Tuesday, February 13, 2018

Takkan sudah dengan semuanya 'diam' kot?

Anugerah Brandlaureate ‘mimpi ngeri’ Zambry
SALMAN SALLEH  -  February 12, 2018 3:09
ULASAN : Pada hari ini (11 Oktober 2017) sudah genap lima bulan usaha untuk mencegah kemungkaran demi untuk menghapuskan unsur salah guna kuasa berkaitan isu penganugerahan BrandLaureate sehinggakan Pengerusi AMANAH Negeri Perak,  Asmuni Awi sanggup naik ke Mahkamah jika tuduhannya tidak benar.

Pada 30 November 2017 yang lalu, saya juga telah membuat kupasan dan penjelasan susur galur isu BrandLaureate berdasarkan kepada sidang media Asmuni dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta kenyataan media daripada The BrandLaure sendiri.

Yang jelasnya, surat yang dikirimkan oleh The BrandLaureate kepada Asmuni pada 30 Oktober 2017 telah dijawab pada 16 November 2017 melalui peguamnya namun sehingga kini tiada jawapan balas ataupun tindakan mengheretnya ke Mahkamah sepertimana yang diharapkan oleh Datuk Seri Zambry.

Video perutusan Tahun Baru Datuk Seri Zambry awal tahun baru-baru ini menunjukkan Datuk Seri Zambry begitu ‘sayang’ dengan anugerah yang diterimanya sepanjang setahun yang lalu (2017) termasuklah Anugerah BrandLaureate sebagai pencapaian terbaiknya tahun itu.

Untuk rekod, disebabkan anugerah ini juga kami pada 1 November 2017 bertekad dan mengambil tanggungjawab serta amanah menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun sehingga kini tidak tahu akan nasib laporan tersebut sama ada tindakan susulan atau hanya ‘disimpan’ sahaja?

Umum mengetahui, jika seseorang pimpinan politik kerajaan itu masih ‘berkuasa’, mana mungkin pihak berkuasa akan ‘telus’ menjalankan siasatan dan ‘tegas’ bertindak jika terbukti dengan fakta serta dokumen untuk mengheretnya ke Mahkamah.

Mungkin laporan yang kami buat tempohari kepada SPRM langsung tidak disiasat atau mungkin telah disiasat tetapi tiada tindakan susulan, ini semua tidak mustahil kerana laporan tersebut membabitkan skandal seorang pimpinan politik yang merupakan penjawat utama negeri ini.

Jika semua pendedahan itu fitnah, palsu, bohong dan tipu, kenapa Datuk Seri Zambry tidak menggunakan haknya atau Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Negeri Perak atau The BrandLaureate membawa perkara ini ke Mahkamah dan ‘membersihkan’ segala tuduhan tersebut?

Semasa Sidang Perbentangan Bajet Tahun 2018 Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak yang berlangsung pada 21 hingga 27 November 2017, Datuk Seri Zambry berpeluang membuktikannya bahawa semua dakwaan tersebut salah tetapi malangnya beliau hanya ‘berdiam diri’ sahaja.

Isu skandal Anugerah BrandLaureate ini sama seperti pendedahan isu skandal pembayaran bonus RM 115,000 dan pembelian kereta mewah jenis Audi Q7 bernilai RM 620,996 oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang jelas membabitkan Datuk Seri Zambry.

Dalam kedua-dua isu skandal PKNP tersebut, difahamkan telah ada yang ‘dikambing hitamkan’ bagi ‘menutup’ isu skandal tersebut dan apakah nasibnya sama seperti isu skandal Anugerah BrandLaureate ini? Adakah rakyat hanya mampu ‘melihatnya’ sahaja tanpa ‘bertindak’ sama?

Pihak berkuasa memang boleh ‘menutup’ isu skandal-skandal yang jelas berlaku ini namun isu skandal Anugerah BrandLaureate ini masih belum ‘lenyap’ kerana surat Asmuni kepada The BrandLaureate masih tidak berjawab sehingga kini dan sanggupkah The BrandLaureate dicemuh akibat isu skandal ini?

Jika The BrandLaureate terus ‘diam’ sudah tentu penerima serta yang bakal menerima anugerahnya akan ‘malu’ kerana pendedahan oleh Asmuni tersebut jelas mengaitkan satu atau lebih bayaran dibuat oleh MB Inc semasa majlis anugerah yang diterima oleh Datuk Seri Zambry.

Kepada Datuk Seri Zambry, berlaku jujurlah kepada rakyat serta beramanahlah dengan kedudukan yang ada sekarang ini. Rakyat pula berhak ‘menurunkan’ beliau dengan ‘kuasa’ undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) ini.

1 comment:

  1. Lebai pseudo ni mengejar dunia jg rupanya!

    ReplyDelete