Tuesday, May 30, 2017

Di zaman dedak ni, ramai Melayu bersikap begini

Apabila Melayu Bodohkan Melayu
May 30, 2017

Saya telah menerima beberapa mesej whatsapp melalui berbagai group whatsapp mengenai isi kandungan buku YB Hanna Yeoh, “Becoming Hanna”. Petikan yang dikemukakan bertujuan untuk membuktikan bahawa YB Hanna dan parti DAP itu sendiri ingin mengkristiankan Malaysia. Professor Melayu yang bernama Kamaruzaman Yusof mendakwa tulisan YB Hanna adalah satu pendedahan agenda DAP sebenar!

Amat sedih apabila ‘cendiakawan’ Melayu berusaha membodohkan Melayu. Ini yang dikatakan “harapkan pagar (atau pegar), pagar makan padi”. Saya yakin, sebagai seorang berpendidikan, Kamaruzaman mampu membezakan di antara keyakinan keagamaan seseorang ahli dan dasar parti politik yang disertainya. Namun dia sengaja putar-belit fakta sebenar supaya akan tercapai matlamat politik tertentu. Sedih, tetapi itulah hakikatnya.

Hanya yang terlalu bodoh akan mendakwa DAP sebagai parti politik yang beragenda mengkristiankan masyarakat Malaysia berdasarkan buku kisah hidup Hanna Yeoh! Bagaimana mungkin ada yang tak mampu membezakan agama seseorang ahli parti dan dasar parti yang disertainya boleh menjadi pensyarah universiti? Pensyarah di dalam bidang politik pula!

Untuk menangkis dakwaan songsang ini, kita hanya perlu melihat kepada saff pimpinan DAP. Adakah semua pimpinan dan ahli DAP beragama Kristian? Sekiranya ya, harap beritahu saya, YB Gobind Singh Deo adalah Kristian mazhab apa? YB Sivakumar, bekas Speaker Perak adalah seorang yang beragama Hindu. Adakah wujud mazhab Kristian yang berpegang kepada agama Hindu? Kebodohan yang menakjubkan. Amat malang kebodohan ini ditaja oleh seorang pensyarah Universiti Melayu supaya disebarkan di kalangan orang Melayu. Nak jadikan Melayu bodoh, bukan nak tambahkan Melayu dalam kepandaian.

Buku YB Hanna menceritakan mengenai dirinya sendiri, fahamannya, nilai-nilai hidupnya, cita-citanya dan liku-liku hidup yang telah dilaluinya. Ia tiada kena-mengena dengan dasar perjuangan politik partinya iaitu DAP. Biasanya kalau nak faham mengenai dasar perjuangan sebuah parti politik, maka perlembagaan parti tersebut adalah rujukannya. Mengikut penyarah ini, untuk mengetahui perjuangan DAP, buku kisah hidup YB Hanna adalah rujukannya! Tidakkah ianya kelakar? Lebih kelakar lagi apabila ada yang percaya dakwaannya.

Islam tidak menghalang orang bukan islam berpegang teguh dengan agama mereka dan mengamalkan ajaran-ajarannya. Itulah keadilan Islam. Malangnya ada yang beranggapan bahawa bukan islam yang hidup di ‘Negara Islam’ mesti “mengakui Islam adalah agama sebenar”! Saya masih ingat lagi semasa saya seorang mahasiswa di Universiti, ada ‘ustaz-ustaz jadian’ yang mendakwa itulah ajaran Islam. Saya tak hairan, berdasarkan kupasannya terhadap buku YB Hanna, sekiranya pensyarah ini beranggapan begitu juga! Sikap dan kefahaman sebegini menjatuhkan imej Islam. Betapa ramai yang menganggap dirinya berkhidmat untuk Islam tetapi sebaliknya meruntuhkan imej Islam.

Melayu sebegini merosak dan membodohkan Melayu demi kepentingan peribadinya. Mungkin alasan agama digunakannya tetapi amalannya tiada kena mengena dengan akhlak agama Islam. Dia sanggup menipu dan berbohong, sehingga Melayu takut kepada seseorang hanya kerana dia berbeza dan sanggup pula menyokong kepimpinan penyamun dan perompak semata-mata kerana mereka sebangsa! Patutlah bangsa Melayu jauh ketinggalan apabila Melayu membodohkan Melayu.

Saya mengenali YB Hanna sebagai seorang wanita yang rendah diri, berkeperibadian tinggi, jujur dan sangat fokus terhadap tanggung-jawabnya sebagai seorang ADUN dan Speaker Dewan Undangan Selangor. Amat malang kalau dia didera semata-mata kerana dia beragama Kristian dan difitnah sesuka-hati dan ini semua dilakukan ‘atas nama Islam’. Islam sebeginilah yang menghasilkan ISIS dan IS.

Parti AMANAH Negara berpegang kepada kefahaman islam yang berpaksikan Al-Quran, Sunnah Rasulullah (SAW) serta amalan para sahabat dan tabiin. Islam yang dibawa Nabi (SAW) adalah penuh dengan kerahmatan dan kasih sayang. Ianya membawa persaudaraan dan keamanan yang berpaksikan keadilan. Islam yang cuba dibawa ini, bersama pengikut-pengikutnya hanya mampu menyemaikan kebencian dan perbalahan. Ianya songsang dan sesat dan hanya menjanjikan kemusnahan masyarakat dan negara sepertimana yang telah menimpa semua negara ummat islam yang terpengaruh dengannya.

Untuk menghadapi kefahaman Islam yang songsang sebeginilah maka AMANAH ditubuhkan. 

WaLlahu 'Alam 
KHALID SAMAD

1 comment:

  1. Dia layak menjadi seorang calon prof kangkung!!!

    ReplyDelete