Thursday, May 11, 2017

Lantak dialah: Untuk apa dok buang masa pakat kepoh dengan susunan kabinet PAS?

Kabinet baru PAS: Hadi belajar dari Najib?
Anne Muhammad  - 10 Mei 2017, 8:50 malam
Selepas orang yang dekat dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipilih sebagai pengarah pilihan raya pusat, pelantikan seorang lagi tokoh yang hampir dengan presiden PAS itu untuk jawatan sama di Selangor menarik perhatian banyak pihak.

Walaupun di Selangor keputusan itu dibuat oleh kepimpinan negeri, kedudukan Roslan Shahir Mohd Shahir sebagai pengarah pilihan raya PAS boleh ditafsir dengan pelbagai kemungkinan.


Bagi Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Eddy Yusof, pelantikan Roslan Shahir itu menampakkan bagaimana Abdul Hadi berniat meneguhkan pengaruhnya di semua peringkat, terutama di negeri yang dilihat kurang padu menyokongnya.

"Saya fikir Abdul Hadi belajar daripada Datuk Seri Najib Razak, iaitu tukar semua pemimpin di bawahnya dengan orang yang boleh wala dengan dia.

"Dalam situasi hari ini, ketaatan kepada Abdul Hadi mengatasi yang lain-lain," katanya.

Pada 6 Mei lalu PAS mengumumkan senarai anggota jawatankuasa pusatnya yang memperlihatkan tokoh kanan dan berpengalamannya, Datuk Mustafa Ali, digantikan dengan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengarah pilihan raya peringkat nasional.


Ahmad Samsuri (gambar) sebelum ini ialah setiausaha politik Abdul Hadi.

Dalam pengumuman dibuat oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan itu, jawatan Datuk Iskandar Abdul Samad yang sebelum ini dilantik sebagai pesuruhjaya PAS Selangor digantikan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Sabak, Sallehen Mukhyi.

Roslan Shahir pula pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar Abdul Hadi, selain dilantik sebagai ketua penerangan PAS Selangor ketika Datuk Hasan Ali menjadi pesuruhjaya di Selangor.

Jawatan pengarah pilihan raya PAS Selangor sebelum ini disandang Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan, yang kini diletakkan sebagai timbalan pesuruhjaya II PAS negeri.

Kata Edry Faizal, tindakan Abdul Hadi itu juga boleh dibaca sebagai keraguannya terhadap beberapa pemimpin PAS di Selangor.

Sementara itu Anggota Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, pula berpendapat barisan kepimpinan baru parti itu kurang berdaya saing.

Beri kelebihan buat AMANAH

Secara sinis, Hanipa berkata, "kabinet baru" PAS itu hanya sesuai untuk membantah konsert Selena Gomez, bukannya berdepan dengan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Itu pun kalau PAS masih lagi nak berlawan dengan BN,” katanya.

Hanipa yang pernah menganggotai jawatankuasa pusat PAS turut menganggap parti itu tersalah langkah kerana mengetepikan Cikgu Pa - nama panggilan mesra untuk Mustafa.

Katanya, ketiadaan Mustafa adalah kerugian yang amat besar buat PAS.

“Saya hanya boleh geleng kepala saja. Saya dan kawan-kawan dalam AMANAH tahu sangat
kemampuan dan kehebatan Cikgu Pa dibandingkan dengan mantan Setiausaha Politik Presiden PAS. Maaf, macam langit dan bumi,” katanya.

Sementara itu Pengarah Pendidikan Politik Pemuda AMANAH, Hasbie Muda, melihat percaturan PAS - khususnya Abdul Hadi - adalah dalam usaha mereka mencapai kerjasama dengan Umno.

“Memang sekarang ni jawatankuasa pusat PAS dikuasai pimpinan yang wala kepada presiden, berbeza dengan yang sebelum ni apabila ada pimpinan yang tak setuju dengan agenda berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, menurut Hasbie, tindakan meletakkan orang yang rapat dengan Abdul Hadi hanya memberi kelebihan kepada AMANAH kerana agenda kerjasama PAS dengan Umno itu akan nampak denganlebih ketara.

"AMANAH berharap PRU akan datang akan membuktikan wujud penyatuan kerjasama PAS dan Umno,” katanya.

Sementara itu Setiausaha PKR Selangor, Borhan Aman Shah, pula melihat barisan kepimpinan yang diperkenalkan Selangor malam tadi adalah mantap.

Katanya, PKR berpegang dengan keputusan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) dan berharap kepimpinan PAS yang baru di Selangor boleh membuka ruang untuk berbincang mengenai calon dan merealisasikan formula satu lawan satu pada PRU ke-14 nanti.

“Kita tunggu keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang akan tentukan sama ada mereka masih lagi bersama atau sebaliknya.

"Kami berkeyakinan di Selangor khususnya PAS akan tetap bersama kita kerana matlamat sama iaitu untuk memperjuangkan hak rakyat dan tumbangkan BN," katanya.

Bekas anggota parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff, pula berpandangan pelantikan PAS itu adalah respon positif Abdul Hadi terhadap pendirian positif PKR.

Ia juga, kata anggota PKR itu, akan memudahkan komunikasi langsung antara kerajaan Selangor dengan PAS.

"Saya juga menjangkakan Abdul Hadi mula menyedari bahawa pentingnya untuk PAS berkerjasama dengan kerajaan Selangor dalam pentadbiran negeri dan bagi menghadapi PRU ke-14," katanya.

No comments:

Post a Comment