Sunday, May 7, 2017

Politik matang: Siapa diMelayukan, siapa diIslamkan?

May 5, 2017

Daripada menjadi penentang keras nasionalisme sempit Melayu, PAS kini memeluk agenda ketuanan Melayu yang bercampur aduk dengan Islam.
KOMEN
Oleh Rozhan Othman
Pemikiran yang menyamakan agenda Melayu dengan agenda Islam bukanlah suatu yang baru.
Namun, golongan yang merupakan sebahagian dari gerakan Islam umumnya menunjukkan sikap dingin terhadap ideologi ketuanan Melayu-Islam ini.
Pada 1984, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ketika itu naib yang dipertua PAS, menegaskan perjuangan nasionalisme berasaskan sentimen kebangsaan yang sempit bercanggah dengan ajaran Islam.
Beliau menyatakan perjuangan kebangsaan yang dipegang Umno sehingga menzalimi orang bukan Melayu adalah perjuangan kebangsaan yang sempit dan ditolak Nabi Muhammad.
Sebaliknya, beliau mengatakan Islam menjamin keadilan untuk semua, termasuk terhadap musuh. Hadi menegaskan PAS berpegang kepada Islam, sedangkan Umno bertunjangkan ideologi kebangsaan.
Namun, ideologi ketuanan Melayu-Islam ini mula mendapat tempat di kalangan kumpulan Islam tertentu. Pada mulanya ia dipelopori NGO Islam tertentu.
Sejak kebelakangan ini, ideologi ini sudah tersemai di jiwa dan pemikiran parti politik berlabelkan Islam. Hujah mempertahankan ideologi ketuanan Melayu-Islam ialah kedudukan Islam akan tergugat jika orang Melayu berpecah. Ini akan membolehkan bukan Islam menjadi dominan dalam Parlimen dan dengan itu menggugat kedudukan Islam.
Untuk menguatkan lagi hujah ini, mereka yang beriman dengan ideologi ini turut memaparkan senario ancaman terhadap Islam. Ini dilakukan dengan menjembalangkan DAP. Kedudukan Islam dipaparkan sebagai diancam oleh DAP.
Jika sebelum ini ada pemimpin negara yang suka menjembalangkan George Soros dan ancaman luar untuk meraih sokongan rakyat, kini pendokong ketuanan Melayu-Islam menggunakan muslihat yang sama dengan menjembalangkan DAP.
Angau PAS mengenai Umno
Natijah daripada haluan ideologi ketuanan Melayu-Islam ialah formula politik yang melihat perlunya PAS bekerjasama dengan Umno.
Selain daripada sikap PAS yang semakin lunak dengan Umno, satu inisiatif untuk mengukuhkan kerjasama ini ialah usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, menerusi rang undang-undang dibawa Hadi, atau RUU 355.
RUU 355 sepatutnya menjadi “showcase” gandingan 2 harimau gagah yang akan membela Islam.
Ramai pemerhati melihat RUU 355 hanyalah muslihat Umno untuk memisahkan PAS daripada Pakatan Harapan. Namun, PAS mula menganggap mereka adalah rakan setara Umno.
Semua pada Umno mula dilihat sebagai indah oleh PAS. Kentut UMNO pun dirasakan wangi. Angau ini menjadi kitaran yang menarik PAS semakin jauh ke dalam lubuk pusar muslihat Umno.
Label “politik matang” digunakan oleh lebai PAS untuk menjadikan muslihat ini kelihatan positif.
Apabila timbalan perdana menteri menyatakan kerajaan sendiri yang akan membentangkan usul RUU 355, ia sudah tentu dilihat sebagai satu kejayaan besar oleh PAS.
Ngauman kedua-dua harimau Melayu-Islam kuat kedengaran di seluruh tanah air. Namun, apabila parti komponen lain Barisan Nasional membantah, Umno akhirnya akur dengan kehendak mereka.
Bila perbincangan menjadi desakan, Umno akhirnya berundur dan meninggalkan PAS keseorangan dengan RUU 355.
Perdana menteri kemudiannya mengumumkan kerajaan tidak akan membentangkan RUU 355. Rupa-rupanya harimau ketuanan Melayu-Islam ini hanyalah anak kucing. Akhirnya, yang menggagalkan RUU 355 dan menghalang kerajaan daripada membentangkan usul ini dalam Parlimen ialah parti komponen BN, bukan DAP.
Nyata sekali, Umno tidak bersedia mempertahankan RUU 355. Hujah masa depan Islam bergantung pada gandingan PAS dan Umno nyata meleset. Ideologi ketuanan Melayu-Islam tersungkur apabila Umno tunduk pada desakan parti lain dalam BN. PAS ditinggalkan syok sendiri.
Ketuanan Melayu dan 1MDB
Kerapuhan perjuangan ketuanan Melayu-Islam semakin nyata apabila Rafizi Ramli mendedahkan penyaluran wang daripada perdana menteri kepada seorang bekas pemimpin PAS.
Sebenarnya, ia bukanlah kali pertama PAS dituduh mendapat sokongan kewangan melalui sumber berkait dengan 1MDB dan perdana menteri.
Pada tahun lalu, Sarawak Report melaporkan mengenai perkara yang sama. Bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa juga pernah membuat dakwaan parti itu menerima RM90 juta daripada Umno.
Adalah menarik bila kita perhatikan Najib sendiri tidak menafikan memberi sumbangan ini. Bekas pemimpin PAS terbabit pula masih belum menyaman Rafizi walau mengugut akan mengambil tindakan undang-undang. Dan beliau juga masih belum mengisytiharkan hartanya walau pun dicabar melakukan sedemikian oleh Rafizi.
Pendedahan Rafizi, Sarawak Report dan Husam menunjukkan ideologi ketuanan Melayu-Islam tidak berjaya mengislamkan agenda Melayu. Sebaliknya, golongan yang dikatakan ingin membawa Islam ini yang sebenarnya diMelayukan.
Malangnya, yang diMelayukan bukanlah dari segi sifat mulia orang Melayu. Yang kita lihat terjelma bukanlah sifat lemah lembut atau sikap rendah diri akhlak Melayu. Yang kita dengar bukanlah pertuturan berbudi bahasa orang Melayu.
Sebaliknya, yang semakin zahir ialah sifat rakus. Yang semakin kerap didengar ialah bahasa kasar, caci cerca dan mulut celupar.
Nampaknya, golongan yang ingin mengubah yang sudah berubah. Peranan “storm trooper” Umno kini dimainkan oleh golongan berkopiah dan berserban.
Politik matang tiada idea matang
Muktamar PAS yang diadakan bulan lepas juga menunjukkan bahawa pendokong kepimpinan Melayu-Islam dan “politik matang” tidak mempunyai sebarang idea matang untuk ditawarkan kepada rakyat.
Golongan ini tidak menunjukkan mereka mempunyai sebarang idea matang bagaimana mengatasi defisit belanjawan negara.
Demikian juga, mereka juga tiada sebarang idea matang bagaimana mengatasi masalah pengangguran siswazah, atau bagaimana mengurangkan pergantungan pada buruh asing.
Jauh sekali memikirkan bagaimana menggiatkan lagi usaha menjadikan ekonomi Malaysia sebuah ekonomi yang dijana inovasi.
Kalau kita ke Kelantan, yang paling kerap kita temui ialah poster mengarah wanita menutup aurat dengan betul. Tetapi tiada pula poster yang melarang perkara haram seperti merokok.
Kelantan juga mempunyai kadar penceraian, jangkitan HIV dan penagih dadah yang tinggi. Tetapi tuan-tuan Melayu-Islam di Kelantan gelap mata dalam menangani masalah ini.
Adakah pemerintahan pada golongan ini hanya sekadar hukuman dan menghukum? Adakah minda yang kering kontang dapat memberi kepimpinan yang matang?
Bagaimana hendak memerintah jika “matang” itu hanya pada bersahabat dengan Umno tetapi menunjukkan sikap mentah dan kebudak-budakan dalam hubungan dengan golongan lain?
Demikian juga, rakan ketuanan Melayu-Islam PAS, Umno, nyata gagal memimpin negara dengan baik. Sebaliknya ketuanan dan tugas memerintah kini telah di“subcontract” kepada Pemandu yang dikendalikan oleh para perunding dan pemimpin yang tidak dilantik rakyat.
Penerimaan ideologi ketuanan Melayu-Islam adalah suatu yang pelik dalam PAS. Munculnya konsep kepimpinan ulama dalam PAS pada awal 1980han adalah sebagai sebahagian dari usaha untuk merubah PAS.
Kepimpinan PAS di bawah Datuk Asri Muda ketika itu dilihat sebagai tidak tulen dan tidak cukup Islamik. Maka perubahan yang berlaku dalam PAS ketika itu cuba melakukan pembersihan dan membawa konsep kepimpinan ulama untuk memastikan perubahan ke arah Islam yang lebih tulen akan terjamin.
Namun, ideologi ketuanan Melayu-Islam yang didokong hari ini seolah membawa PAS kembali kepada zaman sebelum kepimpinan ulama.
Nyata sekali bukan sahaja ideologi ketuanan Melayu-Islam tersungkur, malahan pejuang ideologi ini turut rebah dan tersembam.
Yang tinggal hanyalah perjuangan yang telah layu keIslamannya. Hakikatnya “politik matang” hanya sekadar menjadikan pendokong ketuanan Melayu-Islam penumpang yang mengharapkan belas ihsan dan menumpang tuah bekas musuh mereka.
Mereka tidak sedar bekas musuh mereka sebenarnya masih musuh mereka. Dan musuh mereka ini hanya menunggu masa untuk mencampak mereka ke dalam lubuk pusar.
* Rozhan Othman ialah pembaca FMT.

2 comments:

  1. Satu komen yg tepat dan
    menarik sekali dan semoga dpt membuka mata bnyk pihak

    ReplyDelete
  2. Banjir BALAK, PETIR pon sudah..
    Sarang semut pulok dihempap RIBUT..
    Sedondon menCURI PONTENG & FITNAH
    Masih nak KLENTONG maseh meNGARUT


    Olarmak mendakwa pewaris nabi..
    RIBUT menyanggah: "kamulah musuh-NYA"!..
    RIBUT menghempap pemFITNAH penCURI
    Musuh nabi2 yg HINA CILAKA!

    Lobai Olarmak teruskan MAKAR mu..
    Petir & RIBUT sedia menanti..
    Bisik kecil HATI mu memberi TAHU
    Kamulah sjahat2 pengKHIANAT-musuh nabi2!

    ReplyDelete