Thursday, April 20, 2017

Gelojoh, akhirnya terpaksa mendarat cemas

Exco gelojoh akhirnya terpaksa mendarat cemas, sindir Husam
20 April 2017 | MALAYSIA DATELINE
Gerai menjual juadah di pasar malam Kota Bharu

Kegelojohan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Kelantan Datuk Ab Fattah Mahmood menyerang ahli dewan undangan negeri (Adun) Salor Datuk Husam Musa dalam isu penutupan premis perniagaan pada waktu Maghrib akhirnya mengundang malu.
Semalam Ab Fattah cuba membetulkan semula kenyataan asalnya dengan berkata peraturan menutup sekejap premis perniagaan hanya terpakai kepada peniaga Muslim di pasar-pasar malam sahaja.
Malah Husam dalam satu kenyataan hari ini menegaskan tiada sebarang percanggahan antara kenyataan beliau  pada 17 April lalu  yang mempertikaikan penguatkuasaan menutup kedai sewaktu Maghrib kepada semua, termasuk peniaga bukan Islam.
"Selari - tidak perlu  menutup perniagaan bagi peniaga bukan Muslim. Bermakna saya betul dan Fattah terkhilaf. Kerana itu beliau terpaksa membuat pembetulan demi pembetulan. Pagi ini, sekali lagi beliau memanggil sidang akhbar membetulkan kenyataan beliau sendiri...," ujar Husam.
Husam yang juga penasihat Amanah Kelantan menambah, Ab Fattah 'secara tersirat' mengakui kenyataan pertama beliau menyebut peniaga bukan Muslim perlu menutup perniagaan di waktu Maghrib.
Sehubungan itu, Husam hairan dengan tuduhan Ab Fattah bahawa orang lain terkeliru dengan kenyataan beliau sebelum ini sedangkan kenyataan ‘pembetulan’ itu dikeluarkan selepas ditegur.
Malah tambah Husam, seorang lagi Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Anuar Tan turut membuat kenyataan bahawa Ab Fattah tidak berniat berkata demikian.
"Jika Datuk Fattah tidak berniat demikian, kenapa saya perlu diserang oleh Fattah atas kenyataan saya? Kononnya saya sudah lupa dasar yang saya pernah sokong. Seperti kenyataan beliau yang disiarkan oleh Malaysiakini di bawah tajuk 'Husam pun dulu sokong henti niaga sempena Maghrib’, disiar pada 18 April.
"Sinar Harian, pada 19 April, menyiarkan di bawah tajuk berita 'Hanya pasar malam sahaja' dengan Fattah berkata, pasar malam di negeri ini hampir 100 peratus dimonopoli masyarakat Islam.

"Jika sudah tahu pasar malam di Kelantan disertai 100% orang Islam, apa perlu lagi kenyataan 'termasuk peniaga bukan Islam'? Siapa keliru?" soal Husam.
Menurut Husam, peraturan memberhentikan perniagaan pada waktu Maghrib itu diperkenalkan sebelum beliau menjadi Exco apabila Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memulakan langkah turun sendiri mengimamkan solat bersama peniaga di Pasar Malam Padang Bas, Kota Bharu.
"Bila Almarhum Tuan Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar memperkenalkan peraturan ini, ia telah dibincang terlebih dahulu dalam parti dan kerajaan. Dalam isu sebegini, pandangan bekas Exco Kerajaan Tempatan pertama Kerajaan Tok Guru, yang juga  seorang peguam dan bekas Penasihat Undang-Undang Negeri iaitu Allahyarham Datuk Halim Muhamad telah dijadikan landasan.
"Beliau telah memberi pandangan bahawa peraturan seperti ini, hendaklah bersifat ‘advisory’ atau ‘galakan’, dan bukan bersifat undang-undang atau legal," jelas Husam.
Sehubungan itu beliau mempertikaikan kenyataan Ab Fattah bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan kepada peniaga yang ingkar termasuk menarik lesen perniagaan.
Tambah Husam, selama ini peraturan itu dikuatkuasakan dengan cara ‘nasihat’ dan ‘galakan’ apabila pihak berkuasa kerajaan tempatan menyediakan tempat solat yang selesa, tempat berwuduk dan bekalan air.
Malah seorang petugas memaklumkan ketibaan azan dan waktu Maghrib dengan menggunakan pembesar suara bergerak dan imam khas sekali sekala.
"Selagi bersifat galakan ia suatu yang baik. Itu sebab saya menyokongnya. Tetapi tidak untuk dikuatkuasakan sebagai undang-undang ke atas peniaga bukan Islam.
"Ia tidak pernah dikuatkuasakan secara undang-undang. Tidak pernah ada ugutan atau pengumuman lesen peniaga yang tidak berbuat demikian akan ditarik.
"Itu sebabnya kenyataan Fattah mengejutkan saya. Itu sebab saya menegur," jelas beliau.
Husam berkata, kini akhirnya Ab Fattah membuat pusingan U hingga "para penyerang termasuk Bala dari Pahang, tersangkut di atas pucuk buluh, kerana Fattah mendarat cemas".
Datuk S Balasubramaniam ialah ketua Dewan Penyokong Pas berasal daripada Pahang.
"Flying hours belum cukup. Jauh bezanya kebijaksanaan Tok Guru Nik Aziz dan kegelojohan Datuk Fattah," ujar Husam.

No comments:

Post a Comment