Friday, May 26, 2017

GST: Kemana pergi hasilnya dan Rafizi 'sekolahkan' Najib

Bagaimana PH boleh hapuskan GST, Rafizi 'sekolahkan' Najib
26 Mei 2017 | MALAYSIA DATELINE
Rafizi Ramli 

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sedia 'menyekolahkan' perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang baru-baru ini memomokkan janji Pakatan Harapan untuk memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan alasan tanpa GST perbendaharaan negara akan hilang RM42 bilion setahun.

"Sebenarnya saya telah ulas dengan mendalam dan disokong dengan angka-angka mengenai perkara ini di dalam buku “Panduan Bina Semula Negara” yang saya tulis dan dilancarkan baru-baru ini.

"Cara untuk menguruskan Perbendaharaan tanpa mengenakan GST ada dihuraikan di dalam Bab 4 bertajuk Mengurus Perbendaharaan Negara," ujar beliau dalam satu kenyataan yang diedarkan semalam.

Menurut Rafizi, punca kerajaan BN kesempitan sumber kewangan adalah kerana kecenderungan berbelanja melebihi pendapatan sepanjang dua dekad lalu sehingga mewujudkan hutang yang besar.

Negara ujar beliau terpaksa berhutang bagi menampung defisit apabila perbelanjaan melebihi pendapatan pada setiap tahun.

Pengurusan perbendaharaan negara, katanya tidak hanya berkisar kepada menambah pendapatan malah di masa yang sama perlu mengawal perbelanjaan.

Apabila perbelanjaan yang membazir dihentikan dan ketirisan dikawal, penjimatan dari perbelanjaan itu, jelas beliau lebih dari mencukupi untuk menampung kekurangan hasil kutipan GST yang dihapuskan.

Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan menjelaskan tiga kaedah yang akan digunakan oleh Pakatan Harapan untuk menampung perbelanjaan negara setelah GST dihapuskan iaitu membanteras rasuah dan mengurangkan ketirisan; pentadbiran kewangan yang telus bagi mengurangkan bayaran faedah tahunan; dan rasionalisasi cukai melalui pengenalan 'cukai ke atas keuntungan jual beli saham' dan cukai jualan dan perkhidmatan.

Menurutnya, dengan inisiatif lain seperti rundingan semula kontrak-kontrak yang berat sebelah dan rampasan harta dari rasuah yang terlibat dalam skandal-skandal besar, beliau yakin masalah yang meruncing untuk menggantikan sumber pendapatan dari GST yang dihapuskan dapat diatasi.

"Pokoknya, secara moralnya GST perlu dihapuskan dan kita ada potensi penjimatan yang cukup untuk menampung kekurangan hasil apabila GST dihapuskan kelak," tegas beliau.

Kaitan: 

Separuh hasil kutipan GST untuk bayar faedah hutang kerajaan
26 Mei 2017 | MALAYSIA DATELINE
Bajet Negara 2017

Dianggarkan RM29 bilion terpaksa dibelanjakan kerajaan BN untuk membayar faedah hutang bagi tahun 2017 dan ia melebihi separuh wang hasil cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang dikutip kerajaan.

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata, setakat April 2017 jumlah hutang Kerajaan Persekutuan seperti yang disiarkan oleh Perbendaharaan adalah sebanyak RM649 bilion.

Dari jumlah itu, katanya bentuk hutang terbesar negara adalah kertas hutang kerajaan Malaysia (MGS) pada jumlah RM357 bilion, diikuti dengan kertas hutang terbitan pelaburan kerajaan (GIIs) sebanyak RM235 bilion.


"Hutang-hutang dalam bentuk kertas hutang yang diterbitkan ini perlu ditebus oleh Kerajaan Malaysia bila sampai tarikh matangnya. Sementara menunggu matang, Kerajaan Malaysia perlu membayar faedah tahunan (selalu disebut sebagai 'coupon rate') mengikut kadar yang diurusniagakan di pasaran hutang," ujarnya dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, lebih stabil sesebuah kerajaan dan lebih tinggi reputasi kewangannya, maka pelabur sanggup untuk mendapat bayaran bunga yang lebih rendah demi memegang kertas hutang tersebut.
"Jika kerajaan itu tidak dihormati dan dicurigai, pelabur tidak ada keyakinan dan kadar faedahnya pun didagangkan tinggi," jelas beliau.
Oleh sebab itu, katanya reputasi antarabangsa kerajaan Malaysia di mata pelabur adalah sangat penting kerana ia menentukan jumlah bayaran faedah yang perlu dibayar dan ditanggung oleh rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, tambah beliau skandal 1MDB yang merosakkan nama baik Malaysia telah menyebabkan pelabur-pelabur mahukan pulangan yang lebih tinggi bagi setiap ringgit kertas hutang yang diterbitkan oleh Kerajaan Malaysia.
Beliau yakin jika reputasi kewangan Kerajaan Malaysia dipulihkan, pentadbiran baru Pakatan Harapan boleh meyakinkan pasaran dan pelabur.
Keyakinan para pelabur ini, jelas beliau akan diterjemahkan dalam bentuk kadar faedah rendah ke atas kertas-kerta hutang yang diterbitkan.
"Saya tidak terkejut kadar faedah itu boleh turun sehingga 1% berbanding kadar sedia ada yang diterjemahkan kepada penjimatan sebanyak RM6.5 bilion setahun," ujarnya.

Kalau rajin nak baca: JAWAPAN KEPADA NAJIB BAGAIMANA PAKATAN HARAPAN BOLEH TADBIR MALAYSIA TANPA GST

No comments:

Post a Comment