Thursday, February 8, 2018

‘bin Abdullah’: Mahkamah sivil tidak patut campur tangan

Mahkamah sivil tidak patut campur tangan ‘bin Abdullah,’ undang-undang Islam
Bede Hong · Diterbitkan pada 7 Feb 2018 10:40PM
Kata peguam peguam Majlis Agama Islam Negeri Johor, apa yang Mahkamah Rayuan lakukan adalah mengetepikan undang-undang (Islam) dalam mengejar khayalan atau layanan yang lebih baik buat anak itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Februari, 2018.

MAHKAMAH Persekutuan hari ini diberitahu yang mahkamah sivil tidak patut mencampuri urusan berkaitan undang-undang Islam, contohnya seperti kes “bin Abdullah,”

Pada 27 Julai lalu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memohon Mahkamah Rayuan agar bapa yang beragama Islam, dengan persetujuan ibu, berhak untuk menggunakan nama si bapa pada anak tidak sah taraf.

Dalam kes ini, Majlis Agama Islam Johor (MAINJ) bertindak sebagai pencelah.

Dalam pendengaran hari ini, peguam MAINJ Sulaiman Abdullah berhujah menentang keputusan Mahkamah Rayuan Julai lalu yang membenarkan anak tidak sah taraf Islam dibinkan dengan nama bapanya.

Katanya, dalam keputusan pada Julai lalu, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan “prinsip asas undang-undang Islam” yang merupakan sebahagian daripada rangka Perlembagaan.

“Pendekatan Mahkamah Rayuan bertujuan untuk mengabaikan ciri-ciri penting yang ditetapkan dalam Perlembagaan kita,” katanya.

Sulaiman berkata, “walaupun terdapat rayuan emosi” dalam keputusannya: “Apa yang Mahkamah Rayuan telah lakukan adalah mengetepikan undang-undang (Islam) dalam mengejar khayalan atau layanan yang lebih baik buat anak itu.”

Keputusan Mahkamah Rayuan yang dibuat oleh tiga panel hakim diketuai Abdul Rahman Sebli itu turut menyertakan yang ketua pengarah JPN adalah pegawai kerajaan dan beliau terikat di bawah undang-undang sivil.

Kes ini berkaitan dengan seorang anak kelahiran Johor berusia tujuh tahun yang namanya didaftarkan dengan “bin Abdullah” pada 2012 selepas JPN menolak permohonan kedua ibu bapa anak itu untuk menggunakan nama ayahnya dalam sijil kelahiran.

Keputusan JPN itu berdasarkan fatwa pada 1983 dan 2003 berhubung anak tidak sah taraf.

Turut mendengar rayuan hari ini adalah panel terdiri dari lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Raus Sharif. Panel hakim lain adalah Ahmad Maarop, Hasan Lah, Balia Yusof Wahi dan Aziah Ali.

“Kita lahir ke dunia ini tertakluk kepada pelbagai faktor (termasuk) kuasa dan ketidakadilan. Kita perlu terima (kehidupan ini) seadanya,” kata Sulaiman.

“Dunia ini tertakluk dengan bermacam ketidakadilan,” kata Sulaiman kepada mahkamah tertinggi hari ini.

“Dan Mahkamah Rayuan telah hilang gambaran status undang-undang Islam dalam perundangan kita.

“Apa yang mereka katakan adalah ianya bukan undang-undang Islamik atau hanyalah budaya. Tetapi apa yang penting, budaya agama ini punya peranan penting untuk separuh daripada populasi Malaysia, dan mereka patut menghormati bidang kuasa Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bahawasanya mahkamah sivil tidak patut mencampuri urusan undang-undang Islam dan seperti mana dipegang oleh beberapa hakim.

“Undang-undang Islam patut dikendalikan oleh pakar, yakni mahkamah syariah,” tambah Sulaiman.

Sementara itu, peguam JPN, Suzana Atan berhujah yang JPN “munasabah” dalam mengikut fatwa berkaitan anak tidak sah taraf.

Mahkamah Persekutuan diberitahu hari ini, melalui hujah Suzana bahawa anak yang lahir secara tidak sah, tidak boleh mengguna pakai nama ayahnya kerana undang-undang pendaftaran hanya memperuntukkan nama keluarga. 

Suzana memberitahu mahkamah yang Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 hanya menyebut keperluan nama keluarga, dan tidak menyebut penggunaan nama bapa.

Katanya, undang-undang itu hanya terpakai buat rakyat Malaysia yang tidak mempunyai nama keluarga, termasuk kebanyakan Melayu dan India.

Seksyen “13A(1) menyatakan yang “nama keluarga, jika ada, yang hendak dimasukkan berkenaan dengan anak yang sah hendaklah pada lazimnya menjadi nama keluarga, jika ada, nama bapa.”

Suzana berkata “tidak ada definisi” tentang anak tidak sah taraf dalam akta itu untuk orang Islam. Beliau menggunakan hujah Majlis Fatwa Kebangsaan 1981 dan 2003 yang menyatakan anak tidak sah taraf Islam tidak boleh menggunakan nama bapanya tetapi mestilah menggunakan “bin Abdullah.”

Bagaimanapun, peguam itu mengakui yang Johor tidak menggazetkan fatwa kebangsaan itu.

“Ia tidak digazetkan. Jadi adakah ia terikat atau tidak? Ia tak wujud,” kata Rauz. 

Dalam penghujahannya, peguam keluarga K. Shanmuga berkata langkah JPN untuk memberikan “bin Abdullah” buat anak itu ultra vires terhadap Seksyen 13 dan 13A BDRA.

Seksyen 13, yang berkaitan dengan peruntukan tentang bapa kepada anak tidak sah, menyatakan bahawa “dalam hal anak tidak sah, tiada seorang pun boleh sebagai bapa kepada anak itu dikehendaki memberikan maklumat mengenai kelahiran anak itu, dan Pendaftar tidak boleh memasukkan dalam daftar nama mana-mana orang sebagai bapa anak itu kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengakui dirinya sebagai bapa anak itu, dan orang itu hendaklah dalam kes itu bersama-sama menandatangani daftar itu bersama si ibu.”

Shanmuga berhujah nama keluarga adalah “bahasa biasa” buat nama bapa, sama seperti kes seorang Islam yang menggunakan nama bapa kandung. Katanya, pembuat undang-undang yang menggubal undang-undang pada 1987 untuk memasukkan Seksyen 13A tidak berniat untuk mengasingkan orang yang menggunakan nama bapa.

“Jika tidak, awak (bermaksud) bercakap tentang mendiskriminasi lebih 60 ke 70% populasi (yang menggunakan nama bapa). Seksyen itu diluluskan dengan memikirkan fikiran rakyat Malaysia. Awak patut menganggap bahawa itu adalah ketetapan, bukannya diskriminasi,” katanya.

Shanmuga merumuskan, undang-undang sivil “jelas” tanpa rujukan lanjut diperlukan sama ada Seksyen 13A BDRA terpakai untuk mendaftarkan kelahiran anak Islam, membenarkan anak itu dinamakan dengan nama peribadi orang yang memperakuinya sebagai bapa kepada anak itu.

Beliau turut berkata dua soalan yang dibangkitkan oleh JPN dan kerajaan dalam rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan tidak perlu dijawab memandangkan anak tidak sah taraf itu tidak dicabar, selain soalan-soalan itu tidak sesuai dengan rayuan. 

Dua soalan JPN itu adalah seperti berikut:

Sama ada ketika melaksanakan pendaftaran kelahiran anak Islam, pendaftar kelahiran dan kematian boleh merujuk dan bergantung kepada sumber undang-undang Islam; dan

Sama ada Mahkamah Sivil boleh tentukan persoalan atau perkara berkaitan kesahihan anak Islam itu berhubung penamaan dan warisan paterniti.

Pasangan itu, kedua-duanya beragama Islam, berkahwin secara sah pada 2009 dan anak berkenaan lahir di Johor pada tahun berikutnya, iaitu lima bulan dan 24 hari (lima bulan dan 27 hari mengikut kalendar Islam) iaitu kurang enam bulan daripada tarikh pernikahan mereka.

Pada Februari 2015, permohonan untuk membetulkan nama bapa ditolak berdasarkan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyatakan anak tidak sah taraf tidak boleh dibin/bintikan kepada nama bapa anak itu atau individu yang mendakwa ayah kepada kanak-kanak berkenaan.

Penolakan permohonan oleh Mahkamah Tinggi pada Ogos 2016 kemudiannya dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Persekutuan akan menentukan tarikh bagi keputusan itu. 

Raus juga mengekalkan arahan supaya nama si anak dan ibu bapanya tidak dihebohkan kepada umum. – 7 Februari, 2018.

1 comment:

  1. orang Islam hidup berhukum hakam Islam bukan kapir. kalau anak zina ada aturan nya
    ikut saja jnagan nak tunjuk pandai bnayak sangat
    sebab tu Allah larang keras jnagan berzina
    boleh merosakkan keturunan
    kalau benar beriman kepada Allah n rosul

    ReplyDelete