Tuesday, April 25, 2017

Mengenai Dr Zakir Naik dari Dr. Yazid

Dr Yazid Zul dari Ahmad Ibrahim Kulliyah of Laws UIA menulis tentang Dr Zakir Naik.

Dr ZAKIR NAIK, INTERPOL DAN EKTRADISI.

Sebahagian media dengan cukup agresif menyerang penceramah terkenal, Dr. Zakir Naik. Dr. Zakir Naik telah dituduh terlibat dengan terrorisme, penggubahan wang haram dan pelbagai tuduhan lagi.

Akhbar terkini melaporkan bahawa mahkamah di India telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Dr. Zakir Naik dan menggesa Interpol agar menangkap Dr. Zakir Naik.

Golongan anti Dr. Zakir Naik pun dengan semangatnya melabel Dr. Zakir Naik sebagai terroris, pemecahbelah masyarakat dan macam-macam tuduhan lagi. Lebih dari itu, mereka menggesa agar Malaysia menangkap Dr. Zakir Naik dan menyerahkan Dr. Zakir Naik kepada kerajaan India.

Sebagai seorang yang mengajar undang-undang antarabangsa, saya ingin membuat sedikit komen:

1. TUDUHAN TERRORISME

Dr. Zakir Naik merupakan seorang penceramah terkenal. Beliau boleh dikatakan penceramah Islam yang paling dikenali di dunia, selepas Ahmad Deedat.

Populariti beliau menyebabkan beliau cukup dibenci oleh golongan anti-Islam. Ini tidak pelik. Beliau selalu mengislamkan golongan bukan Islam pada program-program beliau. Kepetahan beliau yang mampu membincangkan secara teliti dan membongkar kitab-kitab lama cukup dibenci oleh musuh-musuh beliau.

Meskipun begitu, sesiapa yang menonton ceramah-ceramah atau debat beliau di Youtube atau di mana-mana media lain akan mengakui bahawa beliau tidak pernah mengajak atau menyokong terrorisme.

Satu-satunya kenyataan beliau yang selalu diputarbelit oleh golongan yang membencinya ialah kata-katanya bahawa kita mesti meletakkan ketakutan (terrorize) di dalam hati perogol, penjenayah dan orang-orang jahat agar mereka tidak berani berbuat jahat.

Kenyataan inilah yang selalu diputarbelit kononnya beliau seorang pengganas. Sesiapa yang waras akan mengetahui bahawa konteks ayat yang digunakan oleh beliau bukanlah sebegitu.

Tuduhan bahawa Dr. Zakir Naik terlibat dengan keganasan berpunca daripada kenyataan beberapa pengganas yang mengatakan bahawa mereka di motivasi oleh ceramah beliau.

Tuduhan ini tak berasas. Jika begitu, Presiden Trump juga patut ditangkap bila golongan White Supremacist menyerang orang Islam kerana mereka mengaku diinspirasi oleh ucapan Presiden Trump yang anti-Islam.

2. UNDANG-UNDANG EXTRADISI

Menurut undang-undang ektradisi, seseorang yang dipercayai didakwa disebabkan oleh faktor agama atau kepercayaan tidak boleh di ektradisi.

Ekstradisi ni apa?

Ekstradisi ni proses undang-undang di mana seseorang diserah balik. Ia satu proses rasmi di mana satu negara atau negeri meminta dan dapat dari negara atau negeri lain penyerahan penjenayah yang disyaki atau dihukum.

Antara negara, ekstradisi dikawal oleh perjanjian. Antara kawasan subnasional (sebagai contoh, negeri-negeri di Amerika Syarikat), di mana ekstradisi diperlukan mengikut undang-undang dan lebih tepat dirujuk sebagai rendisi.

Secara amnya, setiap perjanjian serah balik memerlukan negara yang meminta penyerahan balik membuktikan bahawa:

- Jenayah yang berkenaan adalah cukup serius.

-Terdapatnya kes prima facie terhadap orang yang dimintai.

-Kesalahan yang berkenaan merupakan jenayah di kedua-dua negara.

-Orang yang diserah balik boleh menerima pembicaraan yang agak adil di negara penerima.

-Hukuman yang mungkin dikenakan adalah setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

Justeru, kerajaan Malaysia tidak perlu melayan kerenah mereka yang mahu Dr. Zakir Naik ditangkap melainkan sekiranya  kerajaan Malaysia yakin dengan pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.

Selain itu, perlu ada tuntutan ekstradisi dari India.

3. MALAYSIA KERAJAAN BERDAULAT

Malaysia tidak perlu tunduk kepada mana-mana negara. Seiring dengan tanggungjawab Malaysia berdasarkan undang-undang antarabangsa, Malaysia tidak perlu menyerahkan Dr. Zakir Naik kepada mana-mana negara sekiranya Malaysia percaya pertuduhan tersebut prejudis atau bertujuan politik atau disebabkan oleh faktor agama dan kepercayaan.

Sebagai contoh, bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin yang lari ke Dubai (UAE) tidak ditangkap dan diekstradisi ke Thailand kerana kerajaan UAE percaya bahawa pendakwaan ke atas Thaksin bertujuan politik.

4. SEMUA KAUM PERLU DIHORMATI

Saya ingin mengambil kesempatan ini menegaskan bahawa semua kaum di Malaysia mesti dihormati. Sebagai contoh, golongan India dan Cina telah banyak menyumbang kepada kemajuan Malaysia sejak awal kemerdekaan lagi. Apa-apa ucapan yang provokatif mesti dielakkan khususnya dalam konteks masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia.

Dalam konteks isu Dr. Zakir Naik, ratusan ceramah beliau yang saya teliti tidak berunsur provokatif. Saya ingin mengambil kesempatan ini menegaskan bahawa apa-apa kenyataan yang diambil sedikit sedikit dan dipotong di sana-sini boleh mengelirukan.

Sebagai contoh, Allahyarham Tok Guru Nik Aziz pernah berkata bahawa kita tidak patut samseng, kerana sekiranya kita samseng, kita akan mendapati bahawa Tuhan lebih samseng lagi di hari akhirat kelak.

Sesiapa yang waras akan faham bahawa ayat ini bukanlah mengatakan tuhan itu samseng tetapi satu peringatan bahawa kita tidak patut berlaku zalim kerana tuhan sangat berat siksaannya di akhirat kelak.

Saya masih ingat betapa akhbar ketika itu melaporkan kononnya Tok Guru Nik Aziz mengatakan Allah samseng.

Ini satu manipulasi berita dan tidak menggambarkan etika kewartawanan yang baik.

Sekian.

Dr. Yazid, AIKOL

1 comment:

  1. mesti meletakkan ketakutan (terrorize) di dalam hati perogol, penjenayah dan orang-orang jahat agar mereka tidak berani berbuat jahat.

    depa takut kebenaran Islam menyerlah

    dan dalam hati oramg salah guna kuasa perasuah
    pengkhianat amanah rakyat

    agar mereka tidak berani berbuat jahat.

    musuh Islam terlalu ramai
    jangan bagi muka lagi pada penentang Islam

    walau pung wawasan penjajah dah berjaya lemahkan kuasa Islam dinegara ini
    pertahankan hak hak Islam ditempatnya

    ReplyDelete