

a. Tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh PAS seperti RUU 355.

b. Melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan PAS dan membuat tuduhan-tuduhan palsu yang merosakkan imej PAS.

c. Khianat dalam hubungan politik dengan PAS antaranya dengan bekerjasama dengan pihak-pihak yang mahu menjatuhkan Kerajaan Negeri Kelantan dan menentang PAS dalam Pilihanraya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

2. Sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran Negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat.

‘SEJAHTERA BERSAMA ISLAM’

Dato Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh
Setiusaha, 
Majlis Syura Ulamak Pas

11 Mei 2017/14 Sya’ban 1438 Hijrah.
Bagaimanapun, jika diperhalusi keputusan itu adalah pelik, malah kelakar bagi sebuah parti yang berdiri atas nama Islam kerana Pas hanya memutuskan kerjasama berbentuk politik saja dengan PKR, tetapi tidak berkaitan kedudukan dalam kerajaan negeri Selangor.

Untuk kedudukan dalam kerajaan Selangor yang melibatkan 3 Exco serta dianggarkan kira-kira 5,000 ahli Pas yang turut menerima pelbagai jawatan dan gaji, Majlis Syura seperti dalam keputusan nombor 2 menyebut, "urusan pentadbiran Negeri Selangor diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat."

Bukankah selama ini kita diberitahu, selepas muktamar membuat sesuatu keputusan, pihak yang paling tinggi untuk memberi kata putus ialah Majlis Syura Pas?

Tetapi, kenapa dalam soal kedudukan dalam kerajaan negeri yang melibatkan 3 Exco dan kira-kira 5,000 penerima gaji daripada kerajaan negeri, keputusan akhir diserahkan balik kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diketuai oleh Hadi Awang sendiri untuk membuat keputusan?

Mengapa Majlis Syura tidak membuat keputusan semuanya sekali, tanpa ada kecuali-kecuali atau diserahkan balik kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat?

Bukankah muktamar yang lebih tinggi daripada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sudah sebulat suara setuju putus hubungan dengan PKR?

Siapa yang paling tinggi sebenarnya dalam Pas - Majlis Syura, muktamar atau Jawatankuas Kerja Pusat?

Pelik dan kelakar yang lain dalam keputusan Majlis Syura itu bagaimana Pas boleh mengatakan PKR menentang Akta 355 sedangkan ia belum dibahas dan diundi lagi di Parlimen?

Atas dasar apa ia dikata demikian, sekadar andaian atau Majlis Syura ada kelebihan "kasyaf" iaitu mampu melihat sesuatu yang belum lagi berlaku?

Tidak lama selepas keputusan Majlis Syura itu, Pas Selangor turut mengeluarkan kenyataan yang antaranya berbunyi, "oleh hal yang demikian PAS Selangor tidak lagi akan terlibat dalam sebarang kerjasama dan rundingan politik dengan PKR dan sebaliknya akan mengukuhkan kerjasama dalam Gagasan Sejahtera khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Walau bagaimanapun demi menghormati mandat dan kepercayaan rakyat khasnya dalam PRU ke-13 lalu maka PAS Selangor akan kekal sebagai sebahagian komponan dalam kerajaan negeri sehinggalah tamat penggalnya nant."

Memang pelik dan kelakar, selepas Majlis Syura membuat keputusan yang pelik dan kelakar, Pas Selangor juga nampaknya hampir sama nada  kerana sementara hubungan politik diputuskan, mereka bertegas kedudukan dalam kerajaan negeri akan terus dikekalkan.

Bukankah kedudukan dalam kerajaan terbina melalui hubungan politik dan bila hubungan itu putus, silaturrahim dalam kerajaan juga turut terputus?

Bagaimana Pas boleh duduk dalam kerajaan negeri, tetapi  tidak mempunyai sebarang hubungan politik?

Bagaimana dengan segala kemudahan yang Pas terima atas nama kerajaan negeri, tetapi digunakan untuk politik?

Dalam hal ini, bila pula Jawatankuasa Kerja Pas Pusat mahu bermesyuarat untuk memutuskan kedudukannya dalam kerajaan negeri Selangor?

Apakah keputusannya nanti atau ia akan sama seperti pendirian Pas Selangor juga?

Oppps....sebelum terlupa....adakah menantu Hadi Awang yang dikenali sebagai Din Ayam masih berkhidmat dan menerima gaji dengan sebuah GLC kerajaan negeri sekarang ini? (ShahbudinHusin 12/05/2017).

Posted by Shahbudin Husin at 08:17 

3 comments:

  1. Orang Ganu kata kerana:
    Tis, tis, tis, tis, tis... lebai pun boleh bertukar arah. Kah kah kah

    Tis tu pitis (wang) laaa!!

    ReplyDelete
  2. Mat Sabu keluar parti PAS dan terus keluar dari exco letak semua jawatan dalam Kerajaan Pulau Pinang. Rasanya Mat Sabu dah melepas elaun, imbuhan, kemudahan dan keistimewaan yg diberikan oleh Kerajaan Pulau pinang.. Kalau Mat Sabu di Selangor, agaknya dia tidak keluar kot

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau kau main agak2 Mat Sabu di Selangor tak keluar kot, aku pun boleh cakap agak2 hadi bersekongkol dengan penyamun duit rakyat buat filem lucah sebab dah termakan babi kot

      Sebab tu lah terpilih nama PIGS!!!

      Delete