Ibu mangsa tragedi tahfiz persoal ke mana pergi derma orang ramai
Menurut mereka, sekolah memberitahu akan menyimpan 30% sumbangan, tetapi masih belum menerima walau sesen pun.
PETALING JAYA: Beberapa ibu mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat pada 14 September lalu mengadu mereka belum menerima sumbangan yang dikumpul daripada orang ramai selepas tragedi kebakaran yang meragut 21 nyawa pelajar itu.
Seorang ibu mangsa yang tidak mahu dikenali memberitahu FMT, mereka menuntut agar pengetua, Muhammad Zahid Mahmood dapat menjelaskan sama ada mereka akan menerima wang sumbangan tersebut.
Menurutnya, Zahid semasa pertemuan pertama pada 22 September lalu dengan keluarga mangsa, berkata sekolah akan menyimpan 30% daripada sumbangan dan selebihnya akan diserahkan kepada keluarga 21 pelajar yang terkorban dan keluarga mangsa yang cedera dan trauma.
Bagaimanapun, wanita itu berkata sehingga hari ini, tiada wang diterima.
“Kami belum menerima satu sen pun,” katanya, yang turut mempersoalkan ketidakhadiran Zahid pada pertemuan yang sepatutnya diadakan bersama ibu bapa malam Sabtu lepas.
Zahid sebaliknya menghantar wakil.
“Nampaknya dia tidak datang kerana dia terpaksa berjumpa dengan jabatan bomba. Apa yang dia buat dengan jabatan bomba pada waktu malam?” soalnya.
Beberapa percubaan FMT untuk mendapatkan penjelasan Zahid masih gagal setakat laporan ini ditulis.
Seorang lagi ibu mangsa mendakwa sekolah itu biasanya akan menyimpan wang yang disumbangkan kepada pelajarnya walaupun sebelum kebakaran berlaku.
Beliau berkata sekolah itu sering menganjurkan lawatan bertemu perdana menteri dan tokoh lain semasa Hari Raya dan majlis lain.
“Orang-orang ini akan memberi wang kepada anak kami, tetapi sekolah hanya membenarkan anak kami menerima sebahagian kecil daripada jumlah tersebut dan pihak sekolah memegang sejumlah besar untuk keselamatan, atau kami diberitahu,” katanya.
“Sekarang anak kami sudah tiada, di manakah wang itu?” kata seorang lagi wanita yang mendakwa menerima berita tragedi tersebut bukan melalui sekolah, sebaliknya diberitahu oleh salah seorang ibu yang menghantar mesej Whatsapp pada jam 6 pagi, sejam selepas kebakaran berlaku.
“Pengetua juga ada dalam kumpulan Whatsapp tersebut,” katanya.
Beberapa hari selepas tragedi pada 14 September itu, Zahid memberitahu media sekolah itu mengumpulkan hampir RM1 juta sumbangan dan merancang untuk memberi “apa yang termampu” kepada ibu bapa mangsa.
Apabila ditanya tentang perkara ini kepada salah seorang ibu, katanya beliau mendengar orang bercakap mengenainya tetapi tidak membaca laporan tersebut.
Beliau juga mendakwa walaupun ibu bapa diberitahu bahawa sekolah sudah menghentikan kutipan sumbangan, beliau dapat melihat dengan jelas seseorang berdiri di luar bangunan pengurusan sekolah dengan kotak sumbangan.
“Saya harap anda boleh menyampaikan nasihat ini kepada orang ramai yang murah hati, jika mereka mahu menyumbangkan wang atau apa-apa sahaja kepada ibu bapa mangsa, berikan terus kepada mereka kerana ramai daripada mereka benar-benar memerlukan bantuan itu,” katanya kepada FMT.
No comments:
Post a Comment